#kerajaangagal18 — Adakah Malaysia sedang dilanda gelombang keempat wabak Covid, yang mana menyaksikan kenaikan harian kes baharu Covid-19 meningkat kepada 3,418 kes ditambah dengan kemunculan variasi baharu dari India di negara ini?

Negara menarik nafas lega selepas peningkatan harian kes baharu Covid-19 menurun di bawah paras 3,000 selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan angka kes melebihi 3,000 dan 13 hari berturut-turut mencatatkan angka kes melebihi 2,000 yang mana bertahan cuma sehari, sebelum ia kembali meningkatkan kepada 3,418 kes.

Adakah Malaysia kini sedang berdepan dengan gelombang keempat Covid sebelum gelombang ketiga Covid — yang merupakan gelombang paling lama yang berlarutan selama sembilan bulan sejak September — dapat dikawal dengan mengurangkan kenaikan harian kes baharu Covid-19 kepada julat tiga angka dan seterusnya dua angka.

Apa yang paling membimbangkang adalah kemunculan varian mutan berganda yang dipercayai merupakan penyebab utama gelombang kedua Covid di India, yang menyaksikan begitu ramai rakyat negara itu mati bergelimpangan di koridor-koridor hospital, di jalan raya dan di rumah masing-masing serta pandangan menyayat hati di mana tempat letak kereta dijadikan kawasan pembakaran mayat, sementara terdapat juga ahli keluarga yang bergelut untuk mendapatkan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan katil di hospital.

Situasi ngeri di India ini bermula sejak 21 April, selepas India mencipta rekod apabila mencatatkan peningkatan harian kes Covid-19 tertinggi di dunia, yang mana sebelum ini disandang oleh Amerika Syarikat yang mencatatkan peningkatan harian kes sebanyak 307,515 pada 8 Januari 2021.

Pada 20 April, India merekodkan kenaikan harian kes Covoid yang luar biasa iaitu sebanyak 402,110 kes dan 3,522 kematian – yang dikatakan hanya angka anggaran kasar berbanding situasi sebenar di lapangan.

Perbezaan ketara dapat dilihat di antara negara India dan China – di mana beribu-ribu orang mati di India setiap hari kerana Covid-19 dengan jumlah korban Covid-19 melebihi 20,000 pada minggu lalu sementara di Wuhan, China di mana pandemik wabak itu tercetus lebih setahun yang lalu, ribuan orang menghadiri Wuhan Strawberry Music Festival pada Sabtu dan menari, meloncat serta menjerit keriangan sewaktu artis kegemaran mereka muncul di atas pentas persembahan.

Tragedi yang melanda Malaysia kini adalah kerana kita tidak mengambil iktibar daripada negara-negara lain yang turut dilanda pandemik yang serupa, meskipun terdapat gesaan sejak setahun yang lalu supaya kerajaan menerapkan pendekatan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha membasmi pandemik Covid-19, kerajaan pintu belakang, tidak sah dan kakistokrasi telah melakukan kesilapan demi kesilapan dan kesilapan terbesar terletak pada pengisytiharan darurat dan pengantungan Parlimen.

Adakah Kabinet yang akan bermesyuarat pada Rabu ini akan menentukan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk menamatkan darurat dan segera memanggil sidang Parlimen bagi mengerakkan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 3 Mei 2021