Adakah Saifuddin Abdullah akan bertindak mengikut undang-undang anti berita palsu terhadap kontroversi terkini di mana penjaja bazar Ramadan dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan kerana menyebabkan peningkatan Kes COVID-19 hanya bagi mengaut untung lebih pada bulan puasa?

Ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah untuk memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei di Facebooknya, adalah satu isyarat kosong dan tidak bermakna ketika Malaysia tidak mempunyai apa-apa untuk diraikan. Kerajaan PN terus menafikan sebab di sebalik Malaysia merosot 18 anak tangga dari No. 101 pada tahun 2020, bagi indeks tahunan kebebasan akhbar oleh Reporters Without Border (RSF) 2021 kepada No. 119, lebih rendah daripada Indonesia di No. 113. Kedudukan Malaysia akan menjadi lebih buruk lagi jika perisytiharan Darurat yang menggantung Parlimen dan undang-undang baharu anti berita palsu diambil kira.

Siasatan polis terhadap pembaca berita di Astro Awani kerana didakwa memfitnah polis di televisyen mengenai kontroversi kompaun RM50,000 yang dikeluarkan kepada beberapa peniaga kecil di Kelantan, dan penangkapan aktivis-artis sosial Fahmi Reza pada 23 April kerana satira, adalah dakwaan yang memalukan terhadap Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Tindakan sedemikian terhadap Awani hanya akan menghalangi pelaporan penyiasatan, yang meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Siasatan terhadap kartunis Zulkiflee Anwar Haque (Zunar) oleh ibu pejabat polis Padang Terap di Kedah mengenai kartunnya, yang menyindir Menteri Besar PAS Kedah kerana membatalkan cuti Thaipusam, boleh dianggap sebagai tindakan membungkam perbezaan pendapat. Kementerian Dalam Negeri memanggil Malaysiakini dan China Press, atas laporan mereka mengenai kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengenai ancaman rogol yang dibuat terhadap seorang remaja, tidak menghormati kebebasan bersuara.

Biasanya, tindakan terhadap mereka yang melawan Kerajaan diambil di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang menghukum penghinaan dengan niat untuk “memecah keamanan”, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Di bawah Seksyen 504, seseorang yang didapati bersalah boleh dipenjara selama dua tahun, denda, atau kedua-duanya. Sementara itu, Seksyen 233, yang meliputi penyalahgunaan kemudahan rangkaian, boleh dihukum denda RM50,000, penjara selama satu tahun, atau kedua-duanya.

RSF mengatakan dengan lanjut bahawa untuk melindungi daripada serangan kerajaan, ramai wartawan terpaksa menapis suara mereka sendiri. Bukan hanya berlaku penapisan kendiri, tetapi ini mungkin juga alasan mengapa akhbar bahasa terbesar media arus perdana terutamanya Star and Sin Chew Jit Poh yang dikawal oleh MCA, telah menggugurkan sikap berkecuali dan kebebasan mereka sebelum ini di bawah PH dengan mengambil pendekatan pro-kerajaan.

Kelemahan terbesar mengenai undang-undang anti berita palsu seperti ini adalah amalan dua darjat apabila hanya digunakan terhadap pembangkang tetapi tidak terhadap penyokong pro-kerajaan. Kerajaan PN selalu menyalahkan rakyat tetapi enggan bertanggungjawab atas kegagalan yang tidak dapat dimaafkan dan ketidakmampuan yang memalukan mereka dalam membendung dan menguruskan gelombang ketiga jangkitan COVID-19. Adakah Saifuddin akan bertindak mengikut undang-undang anti berita palsu terhadap kontroversi terbaru di mana penjaja Bazar Ramadan dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan kerana menyebabkan peningkatan kes COVID-19 hanya bagi mengaut keuntungan yang berlebihan pada bulan puasa yang suci ini?

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 4 Mei 2021