Rakyat sokong suntikan vaksin, efisiensi kerajaan harus diperkasakan

Saya menyeru rejim Perikatan Nasional (PN) untuk memperkasakan kecekapan (efisensi) dalam perihal pemberian suntikan vaksin kepada rakyat memandangkan rakyat sebenarnya tidak menolak suntikan vaksin lantaran 260,000 slot suntikan vaksin AstraZeneca telah habis ditempah dalam masa tiga jam.

Majoriti rakyat adalah mematuhi SOP yang ditetapkan KKM dan amat menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermatlamat untuk memberikan perlindungan kepada 80% penduduk dengan suntikan vaksin. Malah pasukan khidmat DAP Perak telah menubuhkan sekurang-kurangnya 200 kaunter khidmat bergerak di seluruh negeri untuk membantu rakyat dalam mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin. Oleh itu, saya menggesa kerajaan agar tidak menuding jari kepada rakyat atas ketidakupayaan rejim tersebut dalam melawan Covid-19.

Menurut maklumat rasmi sehingga 4 Mei 2021 yang dipaparkan dalam vaksincovid.gov.my, jumlah pendaftaran penerima vaksin adalah sebanyak 9,756,343 orang namun hanya tidak kesampaian 10% daripadanya iaitu 914,663 orang yang telah divaksinasi. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan kurang efisiensi dalam perihal ini dan masih jauh ketinggalan sekiranya berbanding dengan negara lain.

Jumlah penduduk Daerah Hilir Perak adalah dianggarkan sebanyak 156,300 orang menurut info Jabatan Perangkaan tetapi hanya wujudnya dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hilir Perak dan satu PPV di Bagan Datuk dan sesungguhnya ini adalah amat tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang begitu ramai. Disebabkan banyak warga emas yang mengalami kesulitan dalam pergerakan seharian terutamanya dalam menerima suntikan vaksin, Woo Kah Leong yang juga merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan mengesyorkan kerajaan untuk menubuhkan kaunter suntikan vaksin beralih dengan tidak hanya memberikan suntikan vaksin di PPV dan sebaliknya turun padang demi memudahkan warga emas & golongan OKU menerima suntikan vaksin.

Dalam pada itu, saya juga menggesa rejim PN untuk memanfaatkan segala sumber jentera agensi kerajaan yang sedia ada dengan menyelaraskan penjawat awam agensi lain dalam meringankan beban dan tekanan rakan-rakan KKM yang terpaksa bekerja 24 jam sehari dalam usaha memerangi Covid-19.

Woo Kah Leong
Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak
Kenyataan media oleh Woo Kah Leong di Ipoh pada hari Selasa, 4 Mei 2021