Ucapan Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh dalam perbahasan Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada 22 November 2021

Peraturan Kempen Pilihanraya di Melaka Terlalu Ketat dan Tidak Praktikal

Datuk Pengerusi, pilihanraya Negeri Melaka baru lepas, saya berharap pihak SPR akan mengadakan perbincangan dengan kesemua wakil parti politik untuk menyemak ataupun “review” kesemua SOP yang dilaksanakan dalam PRN Melaka ini, kerana banyak peraturan SOP yang dilaksanakan di Melaka ini memang tidak masuk akal, khususnya peraturan yang melarang kempen pilihanraya, malah termasuk lawatan dari pintu ke pintu oleh calon dan pegawai mereka.

Selain itu, kenapakah gambar ataupun bill board YB Pagoh selaku ketua parti dibenarkan didirikan di seluruh negeri Melaka sedangkan peraturan SPR menetapkan hanya gambar calon dibenarkan untuk dipaparkan sahaja? Kenapakah YB Pagoh diberi kebenaran untuk menegakkan billboardnya di seluruh Melaka, bukankah ini “double standard”?

Selain itu, saya ingin menyeru supaya kertas undi dicetak dalam warna supaya pengundi dapat mengenalpasti logo parti politik dengan jelasnya, kerana logo dalam “hitam putih” tidak memberi gambaran yang jelas kepada pengundi khususnya pengundi yang tidak mempunyai penglihatan yang baik.

CADANGAN BERKENAAN SUHAKAM

Tan Sri Pengerusi, saya ingin memberi pandangan tentang SUHAKAM. Saya tidak dapat cari butiran peruntukan SUHAKAM dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022, lepas itu, saya diberitahu bajet bagi SUHAKAM dimasukkan dalam Bahagian Hal Ehwal undang-undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri. Saya rasa amat hairan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ini tidak diberi taraf yang sama seperti SPR, SPRM dan suruhanjaya yang lain, tetapi bajet untuk SUHAKAM dimasukkan dalam BHEUU dan malah tanpa sebut butiran kepada SUHAKAM.

Saya ingin menyeru kerajaan menghormati peranan SUHAKAM dan beri peruntukan yang cukup kepada suruhanjaya ini demi memastikan keberkesanan suruhanjaya ini. Cadangan saya kepada SUHAKAM adalah seperti berikut:

  1. Menambahkan bajet SUHAKAM kepada sekurang-kurangnya RM12.5 juta. Saya difahamkan bajet yang diberikan sekarang hanya cukup bagi perbelanjaan 8-9% program SUHAKAM, manakala kebanyakan peruntukan yang diberi kepada SUHAKAM sekarang hanya cukup untuk membayar gaji dan pengurusan SUHAKAM. Suruhanjaya ini memang perlu diberi peningkatan bajet sekurang-kurang 20% untuk memenuhi keperluan agensi ini.
  2. Kerajaan harus memberi peruntukan tambahan yang tetap yang khusus kepada pengwujudan pejabat baru bagi pesuruhjaya kanak-kanak (Children’s Commissioner) pada tahun 2019 di bawah SUHAKAM. Saya difahamkan pihak SUHAKAM pernah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan tetapi permohonan tidak dipedulikan sehingga hari ini.
  3. Saya juga difahamkan kenderaan rasmi yang digunakan oleh anggota SUHAKAM telah melebihi 15 tahun dan kereta-kereta ini tidak berfungsi dengan baik. Ini adalah amat bahaya bagi para pesuruhjaya yang menjalankan tugas mereka.

Saya berharap anggota Jemaah Menteri yang telah mendapat kereta Vellfire yang baru ini boleh mempertimbangkan keperluan kereta baru bagi para pesuruhjaya SUHAKAM, khususnya pada waktu Malaysia telah dilantik menjadi anggota United Nation Human Rights Council bermula 2022.

Setiap 5 tahun, SUHAKAM mesti disemak oleh jawatankuasa antarabangsa yang bebas, iaitu the Global Alliance of National Human Rights Institutions (GANHRI), iaitu semakan “peer review”. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada SUHAKAM kerana diberikan status “A” pada 3 bulan yang lepas, manakala 2 negara jiran kita berada pada status “B”.

Saya menyeru kesemua agensi kerajaan menghormati kuasa anggota SUHAKAM menjalankan tugas mereka. Saya difahamkan bila anggota SUHAKAM memantau Perhimpunan Lawan, pihak polis telahpun panggil anggota SUHAKAM untuk disoal-siasat. Akta SUHAKAM sebenarnya memberi kekebalan (immunity) kepada semua anggota suruhanjaya dan pegawai mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa gangguan.

Selain itu, anggota SUHAKAM harus dibenarkan melawat pusat penahanan dan penjara secara tiba-tiba tanpa diberitahu sebelumnya barulah mereka boleh menjalankan tugas secara berkesan, tetapi selalunya anggota SUHAKAM tidak diberi kemudahan untuk menjalankan tugas seperti ini.

Kerajaan Haruslah Mengkaji Semula Hukuman Mati Dalam Akta Dadah Merbahaya

Pada dua minggu yang lepas, warga Malaysia yang bernama Nagaenthran K Dharmalingam telah dijadualkan untuk digantung sampai mati di penjara Singapura pada hari sebelum Deepavali kerana menyeludup 43 gram heroin ke Singapura pada umur 21 tahun. Beliau telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Singapura sejak tahun 2010.

Isu hukuman mati beliau telah mendatangkan rayuan yang kuat daripada keluarga Nagaenthran, Ahli Parlimen dari Malaysia dan negara asing, dan juga NGO tempatan, sehingga Menteri Luar Negeri dan Perdana Menteri kita juga merayu kepada kerajaan Singapura untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati ke atas beliau.

Tan Sri Pengerusi, kes seperti ini telah berulang beberapa kali. Di negara kita, seksyen 39B dan 37da dalam Akta Dadah Berbahaya. Di bawah kedua-dua seksyen ini, orang yang selalu dihukum adalah mereka yang membawa dadah melebihi jadual Akta Dadah Berbahaya. Pengedar sebegini dirujuk sebagai “keldai dadah” ataupun “drug mules”.

Keldai dadah lazimnya terdiri daripada golongan terpinggir yang mudah terpedaya dengan ganjaran kerana terdesak dengan kesusahan hidup, seperti ibu tunggal dan orang yang banyak berhutang ataupun remaja yang tertipu dan sebagainya.

Contoh yang paling jelas ialah pada 15 Oktober tahun ini, seorang ibu tunggal yang bernama Hairun Jalwani yang mempunyai 9 orang anak yang mempunyai 113.9 gram dadah telah dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Tawau. Kes ini mendatangkan simpati daripada orang ramai.

Kerajaan Pakatan Harapan pernah membincangkan isu berkenaan pemansuhan hukuman mati di bawah mantan Menteri Undang-undang mendiang Datuk VK Liew. Mendiang VK Liew pernah mengkaji pindaan undang-undang untuk memulangkan hak membuat keputusan kepada hakim dan bukannya ditetapkan dalam undang-undang.

Saya menyeru YB Menteri Undang-undang akan menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji tentang pemansuhan hukuman mati di bawah Akta Dadah Merbahaya.

Saya juga menyeru YB Pengerang yang kini jadi penasihat hak asasi manusia kepada YAB Perdana Menteri akan memberi nasihat kepada Jemaah Menteri tentang pemansuhan hukuman mati dalam Akta Dadah Merbahaya.

Ahli Parlimen Seputeh
Ucapan Teresa Kok Suh Sim dalam perbahasan Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 22 November 2021