Seorang bekas Perdana Menteri tidak berhak diberikan rumah dan/atau tanah

Faedah-faedah yang akan diberikan kepada seorang bekas Perdana Menteri adalah ditentukan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. Beliau akan diberi ganjaran dan pencen sebagai seorang Anggota Pentadbiran (Menteri Kabinet) dan seorang Ahli Parlimen. Di samping itu, Perenggan 21 Jadual Pertama Akta tersebut juga membuat peruntukan-peruntukan khas berikut berkenaan dengan faedah-faedah untuk seorang bekas Perdana Menteri :-

Perenggan 21 (1) Seseorang yang terhenti memegang jawatan Perdana Menteri …. berhak mendapat apa-apa elaun dan keistimewaan pada apa-apa kadar dan atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.

(2) Penentuan oleh Jemaah Menteri menurut subperenggan (1) hendaklah terpakai mutatis mutandis (dengan pindaan yang perlu) bagi elaun, faedah dan keistimewaan yang kena dibayar atau diberikan menurut Seksyen 2 subperenggan (c), (d) dan (e) Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 1971 seolah-olah ia dianugerahkan di bawah subperenggan (1).

Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 1971 ( kemudian ini dirujuk sebagai ‘Akta Pencen Tunku’) telah digubal untuk memperuntukkan secara khusus pencen dan keistimewaan Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri pertama kita selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 telah memberikan panduan kepada Jemaah Menteri mengenai faedah-faedah tambahan yang hendak diberikan kepada seorang bekas Perdana Menteri. Ia hendaklah berteraskan apa yang dinyatakan di bawah Seksyen 2 subperenggan (c), (d) dan (e) Akta Pencen Tunku .

Seksyen 2 subperenggan (c), (d) dan (e) Akta Pencen Tunku memperuntukkan seperti berikut:-

Seksyen 2. Walau apa pun dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 atau mana-mana undang-undang berkaitan pencen dan ganjaran Anggota Pentadbiran, Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hendaklah, selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia, berhak mendapat pencen dan keistimewaan berikut:-

  • (c) sebuah rumah kediaman berperabot hendaklah disediakan dan disenggarakan secara percuma;
  • (d) sebuah kereta motor kerajaan dan seorang pemandu hendaklah disediakan; dan
  • (e) seorang setiausaha, seorang kerani merangkap juru stenografi, seorang pegawai keselamatan dan seorang budak pejabat hendaklah disediakan pada kadar semasa kerajaan.
  • Tidak dinyatakan di mana-mana tempat bahawa Jemaah Menteri boleh memberi rumah dan/atau tanah kepada seorang bekas Perdana Menteri dan tidak terdapat apa-apa peruntukan undang-undang yang menyatakan bahawa seorang bekas Perdana Menteri berhak diberikan rumah dan/atau tanah. Oleh itu, adalah salah untuk Jemaah Menteri meluluskan mana-mana rumah dan/atau tanah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Najib tersilap apabila beliau menuntut bahawa beliau berhak ke atas pemberian tersebut. Jemaah Menteri bagaimana pun boleh memberikan faedah-faedah seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2 subperenggan (c), (d) dan (e) Akta Pencen Tunku kepada seorang bekas Perdana Menteri.

    Ngeh Koo Ham
    Ahli Parlimen Beruas
    Kenyataan media oleh Ngeh Koo Ham di Ipoh pada hari Isnin, 22 November 2021