Laporan PAC berhubung Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di bawah Kementerian Pengangkutan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Laporan PAC berhubung Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

Tidak seperti kebiasaan di mana PAC mengambil isu-isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), tajuk Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik dipilih PAC memandangkan isu ini membabitkan kepentingan rakyat memandangkan wang Kerajaan atau lebih tepat lagi wang Rakyat dibelanjakan bagi satu sistem penguatkuasaan trafik yang diberikan kepada syarikat swasta.

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin bin Buang telah menerbitkan suatu Laporan terhadap isu ini pada bulan Januari 2019. PAC dimaklumkan Laporan tersebut tidak dikemukakan dan berstatus rahsia sehingga kini.

Berikutan itu, PAC menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) 77(1)(d) dan 83(2) untuk memulakan prosiding untuk isu Projek AES serta memanggil semua saksi yang berkepentingan dalam isu ini.

Jawatankuasa ini juga turut menyediakan Terma Rujukan (TOR) sebelum menjalankan prosiding bagi memastikan objektif prosiding mencapai matlamatnya. TOR PAC untuk isu ini adalah:

  1. konsep asal dan keperluan pelaksanaan AES;
  2. pemberian kontrak secara rundingan terus;
  3. kelemahan peraturan iaitu penguatkuasaan oleh third party;
  4. penglibatan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kewajaran bayaran pampasan sebanyak RM555 juta;
  5. model perniagaan LTAT; dan
  6. hala tuju sistem AES.

Prosiding untuk isu ini bermula pada 16 November 2020 serta mengadakan tiga (3) prosiding yang terakhir pada 27 September 2021 manakala Mesyuarat Penyediaan laporan pula diadakan pada 10 November 2021.

Saksi-saksi yang dipanggil sepanjang prosiding untuk isu ini adalah:

  1. YBhg Tan Sri Ambrin bin Buang, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK);
  2. YBhg Datuk Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha MOT); dan
  3. Encik Zairuddy bin Zainal, Pengarah Beta Tegap Sdn Bhd.

Hasil daripada prosiding berkenaan, PAC membuat enam (6) rumusan terhadap isu Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti berikut:

  1. Pelaksanaan AES secara outsourcing kepada syarikat-syarikat swasta (dalam kes ini ATES dan Beta Tegap) bagi penguatkuasaan trafik adalah tidak wajar dan sepatutnya dijalankan oleh JPJ;
  2. Pandangan oleh Jawatankuasa Projek AES yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) ketika itu supaya projek AES dilaksanakan sendiri oleh Kerajaan telah tidak diambil kira;
  3. Arahan Kerajaan pada tahun 2014 untuk LTAT mengambil alih ATES dan Beta Tegap merupakan satu tindakan bailout secara tidak langsung oleh Kerajaan;
  4. Kos pengambilalihan oleh LTAT sejumlah RM555 juta adalah overvalue dan keterlaluan (exorbitant). Nilai tersebut tidak mengikuti hasil due diligence yang dilaksanakan oleh KPMG yang mana nilai maksimum adalah sebanyak RM251 juta sahaja;
  5. Terma-terma kontrak khasnya berkaitan fi perkhidmatan yang harus dibayar kepada syarikat konsesi tidak memihak malah merugikan Kerajaan; dan
  6. Jumlah bayaran pampasan Kerajaan pada tahun 2019 kepada LTAT adalah RM668.9 juta.

Sehubungan itu, bagi tujuan penambahbaikan PAC mengesyorkan kepada Kerajaan supaya:

  1. Kerajaan harus mendedahkan kepada umum dengan menyahklasifikasikan (declassified) Laporan Siasatan JKSTUPKK Bil.2/2018 berkenaan Automated Enforcement System (AES);
  2. SPRM hendaklah meneliti semula dan membuat siasatan terhadap isu-isu yang berbangkit dalam Laporan Siasatan JKSTUPKK dan juga Laporan PAC ini khasnya sama ada terdapat mana-mana individu yang terlibat dalam penerimaan kick-back dalam proses pengambilalihan AES oleh LTAT;
  3. Kerajaan hendaklah memastikan semua terma-terma dalam mana-mana perjanjian konsesi tidak merugikan Kerajaan; dan
  4. Kerajaan haruslah sentiasa memantau dan memastikan keberkesanan AES/AwAS dalam usaha menjaga keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang yang berkuat kuasa.

10. Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) / Kementerian Sumber Manusia (KSM) boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac

Wong Kah Woh
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen & Ahli Parlimen Ipoh Timor
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Parlimen pada hari Selasa, 23 November 2021