Ucapan Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh dalam perbahasan peringkat jawatankuasa MPIC pada 24 November 2021 di Dewan Rakyat

Isu Berkaitan Dengan Fungsi Pejabat MPOC di Luar Negara

Datuk Pengerusi, saya difahamkan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mempunyai beberapa pejabat di luar negara sebagai usaha untuk mempromosi minyak sawit Malaysia. Lokasi pejabat-pejabat MPOC ini biasanya terletak di negara atau bandar yang strategik supaya pegawai MPOC tersebut boleh memberi perkhidmatan kepada pengimport minyak sawit di rantau berkenaan secara berkesan.

Di bawah arahan bekas Menteri MPIC, beliau mengarah pejabat MPOC yang baru di Saudi Arab dengan tujuan mempromosi minyak sawit Malaysia di Timur Tengah. Saya merasa anih kerana MPOC telah mempunyai dua pejabat di Istanbul dan Cairo untuk memberi perkhidmatan kepada pengimport minyak sawit di pasaran Timur Tengah. Selain itu, MPOB juga mempunyai pejabatnya di Cairo.

Sebelum ini, pengurusan MPOC yang menghadapi kekurangan eksport minyak sawit ke Mesir disebabkan persaingan hebat daripada Indonesia, MPOC telah menurun pangkat (downgrade) pejabat Cairo dan mengekalkannya sebagai pejabat hubungan “market liaison office”, tetapi menumpukan segala usaha promosi minyak sawit di Timur Tengah di Istanbul, Turkey, dan strategi ini memang sudah berjaya dan ia memang jimat kos.

Saya setuju usaha MPOC untuk mempromosi minyak sawit Malaysia di Saudi Arab tetapi pejabat baru di Saudi Arab memang adalah berlebihan ataupun “redundant”, kerana kebanyakan pengimportan minyak sawit dari Saudi Arab adalah dari Indonesia, dan perdagangan atau “trade” nya hampir dimonopolikan oleh seorang pengimport minyak sawit yang tunggal yang selalu beli minyak sawit berdasarkan siapa tawar harga yang murah.

Memandangkan Kementerian Kewangan hanya memperuntukkan RM20 juta kepada MPOC untuk tahun depan, saya memang menyoal apakah perlunya MPOC mewujudkan 3 pejabat di Timur Tengah, iaitu di Istanbul, Riyadh dan Cairo, perbelanjaan pengurusan tahunan setiap pejabat di Timur Tengah ini adalah RM 1 juta, bukankah ini satu bentuk pembaziran?

Selain itu, adalah penting bagi kementerian untuk meneliti samada keadaan “redundancy” yang sama berlaku di rantau yang lain seperti di Shanghai, Brussels dan Washington DC di mana tempat-tempat ini terdapat pejabat MPOB dan MPOC.

Saya ingin mencadangkan Menteri mengkaji dan menyatukan atau “consolidate” operasi pejabat dan agensi minyak sawit ini. Dana yang dijimatkan mungkin boleh digunakan untuk mempromosi minyak sawit Malaysia di tempat lain khususnya di Benua Afrika dan di rantau ASEAN yang menunjukkan peningkatan pengimportan minyak sawit dari Malaysia.

Sehubungan dengan itu, saya juga dengar terdapatnya cadangan untuk menutup pejabat MPOC DI Amerika Syarikat dan Eropah kerana kempen anti sawit telah menyebabkan pengurangan pengimportan minyak sawit.

Saya ingin menasihatkan Kementerian supaya jangan menutup pejabat-pejabat ini kerana kita memang perlu wakil di negara-negara Barat ini untuk memberi keterangan tentang kebaikan dan khasiat minyak sawit di negara-negara barat yang mempunyai kempen anti-sawit yang kuat. Kita memang perlu ada wakil untuk mencerita tentang usaha-usaha yang positif yang dilakukan oleh industri sawit Malaysia, seperti usaha pensijilan MSPO, usaha penanaman pokok dan konservasi dan segala usaha yang mesra dengan alam sekitar kepada negara-negara barat tersebut, demi menaikkan imej minyak sawit di Malaysia.

Tun Abdul Razak Research Center (TARRC)

Lembaga Getah Malaysia

Datuk Pengerusi, semasa saya pegang jawatan di MPIC pada tahun 2018, saya difahamkan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) yang merupakan pusat kajian sains dan teknologi terhadap getah yang terletak di London memang mengalami kerugian hamper RM30 juta satu tahun.

Bekas pengerusi Lembaga Getah Malaysia dan anggota-anggota lembaga kemudian mengambil banyak langkah untuk menjalankan penstrukturan semula dan mereka berjaya mengurangkan kerugian sehingga RM20 juta setahun. Saya ingin tahu apakah progress terbaru dari segi pengurangan kos di TARRC sekarang?

Apakah LGM telah lakukan ke atas skim persaraan pegawai TARCC yang makan perbelanjaan yang amat tinggi ini? Apakah langkah yang telah diambil untuk mengurangkan kos perbelanjaan pembayaran gaji pegawai Britain di TARCC ini?

Memandangkan TARRC telah mengalami kerugian lebih 20 tahun dan ia memang tidak mengeluarkan apa-apa pencapaian dari segi kajian sains di institute tersebut, apakah dasar jangka sederhana dan jangka panjang kementerian terhadap TARRC? Apakah Kementerian mempunyai rancangan untuk menutup operasi TARCC di London sebagai langkah untuk menjimatkan kos perbelanjaan TARRC?

Lembaga Kenaf dan Tembakau Malaysia

Bila saya pegang jawatan Menteri di MPIC, kementerian kewangan keluarkan arahan kepada kementerian untuk menutup Lembaga Kenaf dan Tembakau Malaysia tersebut demi menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan. Ini juga kerana Lembaga Kenaf ini memang tidak membawa progres yang memuaskan.

Pada waktu itu, MPIC memang pernah mengadakan beberapa perbincangan untuk menutup lembaga ini, dan sektor tembakau akan dipindah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Saya ingin tanya apakah rancangan jangka panjang terhadap Lembaga Kenaf dan Tembakau ini?

Ahli Parlimen Seputeh
Ucapan oleh Teresa Kok Suh Sim dalam perbahasan peringkat jawatankuasa MPIC di Dewan Rakyat pada hari Rabu, 24 November 2021