Tambahan RM2 bilion dalam peruntukan Belanjawan 2022 untuk Sabah, Sarawak, Bumiputera dan bukan Bumiputera akan membantu menyatupadukan Malaysia dan membuktikan Keluarga Malaysia bukan sekadar slogan kosong

Peruntukan kerajaan berdasarkan keperluan dapat memberikan keadilan sosio-ekonomi, hasil yang berkesan dan menyatupadukan rakyat. Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis untuk mewajarkan pengagihan peruntukan kerajaan bukan sahaja akan memecahbelahkan malah membawa kepada kronisme, rasuah dan salah guna kuasa terhadap penggunaan dana dan sumber kerajaan.

Tambahan RM2 bilion dalam peruntukan Belanjawan 2022 untuk Sabah, Sarawak, Bumiputera dan bukan Bumiputera akan membantu menyatupadukan Malaysia dan membuktikan Keluarga Malaysia Bukan sekadar slogan kosong. Memberi empat sektor kritikal ini tambahan RM500 juta setiap satu atau tambahan RM2 bilion peruntukan Belanjawan berjumlah 0.1% daripada defisit Belanjawan.

Tambahan RM2 bilion di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion tidak akan menjejaskan tahap hutang Kerajaan Persekutuan atau defisit Belanjawan sebanyak 6.5% tahun ini dan 6% tahun depan, tetapi mungkin kritikal untuk mengatasi pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. DAP kesal kerana Ahli Parlimen PAS terus menentang peruntukan tambahan itu bukan atas dasar rasional ekonomi tetapi atas dasar kaum. Ahli Parlimen PAS menentang cadangan DAP dengan mendakwa bahawa adalah tidak adil bagi kumpulan bukan Bumiputera untuk turut mendapat tambahan RM500 juta kerana mereka hanya terdiri 30% daripada penduduk dan terdapat lebih ramai Bumiputera yang miskin.

PAS terus menggunakan perkauman dan ekstremisme sebagai senjata politik untuk meraih sokongan dengan menolak peruntukan kepada bukan Bumiputera. PAS tidak mengendahkan rasa tidak senang hati bukan Bumiputera bahawa walaupun membentuk 30% daripada penduduk, mereka hanya menerima RM345 juta atau 0.1% daripada Belanjawan 2022 yang berjumlah RM332 bilion. DAP tidak membantah peruntukan RM11.4 bilion untuk Bumiputera tetapi menggesa peruntukan yang lebih dan adil untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia. Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis dalam peruntukan Belanjawan tidak akan membantu dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian golongan miskin dan perniagaan, terutamanya PKS.

Tidak boleh dinafikan bahawa daripada segi peratusan, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang lebih rendah di bawah Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2020 PH. Perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2022 meningkat kepada RM75.6 bilion berbanding RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 PH. Bagaimanapun, Sabah masih menerima jumlah perbelanjaan pembangunan RM5.2 bilion yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang diperuntukkan PH dalam Belanjawan 2020.

Dalam erti kata lain, nasib Sabah lebih teruk dengan menerima 6.9% daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2022 berbanding 9.3% di bawah Belanjawan 2020 PH. Jika Sabah diberi 9.3% perbelanjaan pembangunan yang sama dalam Belanjawan 2022 yang PH telah sediakan dalam Belanjawan 2020, maka Sabah sepatutnya menerima RM7 bilion dan bukannya RM5.2 bilion dalam Bajet 2022.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 25 November 2021