Kami ingin menyuarakan kekecewaan kami terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar

Kami, selaku ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri (PSC Agensi JPM) ingin menyuarakan kekecewaan kami terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang disiarkan oleh media-media berita pada 9 Januari 2022.

Selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, kami kesal Wan Junaidi nampaknya memperkecilkan keseriusan skandal pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembelian

Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan bahawa ianya bernilai RM 330,000.00 dan adalah mampu milik.

Persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?

Isu pembelian saham-saham ini a bukan sahaja isu mampu milik. Ia juga persoalan konflik kepentingan. Ia juga persoalan integriti. Ia juga persoalan defisit kepercayaan rakyat jelata terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah. Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini.

Selain itu, penyataan Wan Junaidi (bahawa Azam sendiri mampu beli saham tersebut guna gaji sendiri) juga bertentangan (berkonflik) dengan kenyataan di mana Azam menyatakan bukan dia yang beli, tetapi adiknya yang tumpang namanya untuk membeli.

Kami ambil maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009) yang diketuai Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim akan mengambil langkah dalam isu Azam Baki ini. Persoalan kami, bila lagi giliran PSC Agensi JPM yang diketuai Yang Berhormat Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS? Nescaya kedua-dua jawatankuasa ditubuhkan melalui peruntukan yang berlainan dan mempunyai peranan yang berlainan untuk dimainkan.

Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam Baki diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapa menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif? Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan? Kami dengan sesungguhnya menyatakan bahawa TIADA KEPERLUAN bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SUDR seharusnya menetapkan tarikh bagi mesyuarat / pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi.

Sekali lagi kita mendesak PSC Agensi JPM juga harus menjalankan tugas kita, selaras dengan apa yang akan dilangsungkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Rais Yatim.

Chan Foong Hin
Ahli Parlimen Kota Kinabalu
Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Datuk Mohd Azis bin Jamman
Ahli Parlimen Sepanggar
William Leong
Ahli Parlimen Selayang
Kenyataan media bersama oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada hari Ahad, 9 Januari 2022