Nasihati Abu Zahar supaya memohon maaf kepada pihak media dan enam ahli lembaga LPPR

Tindakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang yang menyalahkan media atas kontroversi yang timbul akibat daripada sidang medianya pada 5 Januari lalu adalah amat dikesali dan tidak munasabah kerana beliau tidak menyatakan secara jelas kenyataan dan perenggan mana yang dikatakan telah disalah lapor oleh pihak media. Adakah ini menunjukkan bahawa dakwaan beliau tiada sebarang bukti?

Sebelum kenyataan media dikeluarkan oleh enam anggota LPPR pada 8 Jan yang mengatakan kenyataan Abu Zahar pada 5 Jan adalah pandangan peribadi pengerusi LPPR itu semata-mata, mengapa Abu Zahar tidak segera menjelaskan pada 6 atau 7 Jan sekiranya benar beliau telah di salah lapor oleh media? Kenapa perlu tunggu hingga semalam?

Saya juga terhibur dengan kenyataan media Abu Zahar semalam yang menyatakan beliau berasa kesal terhadap kenyataan enam rakan anggota LPPR yang menyangkal pendiriannya membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada sebarang salah laku tentang pemilikan saham. Abu Zahar kata kenyataan enam anggota LPPR dikeluarkan tanpa memaklumkannya terlebih dahulu!

Bukankah beliau sendiri yang telah terlebih dahulu membuat kenyataan unilateral tanpa persetujuan kesemua ahli LPPR dalam sidang media 5 Jan lepas? Mengapa pengerusi LPPR bersikap dua darjat?

Saya nasihatkan jika Abu Zahar memohon maaf kepada pihak media dan enam ahli lembaga LPPR tersebut, itu sudah cukup memadai sekiranya beliau merasakan bahawa kenyataan medianya pada 5 Jan mungkin “telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan” dan “sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya” dan bukan dengan membuat kenyataan balas menyalahkan media.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 12 Januari 2022