Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi perlu menyiasat dakwaan manipulasi data kes dan kematian akibat Covid-19 oleh “tangan-tangan halimunan” yang dibuat oleh MP Bintulu, Tiong King Sing

Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, telah membuat pelbagai serangan terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan juga Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengenai pengendalian wabak Covid-19 dalam negara dan mereka berdua perlu mempertahankan diri mereka daripada segala tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China itu.

Namun, dakwaan Tiong mengenai integriti data kes harian dan kematian akibat Covid-19 dan dakwaan yang data ini dimanipulasi oleh “tangan-tangan halimunan” tidak boleh dibiarkan dan perlu disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi supaya perkara yang sebenarnya dapat ditentukan.

Memandangkan akan ada sidang khas Parlimen pada 20 Januari, hari Khamis depan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi perlu bersidang segera untuk menyiasat pertuduhan ini dan membentangkan laporan mereka kepada Parlimen pada hari Khamis.

Rakyat Malaysia perlu dimaklumkan sama ada terdapat sebarang kebenaran dalam tuduhan Tiong mengenai “tangan-tangan halimunan” dan jika benar, maklumat yang sebenarnya perlu didedahkan kepada rakyat.

Tiong, Khairy, dan Noor Hisham perlu dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi sebelum sidang khas Parlimen pada hari Khamis depan.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 13 Januari 2022