Hapuskan katak politik dengan undang-undang lompat parti supaya politik dapat dibersihkan untuk berfungsi kepada rakyat

Malaysia telah terjejas teruk akibat kegagalan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri untuk mengekang krisis berkembar nasional iaitu pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Rakyat kemudian terus menderita dengan bencana banjir negara baru-baru ini yang menyebabkan sekurang-kurangnya 54 maut dan kerugian ekonomi sebanyak RM20 bilion serta kontroversi saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Daripada segi optik, Kerajaan Persekutuan nampak hampir tidak berfungsi dengan perhatian umum tertumpu kepada perkembangan berita yang berlaku setiap hari mengenai perdagangan saham adik Azam Baki yang menggunakan secara salah akaun Azam sebagai akaun proksi. Bagi Azam Baki membenarkan akaun dagangan sahamnya disalahgunakan sebagai akaun proksi untuk adik lelakinya bukan sekadar satu kesalahan di bawah Seksyen 25A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), yang boleh dihukum denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Azam juga telah melanggar peruntukan salah guna kuasa di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM. Bagaimanakah Malaysia boleh memberi keyakinan kepada pelabur terhadap komitmen untuk membendung rasuah dan menggalakkan ketelusan apabila ketua penguatkuasa terhadap rasuah kini dianggap sebagai pelanggar undang-undang? Skandal ini telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia atas keengganan kerajaan bertindak tegas terhadap Azam kerana ahli politik yang berkuasa bertindak untuk kepentingan mereka sendiri dan bukannya rakyat.

Melantik ahli politik ke Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) sebagai pertukaran untuk sokongan politik, terutamanya untuk menggalakkan lompat parti, dan bukannya golongan profesional telah menunjukkan bahawa ia hanya menguntungkan Ahli Parlimen yang melompat parti dan bukannya negara atau GLC dari segi keuntungan yang lebih tinggi. Bagi mengelakkan rakyat terus berputus asa, politik perlu berfungsi untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan ahli politik.

Sebab itulah PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri untuk menghapuskan katak politik dengan penggubalan Undang-undang Lompat Parti menjelang Mac 2022 di Parlimen supaya politik dapat dibersihkan untuk berfungsi kepada rakyat. Sekiranya undang-undang ini tidak digubal seperti yang dipersetujui maka MOU itu akan dilanggar oleh seorang Perdana Menteri yang mungkir dengan janji yang diberikan secara bertulis dan jelas membuktikan beliau sebagai seorang pemimpin tanpa sebarang kredibiliti dan integriti.

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Ucapan oleh Lim Guan Eng semasa Pemukiman Kepimpinan Kebangsaan DAP di Bangi pada hari Khamis, 13 Januari 2022