Tenaga polis trafik ialah kawal trafik dan bukan buka jalan untuk anak Ahli Parlimen

Saya merujuk kepada laporan media bahawa dua anggota polis trafik mengiringi kereta yang dipandu oleh anak Ahli Parlimen Baling YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang malam semalam.

Saya meminta PDRM melakukan siasatan sepenuhnya bukan sahaja ke atas dua anggota trafik tersebut tetapi juga ke atas si pemandu kereta. Sebagai anggota perkhidmatan polis, tenaga polis trafik bukan untuk iringi Ahli Parlimen atau anaknya tetapi untuk membantu meleraikan kesesakan trafik.

Menteri sebenarnya perlu melalui pengalaman kesesakan trafik seperti orang awam lain dan sepatutnya tiada hak keistimewaan iringan polis kecuali dalam keadaan terdesak atas urusan rasmi yang amat penting. Wakil rakyat seperti Ahli Parlimen walaupun sudah berkhidmat berpenggal-penggal tiada keistimewaan iringan polis dan apatah lagi anak kepada Ahli Parlimen.

Saya meminta Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan semula dan mendisiplinkan anggota polis trafik supaya keistimewaan tersebut tidak disalahguna.

Wong Hon Wai
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Kenyataan media oleh Wong Hon Wai di Pulau Pinang pada hari Ahad, 8 Mei 2022