Keputusan untuk tidak menawarkan diri saya sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan untuk berehat daripada barisan hadapan politik

Pada 9 Mei 2018, saya telah dipilih oleh para pengundi di kawasan Parlimen Bangi sebagai Ahli Parlimen mereka. Perkara ini menjadi satu penghormatan yang besar kepada saya, di mana saya diberikan peluang untuk berkhidmat kepada para pengundi dan penduduk Bangi sepanjang 4 tahun yang lepas, begitu juga dengan peluang yang diberikan untuk saya menjadi Ahli Parlimen Serdang sejak daripada tahun 2013 sehingga tahun 2018. Tempoh selama sembilan tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen telah menjadi suatu pengalaman yang mengubah kehidupan saya. Saya telah berpeluang untuk berkenalan dan berhubung dengan individu yang datang daripada pelbagai latar belakang, etnik, dan kewarganegaraan di tempat-tempat yang berbeza di seluruh negara. Saya juga telah terlibat dalam pelbagai projek dan bergerak ke tempat-tempat di seluruh negara yang saya mungkin tidak akan lawati sekiranya bukan kerana tugas saya sebagai seorang Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri. Saya juga telah berpeluang untuk bekerja bersama dan melatih ratusan pelatih parlimen (“intern”) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab saya. Saya juga banyak dibantu dengan sokongan ratusan sukarelawan, ahli-ahli parti, dan penyokong dalam menjalankan tanggungjawab saya ini. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada para pengundi yang telah memilih saya dan memberikan tanggungjawab ini untuk saya berkhidmat kepada mereka dalam pelbagai peranan dan kapasiti.

Saya juga ingin berterima kasih kepada senior saya, yang juga merupakan individu yang membawa saya masuk ke dalam parti dan mencadangkan supaya saya diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat – Tony Pua. Tony adalah orang yang bertanggungjawab membawa idea dan visi baharu kepada parti secara langsung – melalui projek Impian Sabah dan Sarawak, dengan kecekalan beliau dalam mendedahkan skandal 1MDB, melalui Teater Impian, dan lain-lain lagi – dan juga secara tidak langsung – terutamanya dengan merekrut ahli-ahli baharu yang kemudiannya dicalonkan bermula daripada PRU 2008 sehinggalah PRU 2018. Jasa beliau kepada parti dan negara semestinya dapat dirasai dalam 14 tahun yang lepas.

Saya juga mahu berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana keyakinan beliau terhadap saya dan kemudiannya menamakan saya sebagai calon DAP untuk kerusi parlimen Serdang pada tahun 2013 dan kerusi parlimen Bangi pada tahun 2018. Saya juga amat berterima kasih di atas peluang untuk berkhidmat sebagai pegawai khas beliau selama 2 bulan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dan kemudiannya apabila saya dicadangkan untuk menjadi salah seorang calon parti untuk menjadi Timbalan Menteri, di mana saya berkhidmat selama 20 bulan.

Saya juga amat berbesar hati di atas peluang yang diberikan untuk memerhati dengan dekat etika kerja dan dedikasi Lim Kit Siang, yang mana tenaganya dalam berkhidmat untuk parti dan negara sebagai seorang yang berusia 80 tahun, jauh lebih kuat berbanding dengan mereka yang berusia separuh daripada umurnya, termasuklah diri saya sendiri. Dalam hampir semua perkara, Kit Siang telah menunjukkan kepada seluruh negara bagaimana seorang ahli politik boleh meletakkan kepentingan negara sebelum kepentingan peribadi dan untuk ini, beliau layak diiktiraf sebagai salah seorang ahli politik yang paling berpengaruh dan dihormati dalam sejarah politik Malaysia.

Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan parlimen saya yang menzahirkan penghargaan mereka untuk khidmat saya kepada parti, dan juga kepada mereka yang cuba memujuk saya untuk mengubah keputusan untuk tidak bertanding dalam PRU 15. Mereka adalah, antaranya, Tony Pua, Liew Chin Tong, Yeo Bee Yin, Teo Nie Ching, Anthony Loke, Wong Shu Qi, Hannah Yeoh, Wong Hon Wai, M. Kulasegaran, Gobind Singh, Ngeh Koo Ham, Nga Kor Ming, RSN Rayer dan Kelvin Yii. Saya berbesar hati di atas peluang untuk berkhidmat bersama dengan anda semua di parlimen.

Saya juga ingin menyampaikan penghargaan saya kepada para pegawai khas dan kakitangan yang berkhidmat dengan saya semasa saya menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Anda tahu siapa anda. Saya berterima kasih atas usaha anda semua untuk membantu saya melakukan yang terbaik sepanjang 20 bulan saya memegang jawatan tersebut. Saya juga berterima kasih kepada semua kakitangan di MITI dan agensi-agensi MITI yang mana saya pernah berpeluang untuk bekerja bersama mengenai beberapa projek, termasuklah antaranya projek Industri 4.0, inisiatif berkenaan pelaburan terus asing (‘FDI’), dan pelbagai program lain bersama dengan persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan.

Saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja dengan ramai ahli-ahli majlis tempatan dan ketua-ketua kampung yang berdedikasi dalam Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sepanjang 9 tahun saya memegang jawatan sebagai wakil rakyat. Saya tidak akan dapat melakukan banyak perkara yang saya lakukan di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan jika tidak kerana sokongan anda semua. Mereka ini adalah, antaranya, Tai Cheng Heng, Thong Kim Fatt, Thiagarajah, Billy Sun, Edward So, Dickson Tan, Sangeetha, Aw Hui Koon, Lim Chee Yuan dan Jacky Cheong.

Saya akan sentiasa mengingati persahabatan mendiang ADUN Balakong, Eddie Ng Tien Chee, dan pengajaran yang beliau berikan kepada saya melalui rekod khidmatnya kepada pengundi di Balakong dan tauladan kepimpinan beliau di peringkat akar umbi. Semangat beliau terus memberikan motivasi dan menjadi bimbingan kepada kita semua. Beliau adalah sebab di sebalik perkongsian kukuh antara pejabat saya dan anggota Unit Tindak Bangi yang diketuai oleh Vincent Sia dan Jeffrey Hoh.

Semasa saya mula-mula dipilih sebagai Ahli Parlimen Serdang pada tahun 2013, pembantu parlimen yang pertama saya, Sharon Ling, banyak memberikan sokongan yang tidak ternilai terutamanya dari sudut pentadbiran dan penyelidikan. Kami kekal berhubung sehingga hari ini dan saya gembira kerana Sharon kini telah kembali ke Malaysia semula selepas meluangkan tiga tahun sebagai pelajar Sarjana yang menerima tajaan biasiswa Fulbright di Amerika Syarikat.

Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kakitangan di pusat khidmat kawasan saya terutamanya kepada Khoo Khim Han dan Nor Zulaila binti Abdul Ghani (yang lebih dikenali oleh rakan-rakannya sebagai Lily). Kedua-dua mereka adalah pegawai khas saya dan juga ahli majlis MPKj. Khim Han dan Lily sehingga hari ini, adalah seperti tangan kanan dan kiri saya dalam mengendalikan banyak perkara di kawasan parlimen Bangi. Mereka juga dibantu oleh Wei Zi Quan, ketua kampung Sungai Chua, Raymond Kwan, juga ahli majlis tempatan MPKj, Hidayu dan Thamarai, kedua-duanya adalah pembantu ahli majlis, Francis Choo, yang merupakan bekas pelatih dan kini pembantu ahli majlis tempatan dan Aeisyah Amira, yang baru-baru ini menyertai pejabat saya sebagai pembantu pejabat.

Ramai di antara anda semua mungkin tertanya-tanya sebab di sebalik keputusan saya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15. Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini. Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya. Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan yang usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan.

Dalam pada masa yang sama, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dan saya menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk menunjukkan sokongan penuh mereka kepada Anthony dan peranan yang akan dipikul beliau dalam menerajui parti dan Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU15. Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan parti akan terus memberikan peluang kepada ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU15.

Saya akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU15. Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah parlimen dibubarkan.

Saya belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu. Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan. Untuk jangka masa terdekat, selepas PRU15, saya merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca, dan merenung semula bagaimana dan di mana saya dapat manfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang saya telah kumpulkan dalam 9 tahun yang lepas dengan sebaiknya.

AHLI PARLIMEN BANGI
Kenyataan media oleh Dr. Ong Kian Ming di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 9 Mei 2022