Segerakan suntikan vaksin anak-anak anda

Kerajaan Negeri menyeru supaya ibu bapa membawa anak-anak di bawah jagaan masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada kadar segera.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 sebentar tadi berkongsi data bahawa peratusan pencapaian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Untuk Kanak-kanak (PICKids) bagi negeri Pulau Pinang sehingga 8 Mei 2022 kini adalah pada kadar 49.5 peratus untuk dos pertama manakala dos kedua (37.7 peratus).

Kadar pencapaian ini adalah agak membimbangkan yang mana JKNPP menyatakan bahawa kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 adalah berisiko mengalami sindrom keradangan multisistem pada kanak-kanak atau Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) yang amat berbahaya dan mampu membawa kepada kematian.

Justeru, kasihanilah anak-anak kita. Ibu bapa perlu membuat keputusan yang betul dengan membawa anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin sebelum 15 Mei 2022 khasnya di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi secara walk-in. Tarikh berkaitan merupakan tarikh akhir yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi PICKids (membabitkan kanak-kanak berusia lima (5) tahun hingga 11 tahun), dan selepas itu sebarang suntikan vaksin adalah memerlukan tanggungan kos sendiri.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelbagai usaha berserta inisiatif dalam meningkatkan kadar suntikan sedia ada di samping sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan yang melibatkan ancaman virus COVID-19.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Selasa, 10 Mei 2022