Ucapan oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Penang dan Penang Green Council pada 10 Mei 2022

Selamat petang dan selamat datang semua.

Hari ini, sekali lagi kita dapat menyaksikan sebuah lagi kejayaan ke arah visi Penang2030. Sebagai sebahagian daripada visi Penang2030 untuk memajukan ketersediaan industri pembuatan tempatan ke arah sektor ekonomi hijau dan era digital, Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council akan memulakan sebuah projek baru di bawah industri hijau. Oleh itu, kita berkumpul di sini pada hari ini untuk menyaksikan titik bermulanya pergerakan kita arah industri yang lebih mampan dan produktif.

Projek baru ini akan sejajar dengan Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) yang dilancarkan pada tahun 2021. Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) bertujuan untuk menetapkan rangka kerja bagi Pulau Pinang untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang tahun 2030. PGA membincangkan 10 fokus utama yang dikenal pasti dan diketengahkan oleh penduduk Pulau Pinang sebagai isu yang perlu diberi perhatian sekarang dan hari seterusnya.

Saya perlu memberi penghargaan kepada FMM kerana peranan mereka dalam menggalas tanggungjawab memberi galakan kepada pihak berkepentingan untuk
terlibat sama dalam Industri Hijau di samping mengukuhkan pemain industri utama di sepanjang rantaian ini. Oleh itu, saya yakin FMM akan menjadi rakan strategik yang efektif untuk menghubungkan PGC dengan sektor swasta sebagai usaha Kerajaan Negeri mendapatkan imbuhan dari Ekonomi Kitaran (CE).

Ekonomi kitaran (CE) adalah berdasarkan tiga prinsip: Menghapuskan sisa dan pencemaran; memastikan bekalan produk dan bahan yang digunakan mencukupi; dan menjana semula sistem semula jadi. CE adalah hala tuju kita untuk mengubah sistem sisa buangan sedia ada dan untuk menangani cabaran global seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, sisa dan pencemaran.

Secara keseluruhannya, CE meliputi semangat penggunaan mampan, kecekapan tenaga, pengurusan sisa yang berkesan dan pengurangan pelepasan bahan
merbahaya. Penyepaduan amalan CE tidak menghalang proses pembuatan, sebaliknya menggalakkan operasi perniagaan yang boleh mencapai pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kelestarian alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Projek hari ini – Circular Economy and Industry Programme (CEIP): Platform for Partnerships and Capacity Development akan menumpukan pada memupuk penciptaan CE dalam sektor E&E yang merupakan penyumbang utama industri pembuatan Negeri.

Negeri ini telah meneroka tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga (RE & EE) serta sistem pengurusan sisa yang mampan. Di peringkat kebangsaan, beberapa contoh termasuk KASA melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030; KeTSA melancarkan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER).

Malah di peringkat antarabangsa, EU merancang untuk memperkenalkan Carbon Border Tax. Ini bermakna cukai akan dikenakan di Eropah kepada apa-apa barangan yang bukan rendah karbon. Selain itu, kita juga perlu mengambil perhatian kepada pertumbuhan hijau di dalam negeri ini kerana ia berpotensi untuk memerlukan kemahiran buruh dalam melaksanakan peralihan hijau ini.

Projek ini bertujuan untuk mengurangkan kesan alam sekitar terhadap pengeluaran dan penggunaan dalam sektor E&E, meningkatkan produktiviti sektor alam sekitar dan daya saingnya; dan juga untuk mengubah Pulau Pinang menjadi Hub Perindustrian Hijau. Harapan kita menjelang tahun 2030 adalah untuk memperkenalkan Pelan Hala Tuju Industri Hijau yang pertama di negeri ini dan mewujudkan pelan pelaburan dan peralihan hijau. Kita juga berharap dapat membina kemahiran tempatan dan mempromosikan inovasi.

Saya berharap pemeteraian MoU ini akan menjadi permulaan kepada pencapaian yang lebih besar di Pulau Pinang. Walaupun CE merupakan konsep yang agak baharu, adaptasi ekonomi kitaran dalam sektor E&E akan membantu perniagaan memenuhi sasaran ESG dan mencapai SDG.

CE telah menjadi pemangkin untuk memacu inovasi dan pertumbuhan teknologi. Oleh itu, jika teknologi dan inovasi Industri 4.0 boleh mempercepatkan peralihan kebanyakan industri kepada ekonomi kitaran, kita boleh memupuk sektor industri yang dipacu inovasi.

Terima kasih.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang & Pengerusi Penang Green Council
Ucapan oleh Chow Kon Yeow di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Penang dan Penang Green Council pada hari Selasa, 10 Mei 2022