KPM dan SPP harus segerakan pengumuman keputusan temuduga calon guru Contract of Service (CoS) 2021 yang telah berjalan pada bulan November tahun 2021

Pemohon Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) secara Contract of Service (CoS) yang berkelayakan telah ditemuduga pada 1-14 November 2021.

Pada asalnya, hebahan keputusan temuduga CoS 2021 patut dibuat pada 27 November 2021.

Telah 6 purnama berlalu namun calon guru CoS 2021 masih tidak dapat sebarang khabar berita sama ada duka mahupun suka.

Segala syarat telah mereka penuhi, namun khabar masih sirna. Kenapa pengumuman tidak dibuat seperti rancangan supaya calon-calon CoS 2021 boleh merancang dan meneruskan kehidupan masing-masing selepas keputusan bagi ambilan guru CoS 2021 dikeluarkan? Kenapa biar calon guru CoS 2021 bersidai sepi tanpa sebarang berita? Adakah layanan sebegini adil dan wajar?

Ramai dalam kalangan calon guru CoS 2021 merupakan profesional dalam bidang masing-masing. Jangan dirampas pucuk harapan anak-anak muda ini untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa. Dalam kalangan mereka juga terdapat calon guru yang telah berkhidmat belasan tahun sebagai pendidik di institusi swasta.

Jangan disiakan golongan marhaen yang amat memerlukan kerjaya sebagai pendidik ini.

Justeru itu, saya rayu kepada KPM dan SPP suyapa segerakan pengumuman keputusan temuduga calon guru CoS 2021. Usahlah ditunda lagi pengumuman memandangkan banyak sekolah masih menghadapi kekurangan guru. Sekolah di bawah Parlimen Kulai masih memerlukan tidak kurang daripada 30 orang guru. Kenapa kekosongan ini tidak boleh diisikan dengan calon guru CoS 2021 dengan segera?

Jurucakap Pendidikan DAP & Ahli Parlimen Kulai
Kenyataan media oleh Teo Nie Ching di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 12 Mei 2022