Insurans pertanian jaminan penglibatan belia dalam sektor pertanian dan penternakan

Semalam telah berlangsung Persidangan Parlimen Belia Malaysia Penggal 1 dan salah satu usul yang penting untuk golongan belia sekali lagi diangkat sebagai usul utama dalam perbahasan kali ini.

“Bahawa persidangan mengambil ketatapan agar Kerajaan Persekutuan mengadakan inisiatif khas bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor penternakan dan pertanian bagi menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025” merupakan usul yang dibawa oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Kerohanian.

Isu pokok yang diambil kira adalah kerana kadar pengangguran belia yang semakin meningkat ekoran Covid-19. Menurut Laporan Tenaga Buruh, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun pada 2021 meningkat kepada 13.9 peratus bersamaan 347,600 orang berbanding (295,300 orang) tahun sebelumnya.

Walaupun sektor pertanian dan penternakan hanya menyumbang 7.3 peratus (RM99.5 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun tidak boleh dinafikan betapa pentingnya sektor ini sebagai alternatif lain untuk mengurangkan kadar pengangguran belia kini.

Isunya apabila rata-rata belia ingin menceburi bidang pertanian dan penternakan, jaminan kepada pendapatan hasil mahupun aset niaga tidak terjamin sekiranya berlaku bencana alam dan wabak penyakit yang tidak boleh dikawal.

Beberapa negeri misalnya Kedah, Kelantan mahupun Perak yang banyak berlaku banjir hamper setiap tahun. Tahun lepas ketika banjir teruk melanda Kedah pada Ogos, banyak penternak mahupun petani mengalami kerujian yang sangat teruk. Di Bagan Serai beberapa petani muda rugi ekoran kejadian banjir teruk yang tidak berlaku sebelum ini telah mengakibatkan mereka terpaksa gulung tikar.

Sebab itu, ketika usul dibentangkan saya mengambil kesempatan untuk berbahas untuk desakan pihak kementerian terus memperkenalkan Insurans Pertanian di Malaysia. Insurans ini bukan suatu yang taboo malah negara-negara telah memperkenalkan insurans ini kepada rakyat mereka.

APA ITU INSURANS PERTANIAN?

Insurans pertanian ialah sejenis polisi perlindungan yang melindungi pengeluar pertanian terhadap kerugian yang tidak dijangka dalam unjuran hasil tanaman atau keuntungan daripada jualan hasil di pasaran. Insurans ini berfungsi dengan syarikat-syarikat insurans tanaman atau pembekal insurans yang diluluskan bersetuju untuk menanggung rugi (iaitu, untuk melindungi) pihak yang diinsuranskan (petani, penternak atau penanam) daripada kerugian yang berlaku semasa tahun tanaman. Kerugian pula mestilah disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan atau di luar kawalan insured seperti kemarau, bencana dan penyakit. Sesetengah polisi di luar negara juga menawarkan perlindungan akibat kejadian cuaca buruk seperti ketidakupayaan untuk menanam akibat kelembapan berlebihan atau kehilangan akibat kualiti tanaman.

Insurans ini saya yakin boleh menjamin kegusaran para petani-petani muda sebagai pelindung mereka untuk menceburi bidang ini. Tidak ada istilah takut sekiranya modal besar dilaburkan tetapi rugi akibat bencana yang tidak dapat dikawal tanpa lagi.

Walaubagaimanapun, seperti yang ditekankan pihak kementerian tidak usah berdalih lagi. Pelan demi pelan, perbincangan demi perbincangan namun sehingga kini masih tidak nampak lagi usaha untuk mewujudkan Insurans Pertanian ini di Malaysia.

Maka saya menggesa, jangan kita kuat bersorak mengajak belia untuk ceburi bidang pertanian namun skim perlindungan kepada belia kerajaan abaikan.

Farid Maulud
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP KEDAH & AHLI PARLIMEN BELIA MALAYSIA
Kenyataan media oleh Farid Maulud di Alor Setar pada hari Khamis, 16 Jun 2022