Cadangan menjadikan kawasan bencana banjir tarikan pelancong idea seorang manusia yang jauh dari kehidupan masyarakat sebenar

Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya juga merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas berkaitan dengan bencana banjir yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong melalui aktiviti “volunteer tourism”.

Kawasan DUN Ketari adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas dengan bencana banjir pada 17 Disember 2021 lalu. DUN Ketari merangkumi kawasan peranginan Janda Baik dan beberapa lagi kawasan tarikan pelancong di dalam daerah Bentong. Janda Baik adalah kawasan yang paling teruk terjejas. Ia juga kawasan pertama terjadinya bencana banjir pada hari itu sebelum bencana banjir turun merebak ke kawasan yang lain di dalam Bentong. Sehingga kini, banyak tempat-tempat tarikan pelancong di Janda Baik khususnya masih tidak dibaik pulih. Apa lagi infrastruktur seperti jambatan dan jalan tidak dibaik pulih langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

Memang benar, situasi pasca banjir terutamanya beberapa hari selepas banjir berlaku, kami memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dalam kerja-kerja pembersihan. Namun, adalah salah dari segi etika dan pemikiran jika kerajaan memandang hal ini sebagai satu lubuk pendapatan buat negara mahupun negeri. Dimanakah empati dan sensitiviti Datuk Seri Nazri Aziz ketika menyuarakan pendapat ini untuk diambil kira oleh kerajaan? Ke mana hilangnya belas simpati kepada mangsa apabila kita seolah-olah meraikan kesusahan dan musibah yang ditimpa oleh mereka.

Saya menyokong idea dan pemikiran di luar kotak oleh mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara. Namun idea sebegini pada hemat saya adalah idea seorang manusia yang jauh dari kehidupan masyarakat sebenar.

Saya ingin menjemput mana-mana pihak yang sudi untuk turun ke kawasan DUN Ketari yang masih lagi tidak menerima bantuan baik pulih pasca banjir untuk mendengar sendiri keluhan mangsa-mangsa banjir ini. Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.

Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda dan kehidupan hanyut dibawa arus banjir.

Young Syefura Binti Othman
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP & ADUN Ketari
Kenyataan media oleh Young Syefura Binti Othman di Bentong pada hari Ahad, 19 Jun 2022