Laksanakan bantuan alternatif untuk rakyat sebelum menamatkan subsidi dan skim harga maksima

Keputusan tergesa-gesa kerajaan untuk menamatkan harga kawalan maksima untuk daging ayam dan telur, dan subsidi untuk minyak masak berbotol dan penternak ayam, adalah tidak bertanggungjawab kerana akan menyebabkan harga barang makanan naik secara mendadak menjelang bulan Julai nanti.

Jika tiada bantuan alternatif dilaksanakan sebelum skim harga maksima dan subsidi tersebut ditamatkan, kesejahteraan rakyat dan proses pemulihan ekonomi negara akan terjejas. Kadar inflasi tahun ke tahun untuk makanan telah mencecah 4.1% pada bulan April 2022, dan adalah tidak mustahil jika kadar ini menjangkau 6% dalam bulan-bulan yang akan datang.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengumumkan bahawa peruntukan untuk subsidi yang ditamatkan akan disalurkan secara terus kepada rakyat. Namun, sehingga hari ini kerajaan masih belum mengumumkan sebarang maklumat atau mekanisme mengenai bantuan yang dijanjikan ini.

Saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya segera mengumumkan dan melaksanakan program bantuan tersebut sebelum menamatkan skim harga maksima dan subsidi. Parti DAP juga sebelum ini telah berulang kali menyeru kerajaan menggunakan hasil daripada Cukai Makmur untuk menubuhkan sebuah Dana Penstabilan Harga berjumlah RM3 bilion.

Masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan makan bukanlah suatu perkara yang baharu. Masalah ini telah dibangkitkan sejak tahun lalu. Namun, pihak kerajaan dan para Menteri telah gagal menggubah dan melaksanakan dasar yang berkesan untuk menangani masalah ini.

Sejak beberapa bulan yang lepas, kerajaan telah gagal menyalurkan subsidi kepada penternak ayam secara berkesan dan tuntas. Sebaliknya, kerajaan memilih untuk menuduh para penternak menjalankan sabotaj dan tidak mahu memohon subsidi yang telah disediakan.

Sekarang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengugut para peniaga supaya tidak menaikkan harga jualan, walhal pada hakikatnya kos barang perniagaan seperti makanan telah naik dengan mendadak.

Kerajaan wajar berhenti menyalahkan mana-mana pihak dan menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan. Kerajaan harus melaksanakan dasar yang lebih menyeluruh dalam isu ini, bukannya dasar-dasar tidak menentu yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka
Kenyataan media oleh Khoo Poay Tiong di Melaka pada hari Rabu, 22 Jun 2022