Perdana Menteri akan ditanya Soalan Jawab Menteri esok sama ada pendirian Idris Ahmad mengenai Oktoberfest ini adalah pendirian rasmi kerajaan dan jika ya, bilakah Kabinet membuat keputusan sedemikian

Saya telah menghantar notis untuk bertanya kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri, satu soalan dalam sesi Pertanyaan Jawab Menteri esok sama ada pendirian mengenai Oktoberfest seperti yang diumumkan oleh jawapan Idris Ahmad kepada Parlimen bulan lepas ini adalah pendirian rasmi kerajaan dan jika ya, bilakah Kabinet membuat keputusan sedemikian.

Soalan yang ditanyakan ini berbunyi seperti berikut:

“Tuan Lim Kit Siang minta Perdana Menteri menyatakan sama ada pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai Oktoberfest di Malaysia merupakan keputusan rasmi Kabinet dan jika ya, bilakah keputusan ini diambil.”

Pada hari Isnin, saya telah menuduh kerajaan Ismail Sabri sebagai mencabuli prinsip dan dasar pembinaan negara bangsa yang yang ditetapkan oleh tokoh penubuhan negara dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara dengan mengatakan yang kerajaan kini menentang penganjuran Oktoberfest.

Ini bukanlah dasar kerajaan untuk 65 tahun sebelum ini sejak Merdeka pada tahun 1957. Adakah kempen Keluarga Malaysia Ismail Sabri ini akan disamakan dengan pengharaman Oktoberfest?

Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kedua, dan ketiga negara, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, pastinya akan terkejut dengan pengkhianatan asas sebegini sekiranya mereka masih hidup hari ini.

Bilakah Kabinet mengambil pendirian yang mengatakan kerajaan menentang penganjuran Oktoberfest ini.

Jawapan Parlimen dari Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, bulan lepas berbunyi seperti berikut:

“Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.”

Kerajaan Ismail Sabri perlu menjelaskan kepada rakyat, bilakah Kabinetnya mengambil keputusan untuk menentang Oktoberfest secara rasmi.

Idris Ahmad pula berpura-pura seperti tidak memahami persoalan saya pada hari Isnin lepas.

Saya harap Perdana Menteri Ismail Sabri tidak akan ponteng sidang esok dan sebaliknya hadir sendiri untuk menyatakan kedudukan kerajaannya terhadap isu penganjuran Oktoberfest ini.

Ismail Sabri juga perlu menjawab sama ada dia sedar yang dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International(TI) 2021, Malaysia mencatatkan kedudukan di tempat ke-62 dari sejumlah 180 buah negara yang ditinjau – kedudukan terendah negara sejak penerbitan carta ini pada tahun 1995 – sedangkan semua 61 negara yang mencatatkan kedudukan TI CPI yang lebih baik berbanding dengan Malaysia membenarkan penganjuran Oktoberfest di negara mereka, termasuklah negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (tempat ke-24), Qatar (31), Arab Saudi (55), Oman (56), dan Jordan (60).

Malah, Palestin, yang tidak termasuk dalam salah satu dari 180 negara yang ditinjau TI, membenarkan penganjuran Oktoberfest.

Ismail Sabri perlu menyatakan negara manakah yang mengharamkan penganjuran Oktoberfest dan mengapa kerajaannya kelihatan lebih gusar dengan Oktoberfest berbanding dengan masalah rasuah?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 3 Ogos 2022