Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Majid hari ini, memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Taklimat berkenaan adalah berdasarkan punca kuasa Peraturan Mesyuarat 77(1)(c) dan Peraturan Mesyuarat 83(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat
Dewan Rakyat.

LKAN 2021 Siri 1 terbahagi kepada dua iaitu Aktiviti Kementerian/ Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan serta Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Bagi LKAN Aktiviti Kementerian/ Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan, PAC dimaklumkan bahawa pengauditan membabitkan Sembilan (9) laporan, lapan (8) kementerian serta 33 syor audit.

Antara kementerian yang diaudit dalam LKAN 2021 Siri 1 adalah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

Jumlah keseluruhan pengauditan ini adalah bernilai RM10.749 bilion iaitu RM5.381 bilion untuk lima (5) projek dan RM5.368 bilion dan RM5.368 bilion bagi empat (4) aktiviti.

PAC dimaklumkan bahawa daripada segi aspek Keberhasilan / Objektif Projek / Program sejumlah satu (1) projek tercapai sepenuhnya, empat (4) tidak
tercapai sepenuhnya, manakala empat (4) tidak dapat diukur. Selain itu, satu (1) program dikenalpasti berlaku pembaziran bernilai RM18,135, dua (2)
program / projek berlaku pembayaran tidak teratur berjumlah RM5.63 juta dan dua (2) projek / program berlaku kehilangan atau kerugian wang awam
berjumlah RM2.80 juta.

Bagi LKAN 2021 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan membabitkan empat (4) laporan iaitu satu (1) Syarikat Berhad Menurut Syer, dua (2) Syarikat Berhad Menurut Jaminan dan satu (1) pengurusan Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Ketua Audit Negara memaklumkan bahawa dua (2) syarikat yang diaudit mencapai objektif syarikat, dua (2) syarikat mempunyai tadbir urus korporat
memuaskan manakala satu syarikat mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

PAC mempunyai hubungan yang erat dengan Jabatan Audit Negara dalam memastikan undnag-undang, prosedur dan tatacara kewangan serta tadbir urus Kerajaan sentiasa dipatuhi. Dalam tempoh dua tahun sejak 2020, PAC telah mengadakan prosiding untuk 16 isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). Antaranya, 11 Laporan PAC telah dibentangkan manakala 5 isu lagi masih di peringkat prosiding dan penyediaan laporan (housekeeping).

Bagi LKAN 2021 Siri 1, PAC bersetuju memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung Pengurusan Mitigasi Banjir Kuala Lumpur.

Manakala prosiding bagi isu-isu lain dalam LKAN 2021 Siri 1 akan dimaklumkan kemudian tertakluk kepada perbincangan lanjut ahli-ahli PAC.

Pada masa sama, saya ingin memaklumkan bahawa PAC akan membentangkan Laporan PAC berhubung Perolehan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat esok.

Laporan PAC setebal 250 muka surat ini tidak termasuk hansard prosiding dan dokumen pembentangan akan mempunyai beberapa pembaharuan dan penambahbaikan daripada segi kandungannya dalam memudahkan orang awam memahami isu-isu yang dilaporkan dalam Laporan PAC.

Wong Kah Woh
PENGERUSI JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG PARLIMEN & AHLI PARLIMEN IPOH TIMOR
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 3 Ogos 2022