Adakah SPRM sedar berapa banyak wang yang diperbelanjakan dari skandal 1MDB dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam memberitahu Parlimen dalam jawapan kepada pertanyaan dari MP DAP untuk Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyemak laporan terhadap seorang Menteri dan dua orang Timbalan Menteri atas tuduhan penyalahgunaan dana.

Perkara ini susulan keterangan dalam bulan Jun dari Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dalam perbicaraan rasuahnya sendiri yang mengatakan tiga orang MP UMNO keluar dari parti tersebut untuk menyelamatkan diri mereka dari disiasat SPRM.

Lebih dari sebulan telah berlalu sejak dari keterangan yang diberikan Zahid ini.

SPRM perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa siasatan masih belum dibuka terhadap Menteri, Mustapha Mohamad (Jabatan Perdana Menteri), dan dua timbalan menteri, Ermieyati Samsudin (Jabatan Perdana Menteri) dan Noor Azmi Ghazali (Kesihatan), yang dinamakan oleh Zahid sebelum ini mengapa SPRM mengambil masa sehingga lebih dari sebulan untuk “menyemak” laporan ini.

Bilakan “semakan” ini akan disusuli dengan “penyiasatan”?

Terdapat banyak perbincangan mengenai akta pendanaan politik, dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri, menyenaraikan perkara ini sebagai salah satu “reformasi” yang dia mahu laksanakan selepas kelulusan pindaan undang-undang anti-lompat parti untuk menyekat Ahli-ahli Parlimen dari melompat parti.

Adakah SPRM sedar mengenai sebanyak manakah wang yang dibelanjakan dari skandal 1MDB untuk Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013?

Adakah ini sebabnya mengapa selepas sedekad kemudian, tidak ada seorang pun pemimpin UMNO atau Barisan Nasional yang berani mengecam skandal 1MDB walaupun Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, telah memberitahu Parlimen bahawa setakat 30 Jun, baki hutang 1MDB masih bernilai sebanyak RM32.08 billion?

Perkara ini menjadi ujian terhadap kebolehan SPRM untuk melawan rasuah di Malaysia.

Menurut penghakiman Azimah Omar terhadap bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi, dalam samannya terhadap saya, Apandi semasa menjadi Peguam Negara “telah gagal untuk memberikan apa-apa sebab yang kukuh di belakang keputusannya untuk menerima naratif derma (sambil mengatakan Najib Razak tidak bersalah) walaupun dia mengakui yang delegasinya ke Riyadh telah gagal dalam misi untuk mengesahkan kebenaran di sebalik kisah dongeng derma ini” dan “delegasi ke Riyadh ini telah gagal untuk bercakap mahupun berjumpa dengan penderma yang direka ini”.

Azam Baki adalah salah seorang ahli delegasi ke Riyadh pada Oktober 2015 ini.

Bolehkah dia mengatakan sama ada delegasi ke Riyadh – yang mana dia sendiri adalah salah seorang ahlinya – ini berjumpa dengan “penderma” RM2.6 billion kepada Najib ini?

Bulan lepas, timbalan presiden UMNO, Mohamad Hassan, mengatakan yang “tidak mustahil” untuk BN mengalahkan DAP di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Barisan Nasional cuba untuk merampas kerajaan negeri Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 2013 dan Najib telah melantik Jho Low sebagai penasihat strategiknya untuk tujuan ini.

Adakah SPRM sedar mengenai jumlah wang yang dibelanjakan dari skandal 1MDB dalam pilihan raya umum 2013 untuk mencapai objektif bagi BN merampas semula Pulau Pinang dan sama ada UMNO dan Barisan Nasional akan mampu untuk mencari seorang lagi Jho Low untuk mencuba merampas Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-15?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 4 Ogos 2022