Saya amat berbesar hati dengan ketelusan pihak MIC semalam yang membongkar kes individu berstatus muflis dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh DBKL

Saya amat berbesar hati dengan ketelusan pihak MIC semalam yang membongkar kes individu berstatus muflis dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Walaupun individu yang terlibat adalah dari kalangan parti politik kerajaan yang bersama dengan MIC, tetapi MIC telah bersikap adil dan telus dalam membuat penilaian.

Namun rakyat masih tertanya-tanya, mengapa MIC hanya diam seribu bahasa sehingga kini apabila berhadapan dengan kontroversi skandal kewangan terbesar di dunia iaitu kes rasuah 1MDB yang melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Walhal isu tersebut telah mencalarkan imej negara di mata dunia.

Walaubagaimanapun, dalam isu kes lantikan ahli politik muflis sebagai ahli lembaga DBKL ini, saya berdiri bersama-sama dengan MIC untuk mendesak DBKL memberikan penjelasan serta membatal lantikan tersebut. Saya juga ingin mendapatkan jawapan bagaimana individu tersebut boleh melepasi saringan bagi pemilihan ahli lembaga DBKL?

Akhir sekali, saya berharap pihak DBKL dapat mengumumkan secara terbuka jika ada ahli lantikan dan staff DBKL lain yang berstatus muflis masih berada dan bertugas di DBKL.

Lim Lip Eng
AHLI PARLIMEN KEPONG
Kenyataan media oleh Lim Lip Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 4 Ogos 2022