Laporan PAC mengenai perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Laporan LITTORAL COMBATANT SHIP (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Isu ini penemuan Jabatan Audit Negara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019, Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan turut dilaporkan dalam Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

PAC mengadakan sembilan (9) prosiding berhubung isu ini, bermula 18 November 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac 2022.

Antara saksi yang dipanggil dalam prosiding-prosiding berkenaan adalah:

  1. Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan;
  2. Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi, Mantan Menteri Pertahanan;
  3. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF);
  4. Tan Sri Ambrin bin Buang, Pengerusi JKTSTUPKK;
  5. Tan Sri Laksamana Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut;
  6. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz bin Jaafar , Mantan Panglima Tentera Laut;
  7. Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman, Ketua Eksekutif, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT);
  8. Encik Sharifuddin bin Md. Zaini Al-Manaf, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Heavy Industries Corporation Berhad, dan
  9. Encik Low Kok Chiang, Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Hasil daripada prosiding berkenaan, PAC membuat sembilan (9) rumusan seperti berikut:

  1. Kontrak projek LCS diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat BNS secara rundingan terus. Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima (5) buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan;
  2. Pandangan TLDM selaku end user tidak diendahkan oleh MINDEF dan syarikat BNS dalam pelaksanaan projek LCS. Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011. Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima Tentera Laut pada ketika itu, keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong”;
  3. Due diligence yang dilakukan oleh Kerajaan terhadap syarikat BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut. Hal ini dibuktikan apabila Kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu;
  4. Kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan. Setakat tahun 2018, hutang syarikat BNS kepada OEM adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman syarikat BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta;
  5. Syarikat BNS telah melantik syarikat CAD dan CED untuk membeli peralatan daripada OEM. Ini menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda. Syarikat CAD dan CED merupakan syarikat usahasama antara BNS (51%) dan RAD (49%) yang mana RAD mempunyai kawalan penuh ke atas CAD dan CED. Laporan Pengauditan Forensik mendapati peranan CAD dan CED dalam projek LCS amat meragukan;
  6. Terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada Kerajaan. Pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1% (bayaran sebanyak 63.8% berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7%);
  7. Sehingga kini, detailed design masih belum lagi dimuktamadkan oleh Kerajaan dan syarikat BNS. Hal ini menyebabkan VO dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku;
  8. Pembayaran diterima daripada Kerajaan oleh syarikat BNS tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya. Ini menyebabkan syarikat BNS menghadapi suatu cost overrun sebanyak RM1.4005 bilion. Daripada amaun tersebut, sejumlah RM400 juta telah digunakan untuk menyelesaikan hutang lapuk projek lama NGPV; dan
  9. Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% telah pun usang (obsolete).

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan tujuh (7) perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan seperti berikut:

  1. Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia dinyahklasifikasikan sepenuhnya;
  2. Insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi perolehan pada masa hadapan. Perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan end user iaitu TLDM dalam kes ini, dan secara amnya bagi segala projek dan perolehan di masa hadapan selari dengan Kertas Putih Pertahanan 2020 – 2030;
  3. Kementerian perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari masa ke masa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara;
  4. Pentadbiran Kontrak Kerajaan haruslah diperkemaskan untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi mengelakkan peningkatan kos projek;
  5. SPRM perlu mengambil tindakan ke atas segala penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK, dan Laporan Pengauditan Forensik dengan kadar segera. Pendakwaan harus disegarakan;
  6. MINDEF perlu melihat semula kesemua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab;
  7. MINDEF perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga (3) bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan.

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak khususnya Kementerian Pertahanan, BNS dan semua jabatan serta agensi Kerajaan kepada PAC dalam menyiapkan laporan ini.

Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Perolehan Kapal Perolehan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Di Bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.

Wong Kah Woh
PENGERUSI JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG PARLIMEN & AHLI PARLIMEN IPOH TIMOR
Kenyataan media oleh Wong Kah Woh di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 4 Ogos 2022