Ismail Sabri diminta mengumumkan kos perbelanjaan lawatan rasmi beliau ke Jepun dalam bulan Mei untuk membuktikan perbelanjaan lawatan rasmi beliau tidak melebihi jumlah perbelanjaan lawatan rasmi ke luar negara dalam tempoh Najib Razak pegang jawatan PM (2008 – 2013)

Saya berasa kesal atas jawapan yang tidak lengkap dan tidak tepat terhadap soalan saya yang bernombor 65 pada 21 Julai 2022 oleh YB Datuk Dr Abd Latiff Bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Soalan saya adalah “minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa anggota rombongan rasmi dan berapa pihak persendirian yang mengikuti Perdana Menteri melawat Jepun pada Mei tahun ini. Beri pecahan perbelanjaan lawatan rasmi yang dibiayai oleh Kerajaan dan kos yang ditanggung oleh pihak swasta/persendirian.”

Jawapan YB Datuk Dr Abdul Latiff Bin Ahmad kepada saya adalah:-

“Tuan Yang Di-Pertua,

  1. Untuk makluman, lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke Jepun pada 23 hingga 28 Mei 2022 yang lalu merupakan antara lawatan berprofil tinggi selepas lebih dua tahun sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.
  2. Delegasi Malaysia ini diketuai oleh YAB Perdana Menteri bersama-sama dengan Menteri Kabinet termasuklah Utusan Khas YAB Perdana Menteri ke Jepun, Republik Korea dan Taiwan.
  3. Antara kejayaan terbesar hasil pertemuan kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia dan Jepun tersebut adalah persetujuan penaikan taraf hubungan dua hala Malaysia-Jepun ke peringkat yang lebih komprehensif iaitu daripada Strategic Partnership kepada Comprehensive Strategic Partnership.
  4. Di samping itu, Delegasi Malaysia telah mengadakan lawatan ke Dewan Bandaraya Itabashi dan berpeluang mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri dan wakil-wakil syarikat Jepun yang berada dalam wilayah Itabashi. Kerjasama baharu turut dipersetujui di antara Bandar Itabashi dengan Bandaraya Kuala Lumpur merangkumi kerjasama bandar pintar dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan kerjasama dalam konteks mengendalikan bencana terutamanya usaha-usaha dalam menangani dan mengatasi isu banjir.”

Jawapan yang diberi oleh Menteri JPM YB Datuk Dr Abd Latiff Bin Ahmad di atas menunjukkan beliau langsung tidak menjawab isu yang saya tanyakan, iaitu tentang “jumlah anggota yang menyertai rombongan lawatan Perdana Menteri dan pecahan kos terlibat”, tetapi Menteri hanya jawab tentang objektif Perdana Menteri melawat Jepun dan program dalam lawatan rasmi itu.

Tetapi, pada hari yang sama, YB Menteri memberi jawapan tentang perbelanjaan empat duta-duta khas Perdana Menteri pada tahun 2020 hingga 2022 kepada soalan no:78 yang dikemukakan oleh YB Chan Foong Hin (Kota Kinabalu). Jawapan bagi soalan no: 78 ini menyatakan “bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2022, sebanyak RM923,455.10 telah dibelanjakan bagi tujuan lawatan rasmi dalam dan luar negara keempat-empat Utusan Khas Perdana Menteri, di samping dalam melaksanakan fungsi tugas dan komitmen yang dipertanggungjawabkan.”

Saya tidak faham mengapa Jabatan Perdana Menteri mengelak untuk menjawab soalan saya berkenaan perbelanjaan yang melibatkan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun kerana soalan yang sama pernah ditanya oleh Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri yang lepas dan kerajaan memang beri jawapan di Dewan Rakyat.

Misalnya:

  1. Kos lawatan luar negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rombongannya dalam tempoh lima tahun terakhir bernilai RM44.1 juta. (https://www.malaysiakini.com/news/235910).
  2. Kerajaan belanja RM6.31 juta untuk lapan lawatan rasmi Tun Mahathir dan delegasi ke luar negara (https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1656580). Kerajaan Pakatan Harapan malah memaparkan berita ini di laman web rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (https://www.bheuu.gov.my/index.php/media/keratan-akhbar/1312-kerajaan-belanja-rm6-31-juta-untuk-lapan-lawatan-rasmi-pm)

Sekiranya mantan Perdana Menteri sanggup menjawab soalan Parlimen tentang perbelanjaan lawatan rasmi ke luar negara, kenapakah Perdana Menteri YB Dato’ Sri Ismail Sabri enggan jawab soalan Parlimen saya dan lapor perbelanjaan lawatan rasminya di Parlimen? Adakah ini disebabkan perbelanjaan lawatan rasminya ke Jepun melebihi jumlah perbelanjaan 5 tahun lawatan rasmi bekas PM Dato’ Sri Najib Razak (RM44.1 juta), sehingga beliau tidak berani mengumumkan jumlah yang dibelanjakan dalam lawatan rasminya ke Jepun?

Kerajaan sepatutnya telus tentang perbelanjaan mereka kepada rakyat, termasuk kos perbelanjaan lawatan rasmi anggota kabinet ke luar negara.

Memandangkan Menteri di JPM YB Datuk Dr Abdul Latiff Bin Ahmad gagal memberi jawapan yang betul kepada saya, saya menyeru YAB Perdana Menteri menjawab soalan Parlimen saya sekali lagi dan mengumumkan kos perbelanjaan lawatan rasminya ke Jepun kepada media.

AHLI PARLIMEN SEPUTEH
Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 4 Ogos 2022