Saya tidak pernah mencadangkan Oktoberfest dijadikan cuti umum semasa saya bertanya sama ada pendirian PAS mengenai Oktoberfest kini menjadi pendirian kerajaan Ismail Sabri

Saya tidak pernah mencadangkan Oktoberfest dijadikan cuti umum semasa saya bertanya sama ada pendirian PAS mengenai Oktoberfest kini menjadi pendirian kerajaan Ismail Sabri.

Satu laman web, Malaysia Today, menerbitkan kenyataan saya mengenai Oktoberfest dengan tajuk: “Oktoberfest Patut Diumumkan Cuti Am”

Perkara ini amatlah tidak patut dan tidak bertanggungjawab memandangkan saya tidak pernah menyeru perkara sebegitu dalam kenyataan saya yang diterbitkan dalam badan artikel tersebut.

Saya telah memberikan notis untuk bertanya kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri, dalam sesi pertanyaan Menteri di parlimen semalam mengenai kedudukan kerajaan terhadap Oktoberfest, seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad, di Parlimen pada bulan lepas adalah pendirian rasmi kerajaan kerajaan Ismail Sabri dan sekiranya ya, bilakah Kabinet membuat keputusan ini.

Soalan yang ditujukan kepada Ismail Sabri semalam berbunyi:

“Tuan Lim Kit Siang minta Perdana Menteri menyatakan samada pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai Oktoberfest di Malaysia merupakan keputusan rasmi Kabinet dan jika ya, bilakah keputusan ini diambil.”

Malangnya, soalan ini ditolak memandangkan ia tidak terpilih sebagai salah satu dari tiga soalan pertanyaan jawab Menteri untuk semalam.

Saya telah katakan pada hari Isnin, yang kerajaan Ismail Sabri telah mencabuli prinsip dan dasar pembinaan negara bangsa yang yang ditetapkan oleh tokoh penubuhan negara dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara dengan mengatakan yang kerajaan kini menentang penganjuran Oktoberfest.

Selama 65 tahun, kerajaan tidak pernah mengharamkan penganjuran Oktoberfest.

Adakah kempen Keluarga Malaysia Ismail Sabri ini akan disamakan dengan pengharaman Oktoberfest?

Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kedua, dan ketiga negara, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, pastinya akan terkejut dengan pengkhianatan asas sebegini sekiranya mereka masih hidup hari ini.

Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui bilakah Kabinet mengambil pendirian yang menentang penganjuran Oktoberfest ini dan mahu mengharamkan penganjurannya?

Idris Ahmad pula berpura-pura seperti tidak memahami persoalan saya sejak hari Isnin.

Saya telah berharap Perdana Menteri Ismail Sabri tidak akan ponteng sidang dan sebaliknya hadir sendiri untuk menyatakan kedudukan kerajaannya terhadap isu penganjuran Oktoberfest ini.

Ismail Sabri juga perlu menjawab sama ada dia sedar yang dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International(TI) 2021, Malaysia mencatatkan kedudukan di tempat ke-62 dari sejumlah 180 buah negara yang ditinjau – kedudukan terendah negara sejak penerbitan carta ini pada tahun 1995 – sedangkan semua 61 negara yang mencatatkan kedudukan TI CPI yang lebih baik berbanding dengan Malaysia membenarkan penganjuran Oktoberfest di negara mereka, termasuklah negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (tempat ke-24), Qatar (31), Arab Saudi (55), Oman (56), dan Jordan (60).

Namun, perkara ini tidak terjadi memandangkan soalan parlimen saya tidak dijadualkan untuk dijawab, namun persoalannya kekal, sama ada kerajaan Ismail Sabri telah menerima pendirian PAS terhadap Oktoberfest dan sama ada penganjurannya akan diharamkan di Malaysia, dan jika ya, bilakah Kabinet Ismail Sabri mengambil keputusan ini.

Atau adakah kita berhadapan dengan situasi di mana kerajaan Ismail Sabri tidak berani untuk mengumumkan pendiriannya terhadap Oktoberfest?

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022