Perlu ada sidang khas tergempar bagi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menentukan nasib status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti

Perlu ada sidang khas tergempar bagi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menentukan nasib status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti. Ini berikutan keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada hari Rabu yang memihak kepada kesahihan keperlembagaan undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang yang digubal pada 2012, sekali gus mengatasi keputusan Mahkamah Agung 1992 sebelum ini dalam kes pendahulu Nordin Saleh.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah membuat keputusan sebulat suara bahawa Seksyen 14A perlembagaan negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang anti-lompat parti oleh ahli parlimen individu diwartakan, seksyen 14A perlembagaan negeri Pulau Pinang adalah sah dan harus dikuatkuasakan.

Perkara 14A perlembagaan negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012, memperuntukkan bahawa ahli dewan Undangan negeri hendaklah mengosongkan kerusinya jika setelah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada atau berhenti menjadi ahli parti itu.

Seksyen 14A tidak terpakai kepada dua ADUN Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) kerana mereka telah bertanding sebagai ahli Bersatu walaupun menggunakan logo PKR. Bagaimanapun, dua bekas ADUN PKR – Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) tersangkut dengan Seksyen 14A selepas mereka tidak lagi menjadi ahli PKR berikutan dipecat kerana mengkhianati parti.

Memandangkan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan masih belum diwartakan, keputusan Mahkamah Persekutuan bermakna Seksyen 14A dilindungi undang-undang dan harus diguna pakai ke atas dua bekas ADUN PKR itu. Sidang DUN khas tergempar perlu diadakan untuk memutuskan perkara ini memandangkan soal keperlembagaan telah dirungkaikan dan harus dilaksanakan mengikut kehendak rakyat.

Keputusan baru Mahkamah Persekutuan ini akan disambut baik oleh semua yang ingin melihat politik bersih dibersihkan daripada oportunis yang sanggup mengkhianati mandat yang diberikan pengundi mereka dengan melompat ke parti politik lain demi jawatan dan kepentingan peribadi. Rakyat Pulau Pinang ingin melihat pelaksanaan bersejarah pengisytiharan dua kerusi PKR itu dikosongkan dengan menguatkuasakan pindaan perlembagaan Pulau Pinang 2012 bagi menyaksikan hancurnya “katak” politik.

PENGERUSI KEBANGSAAN DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022