Saya mengalu-alukan inisiatif kerajaan persekutuan dalam usaha mengurangkan air tanpa hasil (NRW – non-revenue water) setelah berbilion-bilion liter air bernilai berbilion-billion ringgit telah hilang.
Bagaimana pun, saya berasa kurang yakin dengan jumlah perutukan sebanyak RM112 juta yang diperuntukkan untuk tujuan mewujudkan zon kawalan kebocoran. Saya menganggap kerajaan persekutuan masih tidak memberikan keutamaan yang sepatutnya dalam menangani masalah NRW ini.
Menurut laporan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Association of Water and Energy Research Malaysia – AWER ) negara kita kehilangan 5.7bilion liter air terawat setiap hari di seluruh negara pada tahun 2013, bersamaan kehilangan sekurang-kurangnya 2 bilion ringgit. Jumlah kehilangan NRW telah mengakibatkan kerugian kepada keseluruhan negara sebanyak 10.8 bilion ringgit bagi tahun 2008 hingga 2013.
Berbanding dengan kerugian yang begitu besar, peruntukan sebanyak 112 juta ringgit nampaknya tidak mencukupi untuk menangani masalah ini. Oleh yang demikian, saya pada pendapat bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Bagaimana pun, adalah penting bagi pihak kerajaan persekutuan menetapkan KPI kepada penerima-penerima peruntukan ini bagi menampakkan kesannya walau berapa kecil pun hasilnya. Setiap sen yang dibelanjakan itu haruslah mendapat impak dan kesan yang paling optimum bagi mengelakkan ketirisan.
Kerajaan juga perlu memastikan bagi lebihan hasil yang diperolehi daripada pengurangan NRW ini harus dimanfaatkan untuk mengurangkan lagi NRW atau diserahkan kepada kerajaan negeri untuk kegunaan memelihara sumber air untuk memastikan keselamatan sumber air kita.