Skip to content

DAPSY bersolidariti bersama UMANY4 dan Ariffin

Saya membidas pihak universiti UM dan UiTM yang telah mengenakan tindakan tatatertertib terhadap UMANY4 dan saudara Ariffin Amin baru-baru ini yang cuba mengorbankan kebebasan dan hak mahasiswa demi kepentingan politik Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Pada bulan Mac, empat aktivis mahasiswa UM yang mempamerkan plakad ketika forum 1MDB anjuran JASA telah disabit kesalahan oleh pihak universiti UM tanpa mempertimbangkan kebebasan bersuara. Empat aktivis mahasiswa tersebut yang didenda adalah saudara Ho Chi Yang, saudara Tan Jia You, saudara Lau Li Yang dan saudari Chua Hun Ti dan mereka merupakan ahli jawatankuasa UMANY (University of Malaya Association of New Youth). Hukuman yang dikenakan oleh pihak universiti terhadap UMANY4 seolah-olahnya satu amaran kepada mahasiswa-mahasiswi supaya tidak menyuarakan bantahan mahupun pandangan mereka terhadap skandal 1MDB ini.

Seterusnya, saudara Ariffin Amin daripada UiTM turut hadir ke prosiding oleh pihak universiti UiTM pada 7 April atas penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan Bersih 5.0. Beliau telah didapati bersalah oleh pihak universiti dan diberi amaran serta denda sebanyak RM 200 walaupun pendakwaan pihak universiti jelas sekali bercanggah dengan kebebasan berhimpun beliau.

DAPSY menyeru kepada pihak kerajaan agar berhenti segala penindasan dan sekatan terhadap mahasiswa-mahasiswi untuk tujuan politik. Dalam tahun 2016 sehingga awal tahun ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) daripada pelbagai varsiti tempatan telah mengambil tindakan prosiding dan disiplin terhadap sekurang-kurangnya 10 mahasiswa/wi yang lantang menyuarakan pendirian mereka terhadap skandal 1MDB.

Pihak kerajaan mahupun universiti sepatutnya menghormati hak bersuara dan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Adalah tidak salah sekiranya mahasiswa-mahasiswi mahupun rakyat jelata menyuarakan kritikan dan bantahan mereka terhadap isu-isu negara seperti skandal 1MDB. Segala tindakan susulan yang diambil terhadap mereka adalah tidak adil dan satu ancaman terhadap sistem demokrasi kita.

DAPSY sekali lagi bersolidariti bersama UMANY4 dan saudara Ariffin Amin untuk memperjuangkan kebebasan dan hak mahasiswa untuk melawan segala penindasan politik daripada pihak kerajaan melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti.