Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka denga penuh amanah dan profesyenal. Dalam pameran syor kedua kali ini SPR kelihatan tergesa-gesa hendak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh bos mereka sehingga pihak SPR sanggup mengecualikan negeri Selangor kerana negeri tersebut masih dalam proses mahkamah dan siasatan tempatan untuk syor kali pertama masih belum selesai.
Satu lagi kejadian yang menampakkan sikap tergesa-gesa pihak SPR ialah kehilangan sebuah kampong yang mempunyai pemilih seramai 876 orang dalam keseluruhan syor kali kedua ini.
Kampong Teratai merupakan sebuah kampong yang terletak kebetulan pada sempadan tiga buah kawasan Dewan Negeri ialah Jementah, Tangkak, Bekok dan Bukit Serampang.
Dalam PRU13 Kampong ini dibelahkan kepada dua DUN ialah Jementah dan Bukit Serampang. SPR telah “menyatukan” semula kampung ini pada Mei 2016 dengan mengubah pembahagian bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri melalui kuasa yang diberikan oleh subseksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19], proses ini lebih dikenali sebagai “belah bahagi”. Dalam belah bahagi pada Mei 2016 yang lalu, Kampong Teratai diletakkan di bawah DUN Bukit Serampang.
Dalam Syor Pertama Persempadanan Semula yang dipamerkan pada bulan September 2016 yang lalu, Kampong Teratai diletakkan pula di dalam DUN Gambir. Bagaimana pun, perkembangan terbaru bagi kampung ini ialah kampung ini tidak disenaraikan di mana-mana bahagian pilihanraya di negeri Johor seperti yang terkandung dalam Syor Kedua Persempadanan Semula yang dipamerkan mulai 8 Mac 2017 yang lalu.
Dengan kata lain, kesemua 876 orang pemilih di Kampong Teratai kini tidak dapat menunaikan hak mereka sebagai warganegara untuk mengundi dan memilih Ahli Dewan Negeri atau Ahli Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keadaan sebegini telah menyusahkan penduduk di kampung tersebut khasnya sekiranya mereka berhasrat untuk membuat bantahan ke atas syor persempadanan semula kali ini. Sekali lagi hak penduduk kampung telah dinafikan.
Kami berpendapat bahawa SPR haruslah menjalankan persempadanan semula dengan lebih telus. Antaranya, pameran syor wajar dijalankan dengan pelbagai saluran dan cara yang sesuai pameran di pusat-pusat pameran sedia ada jelas tidak mencukupi untuk memudahkan orang awam membuat semakan ke atas syor. Salah satu cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah menggantung kain lantang di daerah-daerah mengundi yang terjejas dalam urusan persempadanan semula bagi memaklumkan penduduk setempat perubahan yang berlaku di sesuatu daerah mengundi tersebut.
SPR wajar memberi penjelasan kepada kita sebab Kampong Teratai “hilang” dalam syor yang dipamerkan. Adakah kampung ini dijadikan catur terakhir yang digunakan menjejaskan keputusan Pilihanraya Umum akan datang di beberapa DUN persekitaran?
Bagi menunjukkan sikap serius dan profesyenal pihak SPR wajar menarik balik syor kedua yang dipamerkan sekarang, memeriksa dan mengkaji semula syor kedua persempadanan semula dengan mengambilkira dan mempertimbangkan bantahan-bantahan yang diterima semasa syor pertama dan mempamerkan syor kedua pada suatu tarikh akan datang.