Skip to content

Kenyataan Media Lim Lip Eng Pada 22 Disember 2014

10 pelajar sekolah rendah di Kampung Segambut Bahagia kawasan Parlimen Segambut berpeluang mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris secara percuma mulai bulan Januari hadapan.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng (tiga dari kiri) berkata, kelas tuisyen Bahasa Inggeris percuma ini akan diajar oleh mahasiswa sahaja untuk menjayakan program tersebut.

“Program ini ditetapkan pada pagi hari Ahad dan akan bermula 8 Januari tahun hadapan di premis PASTI Al-Huda dan ia akan dihadkan maksimum 10 pelajar berusia 7 tahun hingga 12 tahun bagi setiap kelas di mana kami menekankan kualiti pengajaran dan bukan kuantiti,” jelasnya.

Beliau berkata, peruntukan bagi program ini ditanggung oleh beliau sendiri dan juga kutipan dana daripada orang awam.

Menurutnya, kelas tuisyen Bahasa Inggeris yang dikendalikan guru mahasiswa ini dijalankan bagi memastikan pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan sewajarnya.

Katanya, kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas kerana ia merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa.

“Ini merupakan kelas tuisyen pertama yang dipilih di kawasan Parlimen Segambut dan kami akan cuba membawa program misi tuisyen ini ke tempat lain seperti Kampung Sungai Penchala sekiranya ia menampakkan keberhasilan,” ujarnya.

Katanya, pembukaan kelas tuisyen itu adalah sebahagian daripada aktiviti program Pusat Khidmat Pakatan Rakyat Parlimen Segambut untuk mencapai kegemilangan negara yang melibatkan semua kaum.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Segambut Bahagia Mohamad Ishak dan sebahagian pelajar.