Adalah amat mengecewakan apabila Parlimen Malaysia berfungsi seolah-olah kilang memproses undang-undang. Amalan demokrasi berparlimen terjejas apabila institusi ini disalah guna oleh kerajaan untuk meluluskan undang-undang secara tergesa-gesa.
Apakah perlu untuk meluluskan undang-undang baru atau meminda undang-undang yang sedia ada dalam keadaan terdesak. Adalah tidak wajar untuk meluluskan apa-apa undang-undang dalam keadaan kesuntukan masa.
Ahli-ahli Parlimen harus diberi peluang untuk mengkaji dan membuat penyelidikan terperinci mengenai rang undang-undang yang dibentangkan. Masa yang secukupnya haruslah diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membuat persediaan awal sebelum membahaskan sesuatu perkara di Dewan Rakyat.
Sebagai contoh, Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dibaca pada kali pertama semalam. Hari ini, rang undang-undang ini telah dibawa untuk bacaan kali kedua dan dibahas. Ahli-ahli Parlimen tidak diberi masa yang cukup untuk menghadam isu-isu penting berhubung dengan perkara yang dibangkitkan itu.
Oleh yang demikian, kualiti perbahasan pastinya akan terjejas. Ini bukanlah cara terbaik Parlimen bersidang. Dalam kata lain, Ahli-ahli Parlimen sebenarnya dihalang daripada menjalankan kewajiban dan tanggunjawab secara profesional. Parlimen Malaysia juga tidak akan mencapai status taraf kelas dunia yang dihasratkan jika ianya diuruskan seperti ini.
Parlimen tidak boleh beroperasi seperti kilang. Pagi tadi, Parlimen ditangguhkan pada jam 12.32am. Pada hari ini pula, disenaraikan sebanyak 9 buah rang undang-undang untuk dibahaskan dan diluluskan dalam tempoh 9 jam. Secara purata setiap rang undang-undang itu hanya diperuntukkan masa lebih kurang 1 jam sahaja. Adakah ini wajar?
Kerajaan tidak seharusnya memperalatkan Parlimen untuk kepentingannya. Sesi persidangan Parlimen boleh dipanjangkan jika tidak cukup masa untuk meluluskan semua rang undang-undang yang dibentangkan itu.
Tetapi, kerana keangkuhan kerajaan Barisan Nasional institusi Parlimen juga dipermainkan. Kemuliaan Dewan diperkecilkan secara terang-terang. Bukankah ini juga satu bentuk kezaliman terhadap rakyat apabila undang-undang diluluskan tanpa keperincian.