DAP mengalu-alukan kenyataan Presiden sebuah NGO Islam Pertubuhan Ikram Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, yang menyeru masyarakat Malaysia supaya menghentikan tabiat gelar-menggelar seperti memanggil ‘pendatang’ dan ‘penceroboh’ kepada rakyat Malaysia yang bukan Melayu atau bukan Islam. Adalah betul orang ramai patut memberi fokus kepada usaha mencetuskan suasana saling hormat-menghormati dan memupuk persefahaman antara kaum dan agama di negara ini.
Dr Mohd Parid menyentuh hati rakyat Malaysia bila menyatakan “Apakah mungkin kaum bukan Melayu dan bukan Islam yang membangunkan negara ini dengan jiwa raga mereka terus digelar pendatang dan penceroboh sedangkan negara ini adalah tanah tumpah darah mereka? Imej Islam sebagai agama damai dan agama dialog harus dikekalkan dan unsur-unsur ugutan, amalan, dan hasutan yang semakin berleluasa pada hari ini mesti dibanteras.”
Macam mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memperjuangkan wasatiyyah(kesederhanaan) tanpa mengambil tindakan ke atas NGO ekstremis Ikatan Islam Malaysia (Isma) yang menghasut rakyat dengan kebencian dan keganasan bahawa “Politik Islam Adalah Melawan Kafir” dan menggunakan fitnah jahat bahawa “DAP Tanamkan Kepercayaan Melayu Adalah Pendatang” bila wakil Gerakan yang sebutkannya?
Ia jelas menunjukkan agenda politik kotor ISMA pro-BN dan anti-DAP dengan menyalahkan DAP untuk sesuatu yang dilakukan oleh Gerakan. Apakah jenis manusia atau organisasi ISMA ini yang bersedia untuk menggunakan fitnah jahat sedangkan dalam Islam, fitnah adalah satu dosa besar yang lebih berat daripada membunuh orang?
Kenyataan oleh Presiden ISMA Abdullah Zaik, membuktikan agendanya yang benci golongan anti-bukan Islam dengan kenyataan secara terus terang untuk melawan kafir, yang merupakan satu perkembangan baru yang amat bahaya. Kalau tindakan tidak diambil oleh Najib, negara Malaysia mungkin porak-peranda dan huru-hara kalau dibenarkan ISMA teruskan usaha mereka melawan kafir di atas nama Politik Islam.
Prinsip dan nilai yang tidak bermoral dan tidak beretika ISMA terserlah bila mereka bohong bahawa DAPlah yang menyebut orang Melayu pendatang bila ia disebutkan oleh seorang wakil parti komponen BN, Gerakan. Oleh itu kemungkinan besar, ISMA yang pakar menukarkan hitam jadi putih dan putih jadi hitam, akan terlepas daripada sebarang tindakan tegas sungguhpun telah mengeluarkan ucapan ekstremis yang mahu menggugat ketenteraman awam dan menanam kebencian terhadap golongan bukan Islam, yang harus dilawan kerana mereka kafir.
Adakah Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara akan bertindak terhadap ISMA? Kegagalan mereka akan menjadi Najib sunyi keseorangan dengan ayat-ayat manis wasatiyyah yang hanya merupakan omong-omong kosong. DAP percaya bahawa majoriti besar rakyat Malaysia mahu hidup dangan aman dan damai dan tidak berminat dalam usaha lawan-melawan di antara Islam dan bukan Islam menerusi sentimen dan perjuangan melawan kafir. Oleh itu rakyat Malaysia mesti bersatu berpegang teguh menentang sebarang keganasan dan kebencian yang dicanangkan oleh NGO ekstremis ISMA.