Skip to content

Perak MB Inc mempunyai potensi untuk menjadi skandal sebesar 1MDB jika kerahsiaannya tidak didedahkan

Potensi skandal besar

Saya merujuk kepada ucapan Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Bin Abdul Kadir dalam Dewan Negeri Perak di mana Dato’ Seri Zambry mengugut akan mengenalpasti pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen kerajaan mengenai MB Inc.

Adakah Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) merupakan satu lagi projek seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lebih-lebih lagi transaksi kedua-dua perniagaan ini tidak didedahkan kepada umum, walaupun mencecah nilai billion-billion Ringgit? Tidak cukup dengan itu, Dato’ Seri Zambry juga mengugut untuk menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) terhadap pegawai yang mendedahkan akaun ini walhal akaun tersebut tidak tertakluk di bawah OSA. Selain mengelak untuk berterus terang mengenai akaun-akaun ini, Dato’ Seri Zambry juga telah menolak semua soalan- soalan berkaitan dengan MB Inc yang saya bangkitkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan hasrat untuk menjadikan MB Inc sebagai sebuah syarikat korporat setanding dengan Petronas. Adalah menjadi sesuatu yang menakutkan apabila hasrat setinggi ini tidak disertakan dengan kepakaran yang diperlukan bagi mentadbir sebuah entiti korporat sebesar itu. Kita mempunyai sebab untuk merasa bimbang kerana hampir kesemua projek yang disertai oleh MB Inc telah menunjukkan tanda-tanda kegagalan.

Sumbangan Kepada Kerajaan.

Saya telah mencabar pihak kerajaan negeri untuk membentangkan prestasi pencapaian MB Inc semasa sidang Dewan Undangan Negeri. Di dalam satu risalah terbitan MB Inc, jumlah pembayaran yang dibuat oleh MB Inc kepada kerajaan negeri hanyalah RM 2 juta sahaja pada tahun lalu. Kerajaan Negeri mampu melalui projek Bandar Tasik Aman Jaya di Tronoh sahaja mendapat kutipan nilai yang sama sekiranya tiada sebarang pengecualian cukai tanah diberikan kepada projek tersebut. Pihak kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 1,467 ekar dengan bayaran premium nominal kepada MB Inc untuk projek tersebut dan cukai tanah telah dikecualikan. Projek ini dijangkakan mempunyai nilai siap bina sebanyak RM 6 billion.

Projek ini sepatutnya mampu menjana lebih banyak pendapatan kepada kerajaan negeri kalau ditabdir secara komersial. Kini, bukan sahaja projek ini gagal untuk dimulakan, ia juga meningkatkan risiko yang bakal ditanggung oleh MB Inc. Apa akan terjadi sekiranya pemaju menyaman MB Inc kerana kegagalan MB Inc menyediakan kawasan ini untuk dibangunkan? Situasi yang sama boleh terjadi kepada semua perjanjian dan projek usahasama yang ditandtangani atau disertai oleh MB Inc.

Pada tahun 2016, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) membayar cukai berjumlah RM 3.4 juta, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak membayar cukai berjumlah RM900,000.00 manakala MB Inc hanya membayar RM95,388 dalam bentuk cukai.

Pendapatan kerajaan melalui royalti, pembayaran kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Jabatan Perhutanan tidak boleh dianggap sebagai sumbangan MB Inc kepada kerajaan Negeri kerana bayaran-bayaran ini juga perlu dibayar jika tanah-tanah ini dimajukan oleh pihak swasta.

Ketelusan Diperlukan

Dato’ Seri Zambry sepatutnya membenarkan akaun MB Inc disemak pada setiap masa. Beliau tidak perlu bimbang untuk membentangkan akaun-akaun MB Inc di sidang Dewan Undangan Negeri kecuali jika beliau ada sesuatu yang mahu disembunyikannya. Sejak MB Inc diaktifkan pada tahun 2012, Dato’ Seri Zambry tidak pernah berterus terang mengenai transaksi-transaksi MB Inc sungguhpun mereka mencecah nilai berbillion-billion Ringgit melibatkan puluhan ribu ekar tanah-tanah perlombongan dan tanah-tanah bernilai tinggi yang diberikan kepada MB Inc.

Sehingga hari ini, akaun-akaun MB Inc masih tidak lagi dibentangkan dalam mana-mana persidangan Dewan Undangan Negeri Perak. Mengapa YAB Menteri Besar begitu keras kepala hendak merahsiakan akaun-akaun MB Inc sekiranya beliau tiada apa-apa yang mahu disembunyikan? Mengapa beliau tidak mengambil berat masalah MB Inc boleh hilang kawalan dan melibatkan kerugian berbillion ringgit?

Kita tidak mahu masalah MB Inc hanya dibongkarkan apabila ia sudah terlambat. Kita hendak meneliti akaun-akaun MB Inc sekarang sebelum ia menjadi skandal sebesar 1MDB.