Dalam Bajet 2015, mengikut Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerajaan memperuntukkan RM440.6 juta kepada aktiviti Risikan Keselamatan yang merangkumi unit Cawangan Khas ataupun Special Branch (SB), dan RM546.4 juta untuk aktiviti Penyiasatan Jenayah yang diterajui Jabatan Siasatan Jenayah ataupun Criminal Investigation Department (CID).
SB dapat kenaikan 3.5 kali ganda kenaikan CID
Berbanding anggaran belanjawan tahun 2014 dalam Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, SB mendapat kenaikan sebanyak 12% ataupun RM47.0 juta manakala, CID hanya mempunyai kenaikan sebanyak 2.5% ataupun RM13.1 juta sahaja. Dalam kata lain, SB mendapat kenaikan peruntukan lebih 3.5 kali ganda CID.
Keseluruhannya, peruntukan SB merangkumi lebih kurang 6% peruntukan kepada PDRM manakala CID 7%.
Seorang anggota polis SB dapat 56% lebih sumber kewangan berbanding seorang anggota CID
Bajet per kapita tahun 2015 bagi SB adalah RM53,000 setiap orang anggota manakala bagi CID pula adalah RM34,000 setiap anggota. Walaupun bukan semua wang tersebut adalah gaji dan emolumen anggota polis, namun ini menunjukkan bahawa kerajaan memperuntukkan 56% lebih banyak sumber kewangan kepada setiap anggota SB berbanding anggota CID.
Anggota CID yang berdepan dengan penjenayah yang kian hari kian mengganas sudah tentu memerlukan sumber yang lebih besar bagi menjamin keberkesanan operasi serta keselamatan anggota polis mereka.
SB hantar lebih 1,000 laporan intipan sehari kepada kerajaan
Dari segi prestasi, SB berjaya menghasilkan 368,900 laporan risikan pada tahun 2013, termasuk laporan risikan politik terutamanya terhadap pembangkang. Ini bermakna, setiap hari SB menghantar lebih 1,000 laporan risikan kepada pihak kerajaan. Pada tahun 2014 dan 2015, dijangka aktiviti ini akan berterusan tanpa perubahan ketara.
CID hanya berjaya selesai 19% kes jenayah yang dibuka fail siasatan
Prestasi CID pula, sebanyak 28,162 kes jenayah berjaya diselesaikan pada tahun 2013, berbanding 147,062 kertas siasatan yang dibuka. Dalam kata lain, hanya 19% kes berjaya diselesaikan.
Bajet 2015: Kerajaan tiada niat melaksanakan pembaharuan PDRM
Semua ini jelas menunjukkan unit SB yang seringkali dikritik sebagai polis unit politik untuk membuat intipan terhadap ahli dan penyokong pembangkang diberi fokus yang jauh lebih berbanding CID, unit yang melawan jenayah.
Bajet 2015 ini langsung tidak mencerminkan usaha ataupun kemahuan politik kerajaan pusat untuk melaksanakan pembaharuan dalam PDRM terutamanya berdasarkan cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005 serta cadangan masyarakat sivil untuk merombak SB serta menyah-politikkan PDRM demi untuk mengembalikan martabat polis dan menjaga kesejahteraan rakyat,