Skip to content

SPR menerukkan lagi fenomena pemilih hantu

Pada 2 April 2017 yang lalu, sesi Pendengaran Siasatan Awam Bantahan RDPT ST4/2016 telah dijalankan di Mahkamah Buruh, Kementerian Tenaga Manusia cawangan Kluang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kami telah hadir sebagai pembantah pada sesi tersebut. Sebanyak 7 bantahan telah kami buat melibatkan pemindahan masuk pemilih ke DUN Mahkota.

Asas kepada kes yang kami bawa ialah berdasarkan siasatan yang kami lakukan sendiri sekitar bulan Februari yang lalu. Siasatan dijalankan secara langsung ke alamat kediaman yang dinyatakan menerusi paparan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun ke-4 2016.

Hasil siasatan itu, 7 nama yang telah kami semak di 4 alamat yang berbeza telah disahkan oleh penghuni sedia ada di kediaman tersebut mengesahkan nama tersebut ‘tidak menghuni’ di situ malah ada yang mengesahkan bahawa mereka ‘tidak mengenali’ nama-nama pemilih yang tersebut.

Kami telah disabitkan kalah untuk semua kes. Hujah Orang Kena Bantah (OKB) ialah, nama-nama mereka dipindah masuk ke DUN Mahkota DENGAN KEIZINAN tuan rumah sepertimana alamat yang dinyatakan dalam RDPT ST4/2016 itu untuk menggunakan alamat kediaman mereka.

Situasi bagi 4 nama yang dibantah oleh Sheikh Omar menunjukkan pendaftaran mereka di satu alamat kediaman yang sama iaitu di No 28, Jalan Pelangi 8, Taman Pelangi Kluang. Kesemua OKB mengesahkan tidak menetap di alamat tersebut tetapi mendakwa mengenali tuan rumah. Selain itu, tuan rumah yang hadir sebagai saksi dalam sesi pendengaran itu mengesahkan bahawa beliau membenarkan untuk keempat-empat defendan menggunakan alamatnya bagi tujuan pindah masuk alamat mengundi ke dalam DUN Mahkota. Hujah yang dibawa disokong menerusi sepucuk surat akuan dikeluarkan oleh tuan rumah sendiri kepada defendan bertarikh 31 Mac 2017. Untuk rekod, 1 daripada 4 defendan yang dipindah masuk menggunakan alamat tersebut tidak hadir ke sesi pendengaran yang dijalankan. Namun, nama keempat-empat OKB termasuklah seorang yang tidak hadir itu telah siap dimuatkan dalam satu surat yang dikemukakan oleh tuan rumah.

Lebihan 3 lagi nama yang dibantah dimasukkan ke 3 alamat berasingan. Namun hujah dikemukakan OKB dan kenyataan tuan rumah sebagai saksi adalah sama. Mereka membenarkan defendan mendaftar tukar alamat ke DUN Mahkota menggunakan alamat kediamannya. 3 defendan berbaki ini tiada mengemukakan sebarang hitam putih.

Keadaan ini menggambarkan seakan-akan wujud muslihat politik untuk mengukuhkan kedudukan UMNO di DUN Mahkota apabila satu-satu nama pengundi semudahnya dipindah masuk ke alamat yang bukan kediaman atau tempat tinggal mereka sendiri.

Untuk makluman juga, ada di kalangan OKB yang mengesahkan pada sesi pendengaran tersebut bahawa beliau kini menetap di Johor Bahru – satu lokaliti yang agak jauh untuk beliau membuang undi pada musim pilihan raya nanti iaitu di DUN Mahkota. Lebih-lebih lagi, alamat pindah masuknya yang baru ini BUKAN kediaman beliau sendiri mahupun saudara mara yang secara logiknya boleh menjadi alasan kuat untuk beliau pulang mengundi.

Menurut Perkara 119(1)(b), Perlembagaan Persekutuan, Tiap-tiap warganegara yang “bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihanraya pada tarikh kelayakan itu ……” adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihanray itu….. adalah jelas menunjukkan bahawa seseorang pemilih yang didaftar wajarlah seseorang yang mendiami alamat yang ingin didaftarkan.

Dalam keadaan seseorang pemilih itu memperakui bahawa beliau bukan penghuni di sesuatu alamat yang tersebut, maka itu jelas menunjukkan bahawa orang itu bukan penghuni di sana maka tidak layak menjadi pemilih di sana.

Amat malang sekali pihak SPR telah membenarkan seseorang yang tidak mendiami sesuatu alamat itu hanya dengan alasan bahawa “tuan rumah membenarkan alamatnya digunakan orang lain sebagai alamat mengundi”. Ini akan membuka ruang atau “floodgate” kepada fenomena pemilih hantu yang semakin teruk di negara kita dan membenarkan pihak tertentu memindah penyokong mereka ke sana-sini bagi menyelamatkan diri mereka dengan sesuka hati.

Tindakan memanipulasi pilihanraya ini telah mengakis hak pemilih biasa yang lain kerana keputusan pilihanraya di sesuatu kawasan itu telah dimanipulasi dan tidak membayangkan pemilihan sebenar penduduk di sesuatu kawasan itu. Keadaan ini juga bakal menjadi ‘precedent’ yang mengukuhkan lagi persepsi umum bahawa SPR telah dikawal oleh pihak-pihak tertentu dalam memastikan survival politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan datang.