YAB Tan Sri Dato’ Sri Hj. Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Timbalan Perdana Menteri
Aras 4, Blok Barat
Bangunan Perdana Putra
62502 Putrajaya
Malaysia
Yang Amat Berhormat Tan Sri,
KERAJAAN NEGERI TIDAK MENGHALANG PELAKSANAAN PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK DALAM PROJEK PERUMAHAN RAKYAT 1 MALAYSIA (PR1MA) DI PULAU PINANG
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perbualan kami tentang perkara di atas.
2. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Tan Sri, sejak pengumuman pelaksanaan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), beberapa kenyataan telahpun dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bahawa projek PR1MA ini akan dilaksanakan di Negeri Pulau Pinang. Ini dialu-alukan oleh pihak Kerajaan Negeri yang juga ingin melihatkan bekalan rumah mampu milik bagi golongan bawahan dapat direalisasikan.
3. Antara lain pada Disember 2012, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Yang Berbahagia Dato’ Mutalib Alias telah mengumumkan bahawa projek perumahan mampu milik PR1MA akan dibina di beberapa tanah persekutuan di Bukit Gelugor, Pulau Pinang serta juga dalam proses mengenalpasti tanah di Seberang Perai. Pada bulan Ogos 2013, PR1MA telah mengumumkan bahawa 20,519 unit perumahan mampu milik akan dibina di beberapa kawasan di Malaysia termasuk Pulau Pinang.
4. Selepas pengumuman daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam Bajet 2014 bahawa lebih banyak unit rumah PR1MA akan dibina, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo telah menulis surat bertarikh 31 Oktober 2013 kepada Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan pengesahan tapak lokasi dan status pelaksanaan program PR1MA di Negeri Pulau Pinang. (Sesalinan surat tersebut dilampirkan)
5. Seterusnya pada 10 Disember 2013, Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo telah menulis kepada Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Yang Berbahagia Dato’ Mutalib Alias sekali lagi memohon pengesahan tapak lokasi dan status pelaksanaan projek perumahan PR1MA di Negeri Pulau Pinang.
6. Dalam pada itu, melalui surat bertarikh 27 Disember 2013, Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo telah menulis terus kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sekali lagi memohon pengesahan tapak lokasi dan status pelaksanaan projek PR1MA di Negeri Pulau Pinang.
7. Seterusnya, susulan daripada perjumpaan dengan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Jamaludin Jarjis dengan Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo pada 8 Februari 2014, Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo telah menulis surat bertarikh 14 Februari 2014 yang menunggu maklum balas beliau tentang 3 tapak tanah kosong projek PR1MA di Negeri Pulau Pinang yang dinanti-nantikan oleh Kerajaan Negeri. Perlu ditegaskan tapak yang dicadangkan harus bebas daripada masalah setinggan ataupun penyelesaian yang adil telah tercapai dengan mereka.
8. Saya juga ingin menarik perhatianYang Amat berhormat Tan Sri bahawa PR1MA dikhabarkan akan membina rumah yang berharga lebih daripada RM400,000.00 sepertimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri telahpun mematuhi garis panduan Kerajaan Persekutuan dengan membina 22,575 unit rumah mampu milik yang tidak melebihi RM400,000.00. Oleh itu, agensi Kerajaan Persekutuan yang membina rumah mampu milik yang melebihi RM400,000.00, di antaranya ada yang berharga hampir RM2juta, menimbulkan persoalan sama ada niat murni Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terpesong kerana membina rumah mewah ini.
9. Oleh itu adalah tidak benar aduan yang disampaikan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri yang menyatakan Kerajaan Negeri menghalang pembinaan projek perumahan PR1MA. Adalah satu fitnah jahat yang mengaitkan beberapa faktor tertentu sebagai alasan mengapa Kerajaan Negeri menolaknya sedangkan Kerajaan Negeri masih menunggu maklumat lanjut dan permohonan PR1MA serta mencari-cari di manakah perumahan PR1MA itu di Pulau Pinang.
10. Memandangkan perkara-perkara di atas dan juga pengumuman peruntukan RM1.3 bilion untuk pembinaan 80,000 unit perumahan mampu milik di bawah PR1MA oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam Bajet 2015 baru-baru ini, pencerahan oleh pihak berkenaan tentang lokasi projek PR1MA di Pulau Pinang adalah dihargai. Dengan ini semoga Yang Amat Berhormat Tan Sri tidak akan mempercayai tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri senantiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan negara.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang