BM 中文 English

Kisah sebenar tentang penjualan tanah Taman Manggis dan kontroversi rumah banglow

Pengenalan

UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membuat pelbagai tuduhan palsu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung penjualan tanah Taman Manggis dan rumah Ketua Menteri. Melalui media arus perdana yang dikawal oleh BN, kerajaan negeri dan Ketua Menteri telah difitnah dan diserang berhabis-habisan.

Berikut adalah cerita sebenar di sebalik isu-isu tersebut.

Latarbelakang isu tanah Taman Manggis

Tanah Taman Manggis terletak di persimpangan Jalan Zainal Abidin dan Jalan Burmah di George Town, Pulau Pinang. Menurut pelan susun atur tahun 2001 yang dikemukakan oleh Jabatan Perumahan Negara (di bawah Kementerian Perumahan) Taman Manggis telah ditandakan sebagai “pembangunan masa depan.” Minit Mesyuarat EXCO Negeri Pulau Pinang pada 2005 mendedahkan bahawa kerajaan negeri BN ketika itu mahu menawarkan tanah tersebut kepada pemaju swasta bagi projek pembangunan bercampur untuk membina rumah-rumah kedai dan kuarters kerajaan.

Satu lagi minit Mesyuarat EXCO pada tahun 2007 menunjukkan bahawa permohonan kerajaan persekutuan untuk membina perumahan awam telah ditolak oleh kerajaan negeri BN.

Pada tahun 2010, Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) telah membeli tanah seluas satu ekar yang dikenalpasti untuk “pembangunan masa depan” tersebut melalui tender terbuka untuk membina sebuah hospital bagi tujuan menggalakkan pelancongan perubatan di negeri Pulau Pinang.

Bagi tujuan perumahan awam dan mampu milik pula, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebidang lagi tanah di Jalan S.P. Chelliah yang berkeluasan 11 ekar.

Tender terbuka bermakna tawaran diberi kepada syarikat yang membayar harga tertinggi bagi setiap kaki persegi. KLIDC adalah pembida tertinggi dalam tender terbuka tersebut.

Lembaga Tender Negeri Pulau Pinang yang menganugerahkan bidaan kepada KLIDC pula dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang bukan ahli Lembaga Tender.

Tuduhan oleh BN terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang tentang penjualan tanah Taman Manggis bukan baru. Pada tahun 2012, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin telah menfitnah Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa ada unsur rasuah dalam penjualan tanah Taman Manggis kepada KLIDC. Shaik Hussein Mydin kemudiannya meminta maaf kepada Ketua Menteri di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dalam kamar dan menarik balik tuduhan tersebut dalam mahkamah terbuka.

Latarbelakang isu rumah banglow Lim Guan Eng

  1. Pada tahun 2008, Phang Li Koon membeli sebuah rumah banglo yang dibina pada awal 1980-an di No. 25, Jalan Pinhorn, Pulau Pinang dengan harga RM 2.5 juta.
  2. Pada 1 Julai 2009, satu perjanjian penyewaan 3 tahun dimeterai dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dengan sewa RM5,000 sebulan. Tempoh itu kemudian dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 30 Jun 2015.
  3. Oleh sebab beliau menyewa rumah kepada Lim Guan Eng, Phang telah menghadapi pelbagai serangan daripada BN dan NGO pro-BN, mengakibatkan tekanan yang tidak wajar terhadap dirinya. Justeru, pada awal 2012, Phang telah memberikan perjanjian lisan kepada isteri Ketua Menteri, Betty Chew untuk menjual rumah tersebut kepada mereka pada nilai RM2.8 juta. Betty Chew ketika itu meminta Phang untuk memberi lebih banyak masa untuk pertimbangan dan Phang setuju.
  4. Pada tahun 2014, Lim Guan Eng dan Phang menandatangani perjanjian bertarikh 23 Jun 2014 di mana Phang bersetuju untuk memberi Lim Guan Eng tempoh sewaan opsyen 5 tahun untuk membeli rumah tersebut pada RM2.8 juta dengan deposit sebanyak RM100,000.
  5. Sebelum tempoh penyewaan lanjutan tamat pada 30 Jun 2015, Phang membuat keputusan untuk melupuskan hartanah itu berdasarkan persefahaman menurut perjanjian pada tahun 2014 dengan harga yang telah dipersetujui sebanyak RM2.8 juta. Lim telah membeli rumah tersebut dengan pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan bayaran tunai RM700,00
  6. Phang berasa kurang senang hati tentang demonstrasi dan upacara pengkebumian yang dijalankan di depan rumah oleh NGO-NGO pro-BN serta bom api yang dilontarkan ke dalam rumah. Pada 28 Julai 2015, perjanjian jual-beli rumah telah ditandatangani. Penilaian untuk duti setem oleh kerajaan persekutuan pada 27 Ogos 2015 telah menetapkan nilai rumah pada RM4.27 juta.
  7. Berkenaan fitnah bahawa Ketua Menteri berkata beliau tidak tahu nilai rumah tersebut, sebenarnya, Ketua Menteri menjawab soalan tentang dakwaan UMNO bahawa rumah tersebut bernilai RM6.5 juta. Beliau menjawab bahawa beliau tidak tahu tentang dakwaan UMNO tersebut.

Dalam akuan berkanun Phang Li Koon bertarikh 22 Mac 2016, beliau menegaskan bahawa beliau tidak dipaksa atau ditekan oleh Ketua Menteri atau mana-mana pihak untuk menjual rumahnya pada nilai RM2.8 juta, iaitu harga yang beliau persetujui pada tahun 2012 dan kemudiannya disahkan dalam perjanjian pada tahun 2014. Beliau menjualnya atas kehendak bebas sendiri atas dasar kesanggupan pembeli dan penjual. Beliau juga tidak mendapat apa-apa habuan luar biasa hasil daripada penjualan rumah tersebut kepada Ketua Menteri.

Fitnah 1

Pada 17 Mac 2016, Ahli Parlimen UMNO Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya menuduh di Parlimen bahawa Lim Guan Eng telah membeli rumahnya dengan harga murah dan ini adalah berkaitan dengan penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis kepada KLIDC.

Fakta:

Phang Li Koon tidak mempunyai kaitan dengan KLIDC sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang saham. Syarikat beliau bukan anak syarikat KLIDC dan KLIDC juga bukan anak syarikat kepada syarikat beliau. Dalam akuan berkanun Phang bertarikh 22 Mac 2016, beliau menyatakan dengan jelas bahawa beliau “bukan pengarah atau pemegang saham KLIDC…juga tidak terlibat dalam pengurusan syarikat tersebut.”

Fitnah 2

Gerakan mendakwa tanah Taman Manggis dijual pada harga murah, RM11 juta sedangkan harga tanah itu boleh mencecah sekurang-kurangnya RM22.4 juta.

Fakta:

Tanah Taman Manggis dijual kepada KLIDC pada tahun 2010 melalui tender terbuka pada harga RM11.5 juta. Dua tahun kemudian, pada tahun 2012, Gerakan mendakwa bahawa harganya adalah RM22.4 juta dan menawar untuk membeli pada harga itu. Gerakan menubuhkan sebuah “syarikat tujuan khas”, Taman Manggis Fasa Dua Sdn. Bhd yang didakwa mempunyai RM22.4 juta daripada sumber yang tidak dinamakan untuk membeli tanah tersebut.

Syarikat itu kemudian membayar 1% deposit sebanyak RM224,000.00 kepada kerajaan negeri tetapi akhirnya gagal untuk membayar baki 99% harga belian tersebut sebanyak RM22 juta. RM 224,000.00 deposit yang dibayar oleh syarikat milik Gerakan telah disita oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada akhir tahun 2012.

Sehingga kini tiada siapa yang tahu apa yang telah berlaku kepada RM22 juta yang didakwa oleh Gerakan dikumpulkan oleh mereka bagi tujuan pembelian tanah Taman Manggis.

Fitnah 3

Kini pada tahun 2016, Gerakan pula mendakwa bahawa tanah Taman Manggis bernilai RM45.3 juta pada tahun 2010 berdasarkan perbandingan penilaian swasta dan kerajaan telah kerugian RM33.8 juta daripada penjualan tanah dengan hanya RM11.5 juta.

Fakta:

Pada tahun 2009, Jabatan Penilaian kerajaan persekutuan menilai tanah Taman Manggis pada harga RM8.5 juta. Adalah mustahil untuk nilai tanah itu meningkat sebanyak 500% dalam masa satu tahun sahaja daripada RM8.5 juta kepada RM45.3 juta.

Jika Gerakan meragui penilaian kerajaan persekutuan maka mereka harus mempersoalkan kerajaan persekutuan dan bukannya menuduh sebarangan terhadap kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, ujian yang terbaik untuk sesuatu penilaian adalah dengan tender terbuka. Berbeza dengan kerajaan persekutuan yang tidak mengamalkan tender terbuka, tanah Taman Manggis telah dijual melalui tender terbuka kepada tawaran tertinggi, iaitu RM11.5 juta.

Fitnah 4

Kerajaan negeri BN sebelumnya mendakwa kerajaan negeri kini telah menjual tanah yang telah dirancang untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan menyoal mengapa tanah tersebut boleh digunakan untuk membina hospital tetapi tidak boleh membina PPR.

Fakta:

Salah satu dokumen yang terawal adalah pelan oleh Jabatan Perumahan Negara pada tahun 2001 yang menandakan tanah Taman Manggis sebagai “pembangunan masa depan”. Dalam erti kata lain, tidak ada projek PPR khusus yang telah dirancang untuk tanah tersebut.

Walau bagaimanapun, minit Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada 28 September 2005 menunjukkan bahawa kerajaan negeri BN mahukan tanah tersebut ditender kepada pemaju swasta untuk projek pembangunan bercampur bagi membina rumah-rumah kedai dan kuarters Kerajaan.

Menurut minit Mesyuarat EXCO tersebut, Ahli EXCO dari Gerakan, Teng Chang Yeow mencadangkan agar tanah Taman Manggis digunakan untuk projek pembangunan bercampur bagi membina “rumah kedai dan kuarters kerajaan”. Ketua Menteri pada masa itu, Koh Tsu Koon bersetuju dan menyaran agar tanah tersebut ditawarkan kepada pemaju swasta supaya kerajaan negeri tidak perlu menanggung kos pembinaan yang tinggi.

Akhirnya, pada 28 Mac 2007, semasa mesyuarat EXCO, kerajaan negeri BN secara rasmi menolak permohonan kerajaan persekutuan untuk membina perumahan awam di Taman Manggis.

Kepadatan untuk pembangunan komersil adalah lebih tinggi berbanding untuk perumahan, bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh negara. Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Chor Chee Heung berkata bahawa keluasan minima tanah untuk perumahan awam mestilah sekurang-kurangnya 2 ekar. Justeru, pembangunan komersil seperti hospital boleh dibangunkan di atas tanah yang lebih sempit kerana dibenarkan mempunyai kepadatan serta had ketinggian yang lebih daripada pembangunan jenis perumahan.

Fitnah 5

UMNO / BN mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP telah mengabaikan untuk membina perumahan awam di Taman Manggis.

Fakta:

Tidak ada rancangan untuk perumahan awam di tanah seluas satu ekar Taman Manggis tersebut, walaupun oleh pentadbiran BN dahulu. Pada tahun 2013, sebidang tanah 11 ekar di Jalan SP Chelliah telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri sekarang untuk membina 2,093 unit perumahan mampu milik (mengikut garispanduan kerajaan persekutuan
). Keluasan tanah tersebut 10 kali ganda keluasan tanah Taman Manggis. Pembinaan telah bermula sejak Mac 2015 dan setakat Mac 2016, ia sudahpun siap 20%.

Berikut merupakan unit-unit perumahan yang akan dibina di Jalan SP Chelliah:

Jenis Unit Harga
Rumah kos sederhana rendah 770 (36%) RM 72,500
Rumah mampu milik 883 (42%) RM 200,000
Rumah mampu milik 440 (21%) RM 300,000 – RM400,000
Total 2,093

Kerajaan negeri Pakatan Harapan telah membina lebih tiga kali ganda jumlah perumahan awam berbanding kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini:

Tahun Unit kos rendah Unit kos sederhana rendah Jumlah unit
2001-2007 (BN) 4,355 769 5,124
2008-2015(PH) 8,092 8,107 16,199

Fitnah 6

Pada 23 Mac 2016, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan mendakwa bahawa terdapat satu sub-sale tanah Taman Manggis oleh KLIDC kepada pihak ketiga untuk keuntungan segera.

Fakta:

Carian tanah menunjukkan bahawa hakmilik tanah masih berdaftar kepada KLIDC. Jika ada apa-apa percubaan untuk menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga, KLIDC perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri bukan sahaja tidak pernah memberi kebenaran tersebut, malah tiada sebarang permohonan seumpamanya telah dibuat oleh KLIDC kepada kerajaan negeri.

Fitnah 7
Pada 5 April 2016, Abdul Rahman Dahlan telah menukar dakwaan beliau dan kini berkata bahawa yang dijual kepada pihak ketiga bukan tanah Taman Manggis, tetapi pemilik syarikat KLIDC telah menjualkan saham beliau dalam syarikat tersebut kepada pihak ketiga.

Fakta:
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa tiada pertukaran pemilikan saham dalam KLIDC.

Fitnah 8

Abdul Rahman Dahlan juga mendakwa bahawa kerajaan negeri telah mengubah pembangunan Taman Manggis kepada 30% hospital dan 70% tujuan komersial.

Fakta:

Syarat nyata hakmilik tanah dengan jelas menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh dibangunkan untuk tujuan hospital (66%) serta servis suite dan hotel (34%) bagi menampung pesakit dan keluarga mereka.

Pulau Pinang kini merupakan destinasi pelancongan perubatan utama di Malaysia, meliputi lebih kurang 50% daripada pelancong perubatan di seluruh negara. Menurut kerajaan persekutuan, kira-kira 1000 pesakit sehari berkunjung ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Oleh itu, ada keperluan untuk mempertingkatkan kemudahan pelancongan perubatan di negeri ini.

Kesimpulan

Kempen fitnah UMNO/BN ini jelas merupakan satu percubaan untuk mencemar reputasi cemerlang pentadbiran bersih kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah menerima pujian Laporan Ketua Audit Negara untuk lebihan belanjawan setiap tahun dan pengurangan hutang negeri sebanyak 90%. Hutang Pulau Pinang kepada kerajaan persekutuan, adalah yang terendah, dengan nilai RM69 juta, berbanding, sebagai contoh, Pahang sebanyak RM2.9 billion. Tambahan pula, Pulau Pinang adalah satu-satunya kerajaan negeri dalam sejarah Malaysia yang dipuji oleh Transparency International pada tahun 2009 kerana mengamalkan tender terbuka.

KLIDC Land Title