http://dapmalaysia.org  
Konsep Pengasingan Kuasa Harus Dipelihara
 

Ucapan
-
dalam perbahasan usul  menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Yang Keempat (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri yang Kesebelas, Negeri Sembilan
oleh Loke Siew Fook

(Seremban,  Isnin): Saya bangun untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas Titah Ucapan Baginda bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Yang Keempat (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Kesebelas, Negeri Sembilan.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana sudi menyampaikan Titah Ucapan Baginda pada hari Jumaat yang lepas.

Titah Ucapan Baginda telah menyentuh pelbagai isu khasnya dari segi ekonomi, pelaburan asing, pembangunan usahawan, pembangunan sektor pertanian, pelancongan, pembangunan infrastruktur, sistem penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan akhlak, isu perumahan, pembangunan sukan, kepentingan alam sekitar dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan keprihatinan Baginda dalam isu-isu yang akan menentukan halatuju pembangunan ekonomi dan rakyat Negeri Sembilan.


Konsep Pengasingan Kuasa

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai nasihat Baginda kepada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya "menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, jujur dan dengan semangat untuk meningkatkan taraf dan  kemuliaan dewan ini dengan menjunjung prinsip demokrasi serta penuh  kematangan".

Saya cukup bersetuju dengan nasihat Baginda ini supaya kita perlu menjunjung prinsip demokrasi dengan penuh kematangan.


Dato Yang Dipertua,
Salah satu prinsip demokrasi yang perlu kita sentiasa junjung ialah konsep pengasingan kuasa di antara cabang ekskutif, legislatif dan kehakiman. Di dalam dewan yang mulia ini, mereka yang duduk di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) merupakan cabang ekskutif manakala backbenchers kerajaan dan kami di barisan pembangkang memainkan peranan cabang legislatif.

Konsep pengasingan kuasa ini merupakan prinsip demokrasi yang utama kerana ia memberi ruang supaya mereka yang telah diberi mandat untuk menjadi penggubal dasar atau ekskutif akan sentiasa dipantau dan segala apa yang ingin dibuat oleh pihak ekskutif sentiasa diimbangi dengan pandangan pihak legislatif.

Kami sebagai ahli legislatif perlulah sentiasa menjadi pro-aktif dan perlu berani memberikan pandangan kita yang kritikal, teguran yang ikhlas dan cadangan yang membina kepada segala pelan-pelan tindakan daripada pihak ekskutif.

Kita sebagai ahli legislatif janganlah diturunkan taraf sebagai "rubber stamp" iaitu mengiakan apa sahaja yang diketengahkan oleh pihak ekskutif tanpa persoalan dan kritikan yang bernas. Memang budaya seperti ini menjadi-jadi di dalam dewan yang mulia ini pada penggal-penggal yang lepas apabila sudah menjadi kebiasaan sesuatu persidangan dewan selesai dalam masa
 2-3 jam.

Namun, rakan saya dari Bahau dan saya akan mengambil iktibar daripada  nasihat Baginda dan kami bertekad untuk meningkatkan taraf dan kemuliaan  dewan ini.

Dato Yang Dipertua,

 Saya ingin menarik perhatian bahawa secara puratanya, dewan ini hanya  bersidang 8 hari setahun dan saya rasa masa yang begitu suntuk ini tidak  mencukupi untuk ahli-ahli legislatif untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan. Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya 15 hari setahun mulai tahun depan untuk persidangan dewan yang mulia ini supaya forum atau pentas yang tertinggi untuk menyuarakan masalah rakyat di negeri ini dapat dioptimakan. Tempoh penangguhan di antara persidangan juga perlu dipendekkan dan seboleh-bolehnya, tempoh tersebut tidak lebih dari 3 bulan.

Saya juga ingin mencadangkan supaya Sesi Pembukaan Rasmi Persidangan dewan diadakan pada awal tahun dan tidak diadakan bersama sesi belanjawan seperti yang kita pratikkan sekarang. Untuk makluman ahli-ahli YB, pembukaan rasmi di Parlimen dan kebanyakkan DUN negeri lain diadakan pada bulan Mac dan April. Ini dapat memberikan peluang kepada ahli-ahli YB untuk mengambil bahagian dalam perbahasan secara lebih fokus dan juga meringankan beban kerja pihak sekratariat di Unit Dewan.


Ekonomi

Kerajaan Negeri Sembilan telah mensasarkan menjelang tahun 2020, NS akan menjadi sebuah negeri maju. Memang sasaran ini adalah sejajar dengan wawasan Negara untuk menjadi Negara maju menjelang 2020. Kami juga amat bersetuju dengan sasaran tersebut dan menjadi harapan kita bersama untuk melihat visi tersebut menjadi kenyataan.

Namun, perlu saya menimbulkan beberapa persoalan dan kritikan bagaimana kita sepatutnya merancang untuk mencapai sasaran tersebut. Yang pertama, walaupun kita tahu visi kita ialah menjadi negeri maju pada tahun 2020, namun setakat ini kita masih belum melihat ataupun mendengar ada apa-apa pelan-pelan tindakan (action plan) mengenai misi-misi kita dan objektif-objektif kita untuk mencapai visi tersebut daripada pihak kerajaan negeri.

Kedua, apakah yang dimaksudkan dengan negeri maju? Apakah indikatornya dari segi ekonomi, pendapatan per kapita, taraf kehidupan rakyat, tahap pendidikan rakyat, peratusan anak NS yang mendapat pendidikan tinggi, indikator sosial, nisbah doktor kepada pesakit, nisbah polis kepada penduduk, nisbah guru kepada pelajar, keadaan jalanraya, taraf infrastruktur awam, keberkesanan perkhidmatan awam dan banyak lagi senarainya?

Dalam semua aspek ini, kita memerlukan satu indikator yang khusus danb jelas supaya seluruh rakyat tahu apakah misi yang perlu kita capai setiap tahun untuk berada di landasan yang tepat menuju visi kita menjelang 2020. Namun, kritikan saya ialah setakat ini pentadbiran baru masih belum dapat menggariskan dengan jelas pelan tindakannya dan apa yang kita dengar hanyalah retorik sahaja. Tahun 2004 akan melabuhkan tirainya dalam masa 3 minggu lagi dan ini bermakna kita hanya ada 15 tahun lagi untuk menjelang tahun 2020. Apa yang ingin saya ketahui ialah apakah "milestone" yang perlu  kita capai setiap tahun dari 2005 hingga tahun 2020 untuk kita menjadi  negeri maju? Saya mengharapkan supaya kita sentiasa tahu di mana kedudukan
 kita dari segi indikator yang ditetapkan dan samada kita berada di dalam landasan yang betul.

Semasa wawasan 2020 dibentangkan, pernah dikatakan bahawa sekiranya kita ingin mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020, maka pertumbuhan KDNK perlu menjangkaui 8% setahun dari tahun 1992-2020 tanpa henti. Namun, kita mengetahui bahawa pertumbuhan ini telah tergendala beberapa tahun akibat krisis kewangan yang melanda rantau
Asia pada pertengahan tahun1997.

Pada tahun 2004, dikatakan pertumbuhan KDNK untuk Malaysia dijangka mencapai 7% bagi keseluruhan tahun ini. Namun, KDNK untuk Negeri Sembilan hanya dianggarkan sebanyak 5.8% iaitu lebih rendah daripada purata pertumbuhan Negara. Walaupun kadar ini lebih tinggi daripada pertumbuhan tahun lepas yang hanya mencecah 3.5%, namun ia adalah jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya kita capai pada tahap 8% untuk kita mencapai status negeri maju pada tahun 2020.

Adakah ini bermakna kita memerlukan "miracle" iaitu mencapai pertumbuhan KDNK lebih daripada 10% setiap tahun dari tahun 2005 hingga 2020 untuk kembali ke landasan yang sepatutnya? Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk mengkaji semula prestasi ekonomi negeri kita dan membuat unjuran yang  lebih objektif untuk 15 tahun yang akan datang.


 Pelaburan Asing
 

 Saya berasa bimbang terhadap kemerosotan jumlah pelaburan yang telah  diluluskan di sector perkilangan bagi tempoh Januari-Ogos 2004 iaitu  sebanyak RM571 juta berbanding RM1,752.5 juta bagi tempoh yang sama pada  tahun lepas. Ini bermakna jumlah kemerosotan pelaburan pada tahun ini  mencecah RM1181.5 juta. Kemerosotan sebanyak 67%. Walaupun kerajaan negeri  berbangga dengan jumlah pelaburan asing yang berjumlah RM273.3 juta pada  tempoh tersebut, namun kita perlu mengkaji dengan mendalam punca kemerosotan  jumlah pelaburan di sektor perkilangan ini dan mencari jalan untuk  meningkatkan pelaburan asing atau Foreign Direct Investment ke NS.
 

 Kerajaan negeri perlu sedar dan sentiasa memahami cabaran-cabaran yang perlu  dihadapi dalam menarik pelaburan asing dalam era globalisasi ini. Proses globalisasi membolehkan pergerakan modal dan teknologi dengan lebih cepat  dan mudah. Modal asing hanya akan pergi ke tempat yang menjanjikan pulangan yang paling baik tanpa mengenali erti sempadan Negara.

Kita perlu memahami struktur ekonomi kita. Kejayaan kita menarik pelaburan asing dalam sektor perkilangan dan pembuatan pada tahun 80 an dan 90 an adalah disebabkan ikos perniagaan yang lebih murah di sini, insentif-insentif cukai, bekalan tenaga manusia yan mahir dan beberapa faktor lain. Namun, faktor-faktor ini tidak lagi semestinya menjanjikan Negara kita sebagai kompetitif untuk destinasi pelaburan asing kerana faktor-faktor ini dan insentif cukai juga wujud di Negara-negara membangun yang lain seperti
China, India dan lain-lain Negara Asia Tenggara.

Jadi, negeri kita perlu mengenal pasti apakah "niche" kita? Kita perlu mengenal pasti apakah yang menjadikan kita lebih kompetitif daripada Negara  lain mahupun negeri-negeri lain di Malaysia. Saya bersetuju bahawa kita  perlu mengenal pasti bidang-bidang pertumbuhan baru yang mempunyai nilai  ditambah yang tinggi dan kita juga perlu bergerak ke atas "value chain"  produk-produk yang kita keluarkan.

 Dalam dunia perniagaan, keyakinan pelabur terhadap sesuatu jenama adalah  sangat penting untuk pelabur tersebut membuat keputusan untuk melabur.
 


Hong Kong
and Shanghai Banking Corporation (HSBC) membelanjakan US$600 juta setahun untuk kempen membina jenama mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya keyakinan pelabur terhadap sesuatu jenama. Sekiranya, kita mahu menjadi penarik pelaburan asing, maka Negeri Sembilan perlu menjadi sebuah negeri yang diyakini oleh pelabur.

Jadi, kerajaan perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada untuk menjaga nama baik negeri kita. Akan tetapi, sekiranya projek-projek yang diceburi oleh kerajaan negeri tidak dapat ditunaikan, maka ini tentu akan menjejaskan nama  NS sebagai destinasi pelabur.


Contoh -
Nilai Inland Port (Projek terbengkalai)

 Dalam titah ucapan Baginda, dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah  menubuhkan sebuah Syarikat Pelaburan Negeri Sembilan yang akan  bertanggungjawab penuh bagi meningkatkan pelaburan ke negeri ini. Namun,  dewan yang mulia ini masih belum diberikan sebarang butir-butir mengenai  syarikat ini daripada pihak kerajaan. Sebagai sebuah syarikat yang  ditubuhkan oleh kerajaan, ia adalah merupakan asset yang dimiliki oleh  seluruh rakyat NS.

 Jadi, adalah perlu dewan yang mulia ini dimaklumkan apakah objektif syarikat  ini. Apakah sasaran yang perlu dicapai, bagaimana ia melakukan dan pelan  tindakan mereka? Kerajaan perlu mengaplikasikan "Management by Objective"  dan sentiasa berpegang kepada prinsip "results orientated". Jadi, saya  menyeru supaya laporan pencapaian syarikat ini perlu dibentangkan kepada dewan yang mulia ini untuk makluman dan tantapan ahli-ahli YB setiap tahun  supaya syarikat ini mengamalkan prinsip akauntabiliti kepada"stakeholders"nya.


Pesuruhjaya Perdagangan

Dalam perniagaan, tidak kira sebaik mana sesuatu produk tersebut, ianya tidak akan laris sekiranya syarikat tersebut tidak mempunyai strategi pemasaran yang baik. Begitu juga dengan peluang pelaburan di negeri ini. Sungguhpun kalau peluang-peluang pelaburan di negeri ini cukup menarik, ia tidak akan berjaya menarik perhatian ramai pelabur sekiranya kita tidak mempunyai "marketer" atau pakar pemasaran yang professional dan efektif.

 Untuk tujuan ini, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan satu jawatan atau melantik seorang Pesuruhjaya Perdagangan ataupun "NS Trade  Commissioner". Tugas utama jawatan ini ialah untuk menarik pelaburan asing  ke NS.

 Namun jawatan ini ada syaratnya. Orang yang perlu dilantik itu mestilah  seorang ahli pemasaran professional dan bukanlah lantikan politik. Tugasnya  ialah untuk memasarkan peluang pelaburan di NS kepada dunia luar dan  membantu kerajaan negeri membawa pelabur asing untuk melabur di  bidang-bidang pertumbuhan yang telah dikenal pasti.

 Beliau mestilah mempunyai misi yang jelas dan pelan tindakan yang strategic  untuk mencapai misinya. Contohnya, orang ini mesti mengenal pasti sasaran  pelabur, dari Negara mana, syarikat apa dan sebagainya. Misi perdagangan  ataupun lawatan ke luar Negara perlu dilakukan berdasarkan matlamat yang  khusus dan bukan sekadar makan angin sahaja.


 Laporan seperti Negara mana yang telah dilawati dan butir-butir lain  mengenai tugasnya dan pencapaiannya secara spesifik seperti jumlah pelaburan yang berjaya dibawa perlu dibentangkan kepada dewan ini dari masa ke semasa.

 Dengan perlantikan ini, maka kita tidak lagi perlu menghantar Ahli-ahli  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke misi-misi perdagangan yang selalunya  menelan belanja yang besar daripada wang rakyat.
 

(6/12/2004)


* ADUN Kawasan Lobak, Loke Siew Fook