http://dapmalaysia.org  
Kita menyeru supaya Kerajaan menimbang semula cadangan untuk menandatangan Perjanjian Konsesi Tambahan dengan PLUS Expressway, sehingga Perdana Menteri dapat menyelesaikan isu kenaikan tol Lebuhraya Utara Selatan
 

Kenyataan
oleh
Dr Tan Seng Giaw

(Kuala Lumpur,  Selasa): Semalam, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, Parti-Parti Pembangkanag dan Penubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menubuhkan gabungan tersebut. Ia merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menundakan kenaikan 10% tol PLUS pada 1 Januari, 2005, untuk dua bulan. Ini membolehkan Kerajaan menyiasat kesan-kesan kenaikan itu terhadap rakyat. Rayuan ini adalah munasabah.

Sekarang, Kerajaan sedang membuat persiapan untuk menandatangan satu Perjanjian Konsesi Tambahan (Supplemental Concession Agreement) dengan PLUS untuk kerja tambahan dengan peruntukan RM967.8 juta kepada consortium itu. Kerja tambahan yang telah diarahkan oleh Kerajaan kepada PLUS Berhad adalah seperti berikut: pembinaan lorong ketiga di laluan Seremban-Senawang, Senawang-Ayer Keroh dan Rawang-Tanjung Malim; pembinaan laluan terus tanpa henti di antara Plaza Tol Ipoh Selatan dan Plaza Tol Jelapang; pengambilan alih Lebuhraya Seremban-Port Dickson sebagai sebahagian daripada pampasan bagi penghapusan pungutan tol di Plaza Tol Senai, Lebuhraya Senai-Johor Bahru.

Pada 24 Oktober, 2004, PLUS telah mengambil alih Lebuhraya Seremban-Port Dickson. Sementara itu, Kerajaan sedang meneliti cadangan perjanjian tersebut. Kita mempercayai bahawa selain daripada menundakan kenaikan tol tersebut, Kerajaan perlu menjelaskan tempoh konsesi PLUS, sama ada tamat pada 2030 atau 2038. Dengan perjanjian tambahan, adakah tempoh ini akan dilanjutkan lagi?

(21/12/2004)


* Dr Tan Seng Giaw, Timabalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong