http://dapmalaysia.org  

Agenda Baru Tahun 2005: Pendidikan Sebagai Penggerak Perpaduan Negara


Memorandum
- Presented to the Education Minister
by Lim Guan Eng

(Kuala Lumpur, Friday):  

YB Dato’ Hishammuddin bin Tun Hussein,

Menteri Pelajaran Malaysia,

Pejabat Menteri Pelajaran,

Kementerian Pelajaran Malaysia,

Aras 10, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62640 Putrajaya.                                                                              

 

Yang Berhormat Dato’,

 

Agenda Baru Tahun 2005: Pendidikan Sebagai Penggerak Perpaduan Negara 

 

Menjelang pengakhir tahun 2004, kami ingin mengutarakan cadangan agenda pendidikan bagi tahun 2005 yang bertumpukan usaha ke atas pendidikan sebagai penggerak perpaduan negara dan bukannya sebagai satu senjata politik yang boleh memecahbelahkan rakyat dan negara. Pendidikan begitu penting membuka ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia. Akan tetapi pendidikan boleh memainkan peranan lebih penting menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama kita. Ada 3 perkara yang memang harus ditangani berdasarkan prinsip keadilan,  meritokrasi dan demokrasi sebelum hasrat murni ini boleh dicapai.  

 

1. Pendidikan Berteraskan Nasional Bukan Bangsa

 

Objektif Wawasan 2020 mengujudkan suatu bangsa Malaysia hanya boleh berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia diberikan layanan yang adil dan saksama serta menikmati jaminan hak-hak sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia asal. Mengikuti kontrak sosial 1957, Perlembagaan Merdeka menggariskan kedudukan  istimewa kaum Melayu serta menjaminkan perlindungan kepada hak kaum bukan Melayu.

 

Macam manakah matlamat Wawasan 2020 mengujudkan bangsa Malaysia tercapai dengan adanya istilah “ketuanan Melayu” dalam buku teks baru Sejarah Tingkatan 5 di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah? Istilah “ketuanan Melayu” ini sukar diterima bila ia tidak pernah digunakan dalam buku teks sejarah sekolah menengah sepanjang 47 tahun kebelakangan ini. 

 

Kita harus menumpukan perhatian kepada nilai-nilai sejagat yang sama di kalangan belia dan pelajar yang dapat menyatupadukan hati dan naluri tanpa kira bangsa dan agama; bukannya menonjolkan perbezaan yang hanya boleh memecah-belahkan rakyat. Dengan mengungkit ketuanan kaum yang tersirat dan tersurat, buku teks ini hanya menggalakkan perasaan ketuanan dan “superior complex” yang tidak sihat dan bahaya. Malah teori dominasi atau ketuanan sesuatu bangsa ini kini ditolak secara umum selepas usaha yang sama telah membakar semangat dan mencetuskan malapetaka Perang Dunia Kedua.   

 

Lagipun buku teks ini agak berat sebelah bila hanya menegaskan tentang hak-hak, status dan kedudukan perlembagaan sesuatu kaum tanpa menyentuh hak, status dan kedudukan

perlembagaan kaum lain. Pendekataan berbau perkauman ini hanya akan pada satu pihak menambah perasaan ketidakadilan dan bagi pihak lain menggalakkan hak “ketuanan” atau mendominasikan ke atas lain.

 

Adakah golongan muda kita “dibasuh otak” untuk menerima warga kelas satu dan dua. Demi memupuk pendirian bangsa Malaysia, kami mendesak agar semua rujukan kepada istilah “ketuanan Melayu” boleh dipadamkan dari buku teks sejarah sekolah kita.   

 

2. Mengiktiraf Sumbangan Bahasa Ibunda Dan Sekolah Agama

 

Sepanjang ini kerajaan BN enggan mengiktiraf dengan sepenuhnya peranan dan sumbangan penting bahasa ibunda dan sekolah agama yang dinafikan bantuan kewangan kerajaan. Dasar diskriminasi paling ketara dalam peruntukan pembangunan untuk 1,289 SRJK© dan 576 SRJK(T) dan pembinaan sekolah baru.

 

Sungguhpun bilangan pelajar telah bertambah daripada 310,000 dalam tahun 1957 kepada 620,000 pada tahun 2000, bilangan SRJK© berkurangan 49 buah sekolah  kebelakangan 43 tahun ini. Keengganan membina SRJK© baru di kawasan bandar yang pesat telah menimbulkan kekurangan darjah dan kesesakan sekolah yang menyusahkan.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke 7, sungguhpun peratusan bilangan pelajar SRJK© dan SRJK(T) adalah 21% dan 3.6% dari semua pelajar sekolah rendah di negara, SRJK© dan SRJK(T) hanya diperuntukkan 2.4% dan 1% jumlah peruntukan sekolah rendah. Sepatutnya prinsip keadilan memerlukan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan bilangan pelajar sekolah. Memandangkan jumlah peruntukan untuk semua sekolah rendah di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (2000-5) adalah RM 6.6 bilion, SRJK© berhak menerima RM 1.4 bilion atau 21% dan SRJK(T) RM 240 juta atau 3.6%.

 

Pihak sekolah Cina dan Tamil tidak tahu berapa banyakkah peruntukkan daripada RM8 telah diberikan. Adalah dikesali wakil-wakil yang dipertanggungjawabkan juga gagal menjalankan tugasnya. Oleh itu kami harap YB boleh membina SRJK© baru di negeri Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan serta memberikan pengagihan peruntukan yang adil mengikut bilangan pelajar, yakni RM 1.4 bilion bagi SRJK© dan RM 240 juta bagi SRJK(T). 

 

Adalah diharapkan perjumpaan secepat mungkin boleh diadakan dengan Dong Jiao Zong demi mengendalikan dan mengatasi masalah-masalah yang sedia ada. Di samping itu, YB juga patut menunaikan janji dengan mengeluarkan arahan baru menyerahkan kembali kuasa pemberian tender kantin SRJK© kepada Lembaga Pengarah sekolah tersebut.

 

Sekolah agama juga harus tidak dipinggirkan daripada arus utama dan bantuan kewangan dipulihkan. Tidak boleh dinafikan sekolah bahasa ibunda dan sekolah agama membantu memupuk seorang insan yang berilmu, berilmiah, bersopan dan bertakwa. Nilai komersil bahasa Mandarin dan Tamil tidak boleh dipandang rendah lagi memandangkan pentingnya perkembangan pesat pasaran negara Cina dan India.

 

3. Membuka Peluang Kepada Pelajar Bistari Dan Cemerlang

Kontroversi 128 pelajar terbaik STPM yang mendapat 5A dan matrik gagal memasuki kursus perubatan di universiti awam kerana persaingan sengit dan bilangan tempat terhad mempersoalkan kedudukan dan komitmen sebenar di belakang penggantian sistem kuota dengan meritokrasi.

 

Sebelum 2002 pengambilan ke IPTA dibuat berdasarkan sistem kuota: 55 peratus tempat diperuntukkan kepada Bumiputera dan 45 peratus bukan Bumiputera. Jika ada calon layak ia akan diisi, jika tidak, biarkan saja tempat itu kosong.  Kerajaan menyatakan ketidakadilan ini telah dibetulkan dengan adanya meritokrasi. Sejauh manakah ketidakadilan dibetulkan dengan ucapan melampau Menteri Pelajaran Tinggi Dr Shafie Salleh di Perhimpunan Agung UMNO pada bulan September 2004.

 

Beliau berkata selagi memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi beliau tidak akan membenarkan seorang pun pelajar bukan bumiputera masuk belajar di UiTM dan beliau tidak akan berkompromi atas isu ini serta sungguhpun sistem meritokrasi telah diperkenalkan ke atas sistem pengambilan pelajar universiti, beliau akan memastikan bahawa pelajar bumiputera akan sentiasa menduduki lebih dari 55% jumlah tempat di universiti seperti mana yang ditetapkan dalam sistem kuota yang lama.

 

Di samping itu, satu sistem peperiksaan baik STPM mahupun program matrikulasi harus diadakan supaya ada satu sistem kelayakan masuk universiti. Adalah bertanggungjawab, logik dan masuk akal pelajar cemerlang dibenarkan mengikuti kursus perubatan untuk menjimatkan tukaran wang asing sebanyak RM 40 juta yang dibelanjakan setiap tahun untuk membiayai 700 doktor dari negara asing. 

 

Pendidikan harus dilihat dari perspektif nasional dan bukannya dari sudut perkauman. Barulah Malaysia boleh menumpukan perhatian ke atas menggunakan pendidikan sebagai satu wadah dan alat yang menafaatkan pembangunan ekonomi. Pendidikan sebagai penyatu negara bukan sebagai senjata memecah-belahkan rakyat.

 

Oleh itu pendekatan pendidikan tiga hala berteraskan demokrasi, peluang samarata dan applikasi komersil optimal harus diterima pakai demi:

  • Penggerak perpaduan untuk memupuk sebuah masyarakat majmuk yang berilm berilmiah bersopan dan bertakwa;

  • Membuka peluang kepada golongan miskin meningkatkan status dan kedudukan ekonomi; dan

  • Mengujudkan sumber manusia dan pekerja yang terlatih, dinamik dan berpengetahuan supaya dapat menambah persaingan antarabangsa Malaysia.

Sekian terima kasih.

 

Yang benar,

 

 

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

(10/12/2004)


* Lim Guan Eng, DAP Secretary-General