http://dapmalaysia.org  

Tak Bai - hentikan keganasan


Ucapan
-
usul mengenai trajedi di Selatan Thailand
oleh Chow Kon Yeow

(Dewan Rakyat,  Selasa): Kami, Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dari Parti DAP ingin menyuarakan keprihatian kami terhadap trajedi yang berlaku di Selatan Thailand, bukan sahaja terhadap kematian yang berlaku di Tak Bai dan lain-lain tempat tetapi juga tindakan membalas dendam yang juga melibatkan kehilangan nyawa orang awam. 

Akibat kejadian-kejadian yang berlaku, seluruh negara Thailand perlu menganggung akibatnya dan ini membawa implikasi yang besar kepada negara Malaysia dan juga kepada perhubungan di antara Thailand dengan Malaysia secara khasnya dan kepada Asean secara amnya. 

Walaupun di Asean, dasar tidak campur dalam hal ehwal negara lain dipratikkan, ianya tidak dapat melarang mana-mana pihak untuk mengutuk tindakan agresif dan kurangnya tindakan professionalism oleh tentera Thailand yang menyebabkan kematian yang banyak di wilayah-wilayah Selatan Thailand. 

Di samping menyeru pihak kerajaan Thailand untuk menjalankan siasatan yang adil dan membawa ke muka keadilan pihak-pihak yang bertanggungjawab sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat dan dunia, kami juga menyeru supaya “root causes” kepada masalah di wilayah-wilayah dapat dikenalpastikan dan diperakukan dan seterusnya di atasi supaya dapat menjamin keamanan dan ketenteraman. 

Adalah amat penting kerajaan Thailand mesti menangani “root causes” rungutan rakyatnya di Selatan Thailand kerana kegagalan untuk respons dengan baik akan menyemarakkan tindakan insurgensi yang akhirnya mengancam seluruh rantau ini. 

Sebagai jiran yang terdekat dan mempunyai hubungan yang begitu erat dari segi sejarah dan sosio-budaya, Malaysia harus menghadapi masalah ini dengan cara yang baik dan memainkan peranan yang positif. 

Kami tidak ingin melihat masalah ini berlarutan dan tercetusnya lebih banyak insiden yang berdarah yang akan menggugat keselamatan Malaysia juga.

(23/11/2004)


* Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Kawasan Tanjong