http://dapmalaysia.org  

Pindakan undang-undang untuk mengenakan denda yang lebih berat  terhadap majikan yang sengaja menghutang pembayaran caruman KWSP pekerja


Ucapan
-
Perbahasan Baget 2005 (Peringkat Jawatankuasa - Kementerian Kewangan)
oleh
Teresa Kok

(Dewan Rakyat,  Isnin): Datuk Pengerusi, pada tahun 1975, Suruhanjaya Harun mencadangkan bahawa pekerja di badan berkanun yang memilih Skim Saraan KWSP (SSK) boleh menikmati caruman yang dibayar oleh pihak majikan sebanyak 17.5% daripada gaji mereka. Cadangan ini diterima oleh lembaga KWSP pada tahun 2001 dan SSK ini dilaksanakan pada 1 Januari 1992 di mana kesemua pekerja yang memilih SSK menikmati manfaat ini yang backdated pada 1 Januari 1975.

Keputusan KWSP ini menyebabkan lebihkurang 70 bekas pekerja KWSP yang merupakan pekerja perintis ataupun “pioneer” yang bersara sebelum 1 Januari 1992 ini merasa amat tidak adil, kerana mereka memang telah
berkhidmat di KWSP pada tahun 1975 tetapi apabila KWSP mengamalkan skim ini, 70 pekerja yang bersara ini ditinggalkan.

Datuk Pengerusi, 70 bekas pekerja KWSP yang telah bersara ini merupakan golongan yang berumur tua. Mereka telahpun mengadu perkara ini kepada KWSP, kepada pihak media dan kepada Menteri Kewangan Kedua pada tahun ini, tetapi pihak KWSP kelihatan masih degil terhadap keputusan asal mereka, iaitu hanya pekerja yang masih berkhidmat dengan KWSP pada 1 Januari 1992 boleh menikmati manfaat caruman sebanyak 17.5% yang terhutang oleh KWSP yang backdated pada 1 Januari 1975.

Saya pernah berjumpa kumpulan bekas pekerja KWSP ini dan saya memang bersimpati kepada para datuk dan nenek ini. Sebenarnya jumlah amaun yang dituntut oleh mereka adalah tidak banyak, iaitu RM 1 juta lebih sahaja.
Jumlah ini adalah begitu kecil berbanding dengan kerugian dari segi banyak pelaburan yang dibuat oleh pihak KWSP seperti LRT, Empangan Bakun dan sebagainya. Sebagai badan berkanun yang ditubuhkan untuk memberi
perlindungan kepada pekerja, ia sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada pertubuhan dan syarikat lain supaya ia tidak dilihat menindas pekerjanya sendiri, khususnya pekerja perintis di KWSP yang berkhidmat di KWSP sejak tahun 50-an dan 60-an. Jadi saya merayu pihak Kementerian Kewangan dan KWSP memberi pertimbangan kepada rungutan mereka.

Datuk Pengerusi, walaupun saya ingin memuji usaha pihak KWSP terhadap majikan yang tidak bayar caruman KWSP pekerjanya, tetapi usaha KWSP kelihatan tidak mencukupi oleh kerana semakin banyak majikan tidak
menunaikan tanggungjawab mereka dan mereka juga tidak peduli saman mahkamah yang dikeluarkan oleh KWSP dan tindakan mahkamah KWSP juga lambat sangat mungkin kerana kes yang tertimbun di seluruh negara. Ini adalah amat tidak adil bagi pekerja, khususnya golongan yang berpendapatan bawah.

Jadi saya cadangkan kepada pihak Kementerian supaya meminda undang-undang kita untuk mengenakan denda yang lebih serius terhadap majikan yang sengaja menghutang pembayaran caruman KWSP pekerja dengan mengadakan peruntukan yang membenarkan pekerja menamatkan perniagaan syarikat majikan mereka.

Masalah Oleh Pekerja Perbankan

Datuk Pengerusi, saya merasa pihak Kementerian Kewangan kelihatan tiada kuasa terhadap bank kita. Pada tahun lepas, ramai ahli berhormat di dewan yang mulia ini telahpun membantah beberapa langkah yang diambil oleh pihak bank, khususnya bayaran yang dikenakan terhadap penggunaan ATM di mana kita terpaksa membayar 50 sen setiap kali sekiranya kita menggunakan ATM melebihi 4 kali dalam satu bulan, bayaran yang dikenakan terhadap cek tunai dan sebagainya.

Datuk Pengerusi, saya difahamkan semakin banyak bank telahpun mengarahkan pekerja mereka meletakkan jawatan ataupun VSS dan “out-source” urusan bank. Cara “out-source” ini telahpun mengakibatkan banyak masalah kepada pelanggan bank, kerana:

1) Pekerja yang “out-source” itu adalah amat ketat dan teliti terhadap cek kita, cek kita selalu ditendang keluar kerana masalah yang sedikit sahaja;

2) Apabila sesuatu cek ditendang keluar oleh pihak bank, adalah amat susah bagi kita untuk “trace” penghantar cek tersebut, kerana si-penerima hanya menerima satu notis yang mencatatkan nama bank dan nombor cek sahaja dan bukannya cek asal tersebut. Selain itu, kami juga terpaksa membayar kos kiriman pos. Ini mengakibatkan banyak masalah pada pelanggan;

3) Cara “out-source” ini kadang-kadang mengakibatkan sesetengah dokumen asal pelanggan itu hilang dan ini mungkin menjejaskan urusniaga pihak pelanggan dan mengakibatkan banyak masalah pihak pelanggan; 4) “Out-source” itu adalah beruntung kepada pihak bank dan ia merupakan eksploitasi pada pihak pekerja kerana pihak bank dapat mengelakkan tanggungjawab mereka terhadap manfaat pekerja di mana mereka tidak perlu bayar caruman KWSP dan SOCSO kepada mereka. Ini adalah bercanggah dengan objektif kerajaan yang ingin
mendirikan Masyarakat Penyayang. Oleh itu saya minta Kementerian Kewangan mengkaji semula sistem yang dipraktikkan pada bank sekarang.

Wang Yang Tak Dituntut Dalam Bank

Datuk Pengerusi, saya ingin tanya kepada Kementerian, apakah wang yang tidak dituntut (unclaimed money) terletak di bawah bidang kuasa Bank Negara ataupun bank individu sendiri, dan macam manakah seseorang
mendapat balik wangnya yang telah diletakkan di bawah Wang Yang Tak Dituntut?

Skim Pinjaman Mikro (Micro Credit)

Datuk Pengerusi, memandangkan semakin banyak kes penipuan oleh Ah Long berlaku, saya cadangkan supaya kementerian mengadakan skim “micro credit” bagi peminjam SMI, penjaja dan orang biasa. Ini adalah kerana ramai orang yang meminjam wang daripada Ah Long sebenarnya hanya hanya amaun yang kecil sahaja, tetapi mereka rasa meminjam wang daripada bank yang memerlukan gadaian dan memerlukan prosedur yang banyak. Jadi sekiranya kementerian mengadakan lebih skim pinjaman micro-credit, seperti apa yang diberikan kepada pertubuhan wanita itu, maka ini akan membantu menyelesaikan masalah akar Ah Long.

(4
/10/2004)


* Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh