Kerajaan harus
mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap kerajaan Burma
dengan mendesak kerajaan militari Burma untuk berdamai dan berdialog dengan
NLD
Ucapan
- Perbahasan Baget 2005
(Peringkat Jawatankuasa -
Kementerian Luar Negeri )
oleh Teresa Kok
(Dewan Rakyat,
Selasa):
Pada tahun 1997, kerajaan Malaysia telah berusaha dengan gigihnya untuk
membawa Burma ke dalam ASEAN tanpa menghirau bantahan dan nasihat daripada
masyarakat antarabangsa dengan dasar yang digelar sebagai “Constructive
Engagement”.
7 tahun sekarang, keadaaan Burma langsung tidak berubah, kerajaan militari
SPDC itu masih degil dengan pemerintahan kuku besinya, ia masih keras,
memeras dan menindas rakyatnya sendiri, beribu-ribu tahanan politik masih
belum dibebaskan, pemimpin NLD Aung San Suu Kyi masih ditahan dirumahnya,
ekonomi negara itu masih mundur, pihak kerajaan militari masih enggan
berdialog dan berdamai dengan parti pembangkang, usaha damai yang dilakukan
oleh Utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Tan Sri Razali Ismail kelihatan
tidak mencapai apa-apa hasil dan menuju ke arah kegagalan. Tetapi apa yang
mempengaruhi ASEAN ialah, Negara-negara Eropah enggan menghadiri mesyuarat
ASEM kerana kehadiran Burma dalam mesyuarat ASEM. Ini telahpun menjejaskan
hubungan politik dan ekonomi di antara Negara-negara ASEAN dengan dunia
Barat.
Datuk Pengerusi, pada tahun 2006, Burma akan menjadi pengerusi kepada
mesyuarat antarabangsa ASEAN. Bukankah ini merupakan satu tamparan hebat
kepada negara-negara ASEAN di mana sebuah negara yang kerajaannya bukan
dipilih oleh rakyat dijadikan pengerusi kepada persidangan antarabangsa
ASEAN? Bukankah matlamat “Constructive Engagement” ASEAN dan kerajaan
Malaysia telah dibukti gagal?
Datuk Pengerusi, saya difahamkan bahawa Menteri Luar Burma telah menghadapi
tekanan dan kritikan yhang kuat dalamsidang Menteri Luar ASEAN pada beberapa
b ulan yang lepas. Selepasitu, Menteri Luar Burma dipecat oleh kerajaannya
kerana gagal mempertahankan nama baik dan maruah Burma. Bukankah langkah ini
membayangkan sikap authoritarian dan kuku besi pemerintahan SPDC di Burma?
Pada tahun lepas, bekas Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir telahpun
menyaran ASEAN supaya memecat Burma daripada ASEAN sebelum beliau bersara,
tetapi kesalnya, saranan ini akhirnya menjadi pandangan sendirinya dan
bukannya pandangan dan pendirian kerajaan Malaysia.
Datuk Pengerusi, sekiranya Tun Dr Mahathir yang pernah berusaha gigih untuk
membawa Burma memasuki ASEAN ini boleh meluahkah kenyataan untuk memecat
Burma daripada ASEAN, maka kerajaan Malaysia harus mengambil pendirian yang
lebih keras dan tegas terhadap Burma, tetapi kesalnya kerajaan Malaysia dan
kerajaan negara-negara ASEAN yang lain kelihatan amat lembut dan malah
tunduk kepada regim militari Burma, dan ini
telahpun bercanggah dengan prinsip asas “Constructive Engagement”.
Akhirnya saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Luar Negeri supaya
mengambil pendirian yang lebih tegas dan keras terhadap kerajaan Burma
dengan mendesak kerajaan militari Burma untuk berdamai dan berdialog dengan
NLD yang dipimpini oleh Aung San Suu yi dan suku-suku kaum di Burma yang
lain dan membebaskan beliau daripada penahanannya. Sekiranya SPDC masih
degil dan enggan berubah, maka mungkin kerajaan harus menyahut saranan Tun
Dr Mahathir dengan mengusulkan Burma dipecat dairpada ASEAN.
(5/10/2004)
* Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh
|