http://dapmalaysia.org  

Masalah Hak Milik Strata


Ucapan
- Perbahasan Bajet 2005 (Peringkat Jawatankuasa - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar)

oleh
Teresa Kok

(Dewan Rakyat,  Tuesday): Datuk Pengerusi, banyak bangunan di negara kita tidak mempunyai hak milik strata. Saya pernah tanya satu soalan di Parlimen dalam sidang yang lepas mengenai berapa pemaju yang septutnya memohon hak milik strata tetapi tidak berbuat demikian, tetapi kesalnya jawapannya tidak memberi data yang saya ingini. Soalan saya adalah, apakah pejabat tanah kita di seluruh negara atau kementerian sumber asli mempunyai maklumat sebegini? Kalau tidak, apakah langkah yang akan diambil oleh pihak kementerian untuk menyelesaikan masalah ini? Selain itu, memandangkan terdapat begitu ramai pemaju tidak memohon hak milik strata untuk bangunan dan pangsapurinya, kenapakah pihak kementerian tidak pernah melaksanakan tanggungjawab yang termaktub dalam Akta Hak Milik Strata untuk mendakwa mereka ke mahkamah? Setakat ini, kita tidak pernah baca sesiapa pemaju yang tidak memohon hak milik strata dihadap ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Kenapakah ini berlaku? Bila saya tanya soalan ini di Parlimen, jawapan yang saya terima ialah kekurangan tenaga kerja. Ini juga merupakan jawapan yang susah diterima oleh kita semua.
Apakah langkah kementerian untuk menyelesaikan masalah ini? Di manakah Strata Titles Board yang termaktub di Akta Hak Milik Strata kita? Selepas akta tersebut diluluskan selama 3 tahun di dewan yang mulia ini, setakat hari ini, kita hanya lihat Strata Titles Board ditubuhkan di Negeri Pulau Pinang sahaja. Di manakah Strata Titles Board yang sepatutnya ditubuhkan di setiap negara kita?

Sehubungan dengan itu, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Kooperasi pernah berkata di dewan yang mulia ini
bahawa kementeriannya akan membentangkan pindaan terhadap Akta Hak Milik Strata untuk menyelesaikan masalah bangunan lama yang dibina pada tahun 60-an dan 70-an yang tidak mempunyai hak milik strata, tetapi isu ini masih tergantung dan tiada apa-apa dasar diumumkan oleh pihak kementerian sehingga hari ini.

Korupsi di Pejabat Tanah dan Galian --- Penipuan Pemilikan Tanah  

Korupsi di Pejabat Tanah dan Galian telah menjadi semakin serius. Korupsi dalam kementerian ini juga dibuktikan dengan pendakwaan terhadap bekas Menteri Tanah dan Kooperasi ke mahkamah oleh pihak Badan
Pencegah Rasuah. Sebenarnya, kita tahu yang korup itu bukan bekas menteri sahaja, tetapi ia sebenarnya satu
fenomena yang “top down” yang melibatkan banyak pihak, tetapi kesalnya, pihak kerajaan tidak mengambil
tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.

Datuk Pengerusi, kes penipuan yang berlaku di Pejabat Tanah dan Galian, iaitu kes penukaran nama pemilikan
tanah tanpa pengetahuan tuanpunya tanah asal telah bertambah banyak. Adalah jelas bahawa kes penipuan
seperti ini hanya boleh berlaku dengan adanya bantuan daripada pegawai Pejabat Tanah dan Galian.

Datuk Pengerusi, keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Ardona Properties Sdn Bhd berlawan Boonsom
Boonyanit, di mana Ardona Properties Sdn Bhd yang membeli tanahnya tanpa pengetahuan tuan tanah asal ini
adalah sah telah menimbulkan kebimbangan daripada ramai tuan tanah kerana mereka bimbang perkara yang
sama boleh berlaku pada diri mereka. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh YB Serdang dalam ucapan dasarnya beberpa minggu lepas, tetapi kesalnya apabila Setiausaha Parlimen memberi jawapan tentang isu ini, beliau hanya menjawab dengan ringkas adalah langsung tidak boleh diterima. Ini adalah seperti “Pagar Jaga Padi, Pagar Makan Padi”. Persoalan kita sekarang ialah, kalau Kanun Tanah Negara kita tidak ada masalah, maka sudah pastinya pentadbiran Pejabat Tanah dan Galian ini mempunyai masalah, dan apakah langkah yang diambil oleh kementerian ini untuk menangani masalah penipuan yang berlaku di Pejabat Tanah dan Galian ini? Kenapakah setakat ini Menteri tidak mengarahkan apa-apa siasatan dijalankan terhadap kes-kes penipuan yang melibatkan Pejabat Tanah dan Galian , dan kenapakah tiada sesiapa pegawai Pejabat Tanah dan Galian ditangkap dan digantung jawatan kerana penipuan tersebut? Apa yang berlaku pada Menteri kita yang malah tidak hadir dalam perbahasan usul potong gaji RM10 pada pagi ini?

Kegagalan Jabatan Alam Sekitar

Datuk Pengerusi, kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Di semua negara
maju yang pernah saya lawati, kerajaan mereka amat prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar, dan kerajaan di negara-negara ini juga mengadakan dasar yang membangkitkan kesedaran dan pendidikan terhadap rakyatnya tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan mengitar-semula sampah-sarap kita.

Tetapi kesalnya, di negara kita, Jabatan Alam Sekitar telah merupakan satu jabatan yang kewujudannya tidak
disedari oleh rakyat-jelata. Bila negara kita diserang jerebu, kita tidak diberitahu tentang sebab-musebab jerebu, arah jerebu dan malah tidak mengumumkan bacaan API. Ketidaktelusan kerajaan terhadap API ini sebenarnya telah mengancam kesihatan rakyat dan ia juga tidak akan menarik pelancong untuk melawat negara kita kerana agensi pelancongan asing tahu bahawa kerajaan tidak telus terhadap bacaan API kita.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin membangkitkan masalah pembakaran sampah-sarap secara terbuka yang
berlaku di kawasan Datuk Pengerusi MCA di Batu 23, Kulai yang telah berlanjutan lebih 2 bulan ini. Apakah tindakan Jabatan Alam Sekitar terhadap pembakaran terbuka ini kerana ia telah mengakibatkan berlakunya
hujan asid?

Datuk Pengerusi, kita tahu bahawa penggunaan plastic yang berlebihan akan merosakkan alam sekitar dan
pembakaran bahan plastik oleh incinerator akan merosakkan alam sekitar dan menghasilkan dioksin yang
menyebabkan penyakit kanser. Sedihnya, Jabatan Alam Sekitar tidak menggubal apa-apa peraturan dan
undang-undang yang mengawal penggunaan plastik, selain itu, kementerian juga tidak menjalankan pendidikan
kepada orang ramai untuk mengurangkan penggunaan plastic dan menggalakkan industri yang menghasilkan
produk alternative yang menggantikan plastic.
 

EIA Insinerator  di Broga

Sehubungan dengan itu, saya juga merasa hairan bahawa Jabatan Alam Sekitar meluluskan EIA incinerator di
Broga dengan senang sahaja tanpan mengambil kira tentang lokasinya di mana incinerator dibina di tempat
takungan air dan air itu akan digunakan dan dimunum oleh penduduk di Lembah Klang. Macam manakah kementerian menjustifikasi masalah pencemaran air dan pencemaran udara yang akan mengancam kesihatan
penduduk di kawasan Semenyih, Kajang dan seluruh Lembah Klang ini? Kenapakah kementerian tidak mencadangkan kepada kerajaan untuk menggunakan teknologi pengurusan sampah alternative seperti MRF
yang berasaskan konsep kitar-semula untuk menggantikan incinerator?

(11/10/2004)


* YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh