http://dapmalaysia.org  

Ketua Menteri Melaka Tidak Berkomited Menentang Masalah Politik Wang Di Melaka Dan Cuba Menutup Kontroversi Datuk Amid Nordin Masih Memegang Jawatan EXCO Sungguhpun Digantung Keahlian UMNO Selama 3 Tahun


Kenyataan Akhbar
oleh
Betty Chew

(Melaka,  Selasa): Saya amat kesal dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Mo'min bin Haj Abd. Aziz menolak usul saya mengenai masalah politik wang di kalangan parti politik dan rasuah di dalam pentadbiran kerajaan negeri yang boleh menjejaskan pembangunan ekonomi. Dalam satu surat bertarikh 14 Oktober 2004, Datuk Mo'min menolak usul politik wang dan rasuah di bawah Peraturan Mesyuarat 17(2) tanpa memberikan sebarang sebab. Usul politik wang berbunyi:-


"Bahawa Dewan ini membuat ketetapan bahawa politik wang di kalangan parti politik, amalan rasuah, penyelewengan wang dan penyalahgunaan kuasa boleh menjejaskan pembangunan ekonomi yang pesat dalam negeri dan oleh demikian menyokong usaha YAB Perdana Menteri mewujudkan budaya dan suasana bersih, cekap dan amanah untuk meningkatkan produktiviti, efisiensi dan pelaburan luar asing untuk menjayakan Wawasan 2020."

Soalan pertama saya tentang kedudukan Ahli EXCO Melaka Datuk Amid Noordin yang digantung keahlian UMNOnya selama tiga tahun pun ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 13(4)(a), (n) & (p). Alasan menolak soalan saya tidak boleh diterima kerana Datuk Amid memang digantung keahliannya dan ia bukanlah berdasarkan sebab tanpa berasas. Soalan saya adalah:

1. Menanya YAB Ketua Menteri tentang kedudukan YB Teluk Mas merangkap Ahli EXCO Melaka untuk portfolio Pelancungan dan Kebudayaan selepas digantung keahliannya dalam UMNO selama 3 tahun kerana terlibat dalam politik wang dan adakah penggantunggannya membuktikan bahawa dakwaan bekas Ketua Menteri
Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik tentang penyelewengan kewangan dan politik wang di Melaka memang benar seperti:-

a) pembelian wakil-wakil UMNO dalam pemilihan parti Bahagian Kota Melaka sehingga setiap undi para wakil boleh dibeli dengan harga RM 1,000-00 setiap undi;

b) penggunaan parti untuk memperolehi geran tanah, projek kerajaan dan kontrak istimewa di antaranya 200 ekar tanah termasuk di pinggir pantai, 30 permit teksi dan satu konsesi penyelenggaraan jalan sebanyak RM 2 juta; dan

c) apakah tindakan yang akan diambil ke atas dakwaan bekas Ketua Menteri untuk membetulkan kepincangan yang didedahkan oleh Tan Sri Rahim.

Jelas di sini Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam amat takut saya membawa isu-isu sensitif mengenai politik wang dan kedudukan Datuk Amid Noordin kerana tidak tahu menjawabnya. Untuk menolak soalan dan usul saya bukan sahaja menunjukkan kelemahan dan ketakutannya menghadapi isu ini malah juga menunjukkan kurang komitmen menyokong Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan amanah.

Rakyat Melaka harus tahu apa usaha beliau menentang politik wang memandangkan lapuran suratkhabar New Straits Times menyatakan wujudnya politik wang mempengaruhi pemilihan Naib Presiden UMNO yang dimenangi oleh Datuk Mohd Ali Rustam. Pemberian 84 gelaran Datuk, yang dianggap paling ramai dalam sejarah Melaka dan mungkin juga di Malaysia, hanya menunjukkan betapa seriusnya masalah politik wang. Penafian Datuk Mohd Ali Rustam bahawa pemberian gelaran Datuk bukanlah satu hadiah politik kepada mereka yang bantu beliau menang Naib Presiden UMNO susah dipercayai bila ramai yang mendapat gelaran Datuk tidak mempunyai sumbangan besar kepada rakyat dan negeri Melaka.

Pada masa yang sama, adalah isu berkepentingan awam samada Datuk Amid Nordin boleh terus memegang Ahli EXCO Melaka bila beliau didapati bersalah oleh UMNO terlibat dalam politik wang. Isu ini bukan sahaja dilihat dari segi politik tetapi juga dari aspek ketelusan, akauntabiliti dan integriti pemimpin yang tidak harus dipersoalkan.

Seorang yang digantung keahliannya adalah bebas. Adakah seorang bebas tanpa parti seperti Datuk Amid Nordin boleh terus memegang Ahli EXCO? Ini adalah sungguh pelik sekali.

Yang lebih pelik ialah isu seorang yang dianggap tidak layak menjadi ahli UMNO kerana terlibat dalam politik wang dianggap layak menjadi Ahli EXCO Melaka. Ini menunjukkan bahawa Datuk Mohd Ali Rustam tidak serius dan tidak bertanggungjawab dalam menentang masalah politik wang. Bagi pihak rakyat Melaka, isu ini adalah isu berkepentingan awam kerana melibatkan perlunya ada pemimpin yang bukan sahaja bersih cekap dan amanah tetapi dilihat sebagai bersih cekap dan amanah.

Oleh itu saya akan menentang keputusan menolak usul dan soalan saya dan akan mempertikaikan sebab usul saya ditolak tanpa sebab bila mesyuarat Dewan Undangn Negeri Melaka bersidang mulai 23.10.2004.
 

(19/10/2004)


* Betty Chew Gek Cheng, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka, Pengerusi DAP Wanita Melaka dan ADUN Kota Laksamana