http://dapmalaysia.org  

Peranan parti-parti politik dan NGO ke arah kestabilan politik, keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat


Ucapan
- di Konvensyen Perpaduan Umat dan Rakyat Malaysia (PADU)
oleh  
Ronnie Liu Tian Khiew

(Kuala Lumpur,  Ahad): Parti-parti politik dan NGO di tanahair kita ini telah memainkan satu peranan yang penting dan positif untuk mengekalkan kestabilan politik sejak kemerdekaan negara Malaysia. Parti-parti politik khasnya parti pembangkang mengamalkan prinsip dan cara perjuangan melalui system pemilihan demokratik. Menang atau tidak, kita menghormati keputusan pengundi dan pilihan rakyat. Dan kita terus memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab. Tidak pernah kita menghasut rakyat untuk membuat kacau-bilau sehingga mengancam kestabilan politik. Parti-parti pembangkang Malaysia tidak percaya kepada penggulingan kerajaan melalui keganasan.

Tetapi malangnya, parti-parti pemerintah di negara kita tidak mengamalkan system demokratik yang tulen. Mereka menggunakan wang politik, manipulasi sistem pengundian, penguasaan media dan taktik-taktik kotor yang lain untuk mengekalkan kuasa pemerintahan mereka.

Mereka tidak menggunakan kestabilan politik yang dicapai oleh parti-parti politik, khasnya parti pembangkang dan NGO untuk membangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat jelata. Sebaliknya, mereka menggunakan kedudukan mereka -untuk kepentingan mereka sendiri atau kelaurga dan kroni-kroni yang menyokong mereka.

Tidak hairanlah maka Malaysia di bawah pemerintahan BN telah menjadi sebuah negara yang dianggap sebagai penuh dengan korupsi dan ketidakseimbangan, kurang daya persaingan dan tidak demokratik. Indeks korupsi antarabangsa terbaru menunjukkan kedudukan Malaysia terus merosot, jatuh daripada No. 37 kepada No.39. Rekod hak asasi manusia juga terus merosot di mana tahanan-tahanan ISA terus dizalimi dalam Kem Tahanan Kemunting.

Kerajaan Barisan Nasional sepatutunya menghargai mandat yang diberikan oleh rakyat untuk mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur, yang mengamalkan nilai-nilai sejagat seperti keadilan, kebebasan, domokrasi, kesaksamaan dan setiakawan. Kita masih jauh sekali daripada konsep masyarakat madani yang menjadi impian dan idaman rakyat Malaysia.

Memang benar. Kita tidak boleh mencapai keutuhan ekonomi tanpa kestabilan politik.

Tetapi kita juga tidak boleh memcapai keutuhan ekonomi tanpa demokrasi yang tulen. Semua negara yang maju dan makmur di dunia ini mengamalkan demokrasi. Kecuali sebilangan negara yang memilik kekayaan gas dan petrol atau sumber alam sejadi yang lain. Selain daripada Malaysia, banyak negara yang kaya dengan sumber alam sejadi tidak boleh menjadi maju dan makmur kerana tanpa demokrasi yang tulen. Burma, Sudan, Indonesia, Filipina… semuanya kaya dengan sumber alam sejadi, jauh lebih daripada Singapura, Korea atau Jepun.

Tengoklah apa terjadi apabila manusia seperti Marcos, Soeharto dan Tan Shwe  menjadi pemimpin negara. Ekonomi negara-negara ini tidak pulih sehingga hari ini. Jelasnya sekali mereka tidak mengamalkan demokrasi. Kuasa mereka susah dicabar tanpa sistem politik demokratik yang tulen. Bukan mudah hendak menukar kerajaan kuku besi. Hanya kesedaran politik rakyat yang kukuh ataupun “people power” dapat mengubah langskap politik dan nasib rakyat.

Malaysia sepatutnya menjadi negara yang lebih maju dan makmur daripada jiran kita di rantau Asia Tenggara kerana bukan saja negara kita kaya dengan sumber alam sejadi, negara kita juga bertuah kerana tidak diancam oleh bencana alam, seperti gempar bumi, letupan gunung api dan taufan. Baru-baru Jepun dilanda taufan Tomage dan 58 nyawa terkorban dan banyak harta-benda binasa “overnight”, dalam masa semalaman.

Saya berharap rakyat Malaysia tidak akan menunggu sehingga keadaan merosot ke satu tahap seperti negara jiran kita, Filipina dan Indonesia. Dan tentu sekali bukan seperti Burma. Di Burma, rakyat tidak boleh menukar kerajaan walaupun Aung San Suu Kyi dan partinya menang 85% undi dalam pilihanraya umum pada 1990. Beliau terus dikenakan tahanan dalam rumah sehingga hari ini. Rakan-rakannya masih merengkok di dalam penjara.

Peranan parti-parti politik

Apakah peranan yang harus dimainkan oleh parti-parti politik di negara kita? Parti-parti pemerintah tidak boleh harap. Kita tumpukan focus kita kepada parti-parti pembangkang dan NGO.

Parti-parti pembangkang sudah berusaha untuk menyatupadukan semua tenaga dan sumber manusia untuk bertanding menentang parti-parti pemerintah. Tetapi malangnya tidak beberapa berjaya. Parti DAP terpaksa keluar daripada Barisan Alternatif yang kita kasihi bukan kerana kita takut kalah. Kita terpaksa berpisah kerana isu “Islamic State” tidak dapat diselesaikan.

Parti DAP boleh dan sudi berkerjasama dengan parti-parti politik yang mengamalkan prinsip Islam dan agama yang lain. Tetapi ahli-ahli dan penyokong DAP tidak dapat menerima konsep ‘Islamic State” dan mereka menganggap DAP sebagai pengkhianat jika pemimpin berpakat dengan parti politik yang berjuang untuk menubuhkan sebuah ‘Islamic State” di Malaysia.

Ini adalah kerana bukan sahaja mereka tidak memahami konsep “Islamic State”, mereka rasa lebih selesa dan lega jika Malaysia terus menjadi sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya. Mereka boleh menerima satu pentadbiran kerajaan yang mengamalkan nilai agama sejagat. Mereka tidak dapat menerima satu pentadbiran kerajaan yang menempatkan taraf sesuatu agama lebih tinggi daripada agama yang lain. Kerana mereka percaya keadaan ini akan mencetus kesangsian di antara penganut-penganut agama yang lain dan hak-hak asasi mereka tidak dapat dilindungi dalam jangka masa panjang.

Justera itu, jika isu “Islamic State” tidak dapat diselesaikan, parti DAP tidak dapat berikat dengan sebarang gabungan politik yang didominasikan dengan unsur-unsur politik “Islamic State” pada masa depan.

Saya percaya bahawa parti-parti pembangkang di Malaysia hanya perlu membetulkan kesilapan dan kelemahan parti-parti pemerintah untuk menyatupadukan semua rakyat. Tidak ada sebab mengapa kita perlu menaruh harapan pada satu konsep yang tidak begitu jelas untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada berbilang agama dan kepercayaan.

Parti-parti pembangkang seharusnya menumpu perhatian pada isu persamaan seperti hak asasi manusia, demokrasi, ketelusan, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan. Bukankah semua ini merupakan nilai-nilai sejagat, yang diamalkan oleh agama Islam dan agama-agama seperti Buddhisme, Christianity, Hinduisme, Sikhisme dan lain-lain?

Peranan NGO

Peranan NGO di Malaysia juga amat penting dalam penentuan bentuk demokrasi negara dan nasib rakyat jelata. NGO boleh memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh parti-parti politik kerana NGO merupakan satu kuasa non-partisan.

NGO boleh menggunakan sifat non-partisan ini untuk menyatupadukan parti-parti politik yang menganut kepercayaan politik yang berlainan. Kadang-kadang rakyat merasa lebih selesa dan lega untuk berjuang bersama NGO juga kerana sifat non-partisan ini.

Walau pun NGO bukan parti politik, tetapi mereka juga tidak boleh berpisah daripada prinsip yang saya sebut tadi. NGO juga perlu berjuang atas nilai-nilai sejagat seperti demokrasi, keadilan, kebebasan, kesaksamaan, setiakawan dan keamanan. Kesejahteraan rakyat juga merupakan matlamat muktamad mereka.

Program Agenda Malaysia

Parti-parti pembangkang memang tajam dan tepat dengan kutukan dan kritikan terhadap parti-parti pemerintah. Tetapi nampaknya kita kurang cekap untuk menggubah satu program yang menarik serta menyakinkan rakyat bahawa barisan pembangkang lebih cekap dan effektif daripada kerajaan BN untuk membawa perubahan social, politik dan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Parti-parti politik pembangkang dan NGO harus bersama-sama menggubah satu program alternative yang dapat menjamin kestabilan, pembangunan dan keutuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Marilah kita bersama-sama mewujudkan satu Agenda Malaysia, untuk menentang Agenda UMNO dan agenda-agenda lain yang berunsur perkauman dan fikiran sempit.

Perjuangan untuk perpaduan umat dan rakyat Malaysia

Perjuangan untuk menyatupadukan semua rakyat tentu akan disabotajkan oleh musuh politik kita. Tetapi tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Berani kerana benar. Dengan cita-cita murni dan sehati sejiwa, marilah kita bersama-sama berjuang untuk tanahair yang kita kasihi.

(24/10/2004)


* Ronnie Liu Tian Khiew, Setiausaha Antarabangsa merangkap Ketua Biro NGO