http://dapmalaysia.org  

Menegakkan Demokrasi, Ketelusan Dan Akauntabiliti Kewangan Dapat Menjaminkan Kejayaan Melaka Sebagai Sebuah Negeri Maju Pada 2010 Dan Yang Mengagihkan Kemakmuran Yang Seimbang Dan Adil Kepada Semua


Ucapan
-
Di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka
oleh  
Betty Chew Gek Cheng 

(Melaka,  Isnin): Saya turut ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada TYT YDP Negeri Melaka kerana sudi menyampaikan ucapan Perasmian Persidangan di Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Ketua Menteri kerana terpilih sebagai Naib Presiden UMNO dan semoga pemilihannya akan membawa pembangunan yang lebih pesat kepada negeri Melaka.

Saya menyokong saranan kerajaan negeri meneruskan dasar ekonomi pro-pertumbuhan yang dipacu oleh peningkatan produktiviti dan kecekapan demi mencapai objektif Melaka negeri maju pada 2010. Akan tetapi sejauh manakah kita dapat mengurangkan pembaziran, mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan tanpa mengatasi gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kewangan yang kian berleluasa. Hanya menerusi penegakkan demokrasi, ketelusan dan akauntabiliti kewangan dapat menjaminkan Melaka negeri maju 2010 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) sebanyak RM 12.5 bilion dan pengagihan kemakmuran yang seimbang dan adil kepada semua.

Kerajaan Melaka begitu bangga dengan jangkaan pencapaian pertumbuhan ekonomi sekadar 7.4% untuk tahun ini, yang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 7%. Akan tetapi pertumbuhan ekonomi baik ini tidak dirasai oleh rakyat jelata sehingga dipertikaikan oleh peniaga kecil dan sederhana yang mempersoalkan di mananya pertumbuhan ekonomi bila perniagaan mereka merosot 30%.

Kerajaan negeri harus sedar bahawa sektor pembinaan merupakan pemangkin utama ekonomi tempatan. Memandangkan sector ekonomi menghadapi masalah dengan pertumbuhan seluruh negara dianggarkan sifar, adalah perlu kerajaan membantu sektor ini. Kemelesatan industri pembinaan swasta menyebabkan kontraktor bukan bumi menghadapi masalah besar dan saya ingin cadangkan kerajaan membenarkan sebahagian projek kerajaan dibuka dan diberikan kepada kontraktor bukan bumi. Adalah diharapkan pemimpin MCA dan Gerakan di sini berani menyokong cadangan saya.

Sektor perkhidmatan menyumbangkan 65% kepada KDNK Melaka, khususnya industri pelancongan. Oleh itu adalah perlu kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan Lapangan Terbang Melaka yang dapat menampung kapalterbang jet besar. Susah diterima sebagai destinasi pelancongan terutama di Malaysia, Melaka masih belum mempunyai lapangan terbang yang elok. Malah sebuah negara mundur seperti Kampuchea, terdapat sebuah lapangan terbang di Angkor Wat yang agak sempurna.

Pada masa yang sama, saya tidak faham mengapa kerajaan negeri tidak dapat memperolehi kelulusan untuk landasan keretapi dan LRT. Sekiranya Seremban boleh mengapa Melaka tidak boleh. Kegagalan kerajaan negeri untuk mendirikarn infrastuktur pengangkutan dan komunikasi yang moden selaras dengan taraf sebagai bandaraya bersejarah Malaysia akan dianggap sebagai kegagalan terbesar YAB Ketua Menteri.

Adalah dikesali bukan sahaja usaha membenteras rasuah dan penyelewengan kewangan tidak digariskan malah perkataan rasuah tidak disebut langsung. Di samping masalah pengagihan kemakmuran yang seimbang dan adil, kejayaan sesebuah negara membenteras dan mengawal amalan rasuah dan penyelewengan kewangan memang menjadi kayu pengukur pelabur asing.

Lapuran Rasuah Sedunia 2004 oleh Transparency International baru-baru ini melapurkan keadaan rasuah semakin serius di Malaysia yang merosot dua tempat dari No. 37 pada 2003 ke No. 39 pada 2004 begitu mendapat keprihatianian pelabur asing. Ini adalah kerana undang-undang Negara barat mula digubal untuk melarang rakyat mereka yang melabur di luar negara daripada terlibat dalam gejala tidak sihat ini. Oleh itu, mahu tidak mahu dan suka tidak suka Malaysia dan Melaka harus berusaha gigih untuk membetulkan persepsi negatif ini sekiranya inginkan pelaburan barat yang berbentuk teknologi dan modal-intensif.

Sejauh manakah kerajaan negeri berjaya mengawal pembaziran dalam penyelewengan kewangan beberapa projek berikut:-
 

1. Sistem PPSN Sebanyak RM 2.3 Juta Bernombor 06-2333333 Yang Gagal Berfungsi.

Sistem Pusat Panggilan Satu Nombor(PPSN) Negeri Melaka makan perbelanjaan tinggi sebanyak RM 2.3 juta tetapi tidak berfungsi dan kini tidak boleh digunakan secara automatik seperti yang diomong-omongkan oleh YAB Ketua Menteri tetapi hanya secara manual menerusi operator. Perjanjian PPSN ditandatangani dengan Syarikat Wavelink Systems Sdn Bhd sebanyak RM 2,256,652-00 dengan hanya menggunakan satu nombor 2333333 dan kod komputer boleh menghubungi semua jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka tanpa menerusi operator.

Sistem PPSN mulai pada 21 Julai 2003, dan didakwa boleh menjimatkan wang dan masa kerana memudahkan menghubungi jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka dengan menggunakan satu nombor sahaja iaitu 2333333. Malah Ahli EXCO Negeri untuk Sains, Teknologi, Multimedia dan Maklumat Datuk Abdul Karim Sulaiman dalam satu kenyataan akhbar pada 4 September 2004 mengakui masalah timbul dalam sistem ini tetapi mempertahankannya kerana sudah menjimatkan RM 90,000. Susah diterima SSPN dengan perbelanjaan RM 2.3 juta boleh dianggap berjaya dengan penjimatan hanya RM 90,000-00 sahaja?

Saya difahamkan PPSN tidak berfungsi dan sebaliknya perlu dibuat secara manual menerusi operator untuk menghubungi jabatan kerajaan. Ini berlawanan dengan tujuan asal sistem PPSN yang boleh menghubungi terus jabatan kerajaan dengan hanya menekan butang telefon dan kod jabatan tanpa menerusi operator.

Kalau operator atau telefonis masih diperlukan apakah perlunya membelanjakan sampai RM 2.3 juta? Sekiranya dua telefonis dipakai mereka mungkin merupakan telefonis termahal sebanyak RM 1 juta seorang. Harga tinggi RM 2.3 juta ini dikatakan disebabkan oleh sistem komputer secara automatik ini. Kalau sistem automatik menerusi komputer tidak boleh dipakai bukankah ini merupakan satu pembaziran wang besar kepada rakyat.

Mengikut carian syarikat ke atas kontraktor Syarikat Wavelink Systems Sdn Bhd, ia hanya ditubuhkan pada 28 Mei 2003 iaitu kurang daripada 2 bulan sebelum SSPN beroperasi pada 21 Julai 2003. Pemilik saham dan ahli lembaga pengarah adalah Datuk Abdul Ghaffar bin Ibrahim dan anaknya Zool Hilmi bin Abdul Ghaffar, yang lebih terkenal sebagai kontraktor dan pemaju beberapa projek bermasalah seperti tempat letak kereta di sebelah Stadium Kubu.

Perlu dijawab sebabnya syarikat ini diberikan kontrak PPSN bila ia tidak mempunyai sebarang track record dan pengalaman berkaitan yang terserlah. Mengapakah kontrak ini tidak diberikan kepada usahawan yang fasih dan cekal tentang Information Teknologi? Tidak hairanlah operasi PPSN tidak berfungsi dengan kos tinggi sebanyak RM 2.3 juta ini kalau kronisma sedemikian diamalkan.


2. Perbelanjaan Lebihi Harga Pasaran Untuk RM 8.54 Juta Projek Hang Tuah Mall

Perbelanjaan tinggi untuk barangan yang melebihi harga pasaran dalam projek Hang Tuah Mall sebanyak RM 8.54 juta amat melampau. Daripada kos projek RM 8.54 juta ini, sebanyak 48 % atau RM 4 juta diperuntukkan untuk kerja lanskap. Saya harap YAB Ketua Menteri boleh berikan pengesahan pecahan perbelanjaan kos projek lanskap seperti berikut:

  1. Saya kurang faham macam mana pembinaan sebuah pancut air yang kecil, `simple' dan jarang beroperasi boleh berharga sampai RM 200,000!;

  2. 6 buah kiosks sebanyak RM 488,000 atau RM 81,000 sebuah kanopi;

  3. kerja membina railing sebanyak RM 79,600 dan ukiran RM 128,000 di Jambatan Hang Tuah yang tidak menampakkan banyak perubahan;

  4. 20 buah tong sampah konkrit sebanyak RM 17,600 atau RM 880/- sebuah tong sampah bila harga pasarannya tidak melebihi RM 100/-;

  5. 20 bangku sebanyak RM 35,200 atau RM 1,760 sebuah;

  6. 5 panel bergantung sebanyak RM 40,000-00 atau RM 8,000-00 sebuah;

  7. kerja "future amenities" yang belum ada lagi sebanyak RM 225,300;

  8. kos papantanda sebanyak RM 97,600;

  9. kos penanaman pokok sebanyak RM 147,700;

  10. "water feature" sebanyak RM 250.000;

  11. sebuah "police booth" sebanyak RM 12,200 yang tidak ada langsung!

Perlu dipertanyakan mengapa kos item-item ini begitu mahal. Adakah satu penilaian secara perbandingan diadakan dengan harga pasaran kerana kosnya boleh dianggap keterlaluan seperti sampah konkrit dan kiosk. Lagipun apakah rasional membuat perbelanjaan untuk sesuatu yang tidak didirikan baik "future amenities" ataupun "police booth"?

 


3. Pemberian Tender Untuk Pembinaan Sentral Terminal Bas Melaka Sebanyak RM 28.4 Juta Yang Tidak Termasuk Dalam Jadual Harga Tender Dan Juga RM 5.5 Juta Lebih Tinggi Daripada Harga Tender Terendah

 

Kes pemberian tender untuk pembinaan Sentral Terminal Bas Melaka kepada Nada Cekal Sdn Bhd sebanyak RM 28.4 juta menjadi kontroversi besar. Sungguhpun ia dibuat secara tender terbuka, harga RM 28.4 juta ia bukanlah harga terendah (RM 5.5 juta lebih tinggi daripada harga terendah sebanyak RM 22.9 juta) dan harga RM 28.4 juta juga tidak termasuk dalam Jadual Harga Tender.

Dalam jawapan lisan kepada YB Betty Chew di mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka pada 15 Jun 2004, YAB Ketua Menteri telah menyatakan ada 9 pemohon tender untuk projek Melaka Sentral Terminal Bas seperti berikut:

NAMA SYARIKAT HARGA TAWARAN

1. PRINSIPTEK (M) SDN. BHD. 22,878,000-00
2. GABUNGAN DERAS SDN. BHD. 27,925,251-00
3. NADA CEKAL SDN. BHD. 31,056,643-00
4. SYNCRONIZE BUILDERS SDN. BHD. 33,070,025-56
5. KERIS LAGENDA SDN. BHD. 34,500,000-00
6. LEDANG RAYA SDN. BHD. 36,942,652-80
7. MAJIDEE (HOLDINGS) SDN. BHD. 40,051,900-00
8. MOLOP CORPORATION SDN. BHD. 46,631,488-19
9. MERPATI INDAH CONSTRUCTION SDN. BHD. 53,993,151-10

Ini berlawanan dengan jawapan yang diberikan oleh Ketua Menteri kepada ADUN Bacang di mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka pada 13 Mei 2003 bahawa kontrak tender ini diberikan kepada Nada Cekal Sdn Bhd dengan harga tawaran bernilai RM 28,376,057 di atas tanah kerajaan seluas 6.73 ekar. Yang anihnya ialah jumlah harga RM 28,376,057 bukan sahaja tidak merupakan tawaran tender yang terendah malah tidak tersenarai langsung dalam Jadual pemohon-pemohon tawaran tender.

Mengikut jawapan Ketua Menteri pada 15 Jun 2004, tawaran tender terendah adalah RM 22,878,000 manakalah yang tertinggi adalah RM 53,993,151. Di antara 9 penender ini tidak langsung ada harga RM 28,376,057 yang disenaraikan. Sungguh pelik macam mana harga RM 28,376,057 boleh ditawarkan bila ia tidak termasuk dalam Jadual Harga Tawaran langsung. Kalau begitu apa gunanya adakan tender terbuka bila harga yang ditawarkan tidak dipilih langsung?

Soalan kedua adalah mengapa harga tawaran tender yang terendah sebanyak RM 22.9 juta oleh Prinsiptek(M) Sdn Bhd tidak terpilih. Ini soalan penting kerana melibatkan penjimatan wang awam RM 5.5 juta. Apakah keistimewaan Nada Cekal Sdn Bhd yang membolehkannya dipilih sungguhpun bukan harga tawaran terendah dan adakah penglibatan seorang wakil rakyat BN mempunyai hubung-kait tertentu?

Tidak ada sebab mengapa tender terendah Prinsiptek(M) Sdn Bhd sebanyak RM 22.9 juta tidak boleh dipilih memandangkan syarikat ini disenaraikan dalam BSKL dan mempunyai track record dan pengalaman baik berbanding dengan Nada Cekal Sdn Bhd. Penjimatan RM 5.5 juta bukanlah jumlah kecil kerana boleh membawa banyak faedah kepada semua rakyat Melaka dan tidak seharusnya dinikmati oleh satu dua orang saja.

 

4. "UMNO Sdn Bhd" Di Melaka Dengan Pemberian 200 Ekar Tanah, 30 Permit Teksi Dan Kontrak Istimewa Selama 15 Tahun Kepada Pemimpin UMNO Tertentu Sahaja.


Dalam kenyataan akhbar pada 14 Julai 2004, bekas Ketua Menteri Melaka dan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baru terpilih Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik membongkarkan macam mana politik wang dalam pemilihan UMNO menular sehingga UMNO diperalatkan menjadi "UMNO Sdn Bhd" yang mengakibatkan:

  • pembelian wakil-wakil UMNO dalam pemilihan parti Bahagian Kota Melaka sehingga setiap undi para wakil boleh dibeli dengan harga RM 1,000-00 setiap undi; dan

  • penggunaan parti untuk memperolehi geran tanah, projek kerajaan dan kontrak istimewa di antaranya 200 ekar tanah termasuk di pinggir pantai, 30 permit teksi dan satu konsesi penyelenggaraan jalan selama 15 tahun.

Masalah politik wang UMNO yang diakui oleh Menteri Besar Pahang dan Menteri Penerangan sebagai paling teruk sekali lebih merupakan masalah dalaman keluarganya. Akan tetapi apabila UMNO Sdn Bhd diperalatkan untuk memperolehi faedah-faedah kewangan dan menambahkan kekayaan pihak tertentu, ia bukan lagi masalah keluarga dalaman tetapi melibatkan isu kepentingan awam yang serius.

Saya yakin orang awam sudah muak melihat tanah kerajaan atau pangkat diberikan kepada pihak yang tidak layak menerimanya tanpa memperolehi nilai yang paling baik. Siapa menerima 200 ekar tanah, 30 permit teksi dan kontrak atau konsesi 15 tahun penyelenggaraan jalan negeri Melaka. Adakah tender terbuka dijalankan, kos kepada negeri, track record dan pengalaman pengusaha. Selain daripada penjelasan penuh diadakan, YAB Ketua Menteri harus bertindak dengan menjemput Badan Pencegah Rasuah menyiasat skendal ini.

Di sini satu penjelasan penuh harus diberikan tentang kedudukan YB Teluk Mas dan Ahli EXCO Pelancongan dan Kebudayaan selepas beliau digantung hak keahlian UMNOnya selama tiga tahun. Ini bukan isu peribadi tetapi satu isu kepentingan awam mengapa beliau layak menjadi Ahli EXCO bila sudah tidak layak menikmati hak ahli UMNO, termasuk memegang jawatan Ketua Bahagian Kota Melaka?

Dua perkara kepentingan awam terbabit. Satu berkaitan dengan politik, bolehkah ia menjadi ahli pentabiran kerajaan dan perlukah dipindahkan tempat duduknya. Kedua, adakah beretika untuk seorang yang tidak layak menikmati hak keahlian UMNO kerana terlibat dalam politik wang berhak menjadi Ahli EXCO Melaka seakan-akan menjadi seorang ahli UMNO memerlukan syarat-syarat moral dan etika yang lebih tinggi daripada ahli EXCO. Ini mungkin menjejaskan prestasi dan nama baik kerajaan negeri Melaka.

 

5. Mengelakkan Tanggapan Buruk Penganugerahan Datuk Secara Lambakan Penganugerahan

 

84 Datuk tahun ini telah mencetuskan kontroversi bahawa negeri kedua kecil di Malaysia memberikan penganugerahan begitu banyak sehingga dianggap sebagai satu ganjaran politik oleh YAB Ketua Menteri ekoran kemenanganya dalam pemilihan UMNO. Mungkin Melaka ingin memulakan trend baru dengan penganugerahan secara lambakan seperti yang akan diikuti oleh negeri lain. Ada perlunya satu had bilangan Datuk ditetapkan baik seperti yang diperunutkkan oleh kerajaan pusat dan Sultan Selangor dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed..

Malah lambakan penganugerahan seperti ini dianggap menurunkan prestasi Datuk. Adalah diharapkan siasatan terperinci telah dilakukan ke atas latar belakang mereka untuk memastikan mereka benar-benar layak menerimanya. sehingga ada ungkapan sebegini, “Before if you threw a stone you hit one Datuk. Now you throw a stone you hit two Datuks” oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed.

Akhir kata, rakyat mahukan Melaka terkenal sebagai negeri maju, makmur dan aman bukanlah terkenal sebagai negeri paling banyak Datuk di Malaysia.

(25/10/2004)


* Betty Chew Gek Cheng, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Dan ADUN DAP Kawasan Kota Laksamana