http://dapmalaysia.org  

Ketua Menteri Harus Meminta Maaf Kepada Dewan Undangan Negeri Melaka Atas Kesilapan Ucapan Bajet 2003 Bahawa Bajet 2003 Adalah Bajet Berimbang Bila Ia Sebenarnya Bajet Defisit


Ucapan
-
Semasa Membahaskan Usul Dan Enakmen Perbekalan 2005 Di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka
oleh  
Betty Chew Gek Cheng 

(Melaka,  Selasa): YAB Ketua Menteri telah menggariskan lapan strategi utama Bajet 2005 dimana Bajet Surplus merupakan strategi pertama. Adakah strategi ini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun indah khabar dari rupa. 

Pada 19 November 2002, YAB Ketua Menteri membentangkan Bajet Berimbang 2003 atas falsafah “Mengukur baju di badan sendiri”. Petikan ucapan beliau “Anggaran Hasil Kerajaan Negeri Melaka tahun 2003 adalah sejumlah RM 177.8 juta manakala Anggaran Mengurus berjumlah RM 177.8 juta. Oleh itu, Bajet tahun 2003 adalah Bajet Berimbang.” 

Sebaliknya kenyataan Bajet Berimbang 2003 bercanggah dengan Akaun Awam Negeri Melaka 2003 yang disediakan oleh Bendahari Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Menurut lapuran mereka, bagi tahun 2003, Hasil sebenar adalah RM 178 juta manakala Perbelanjaan Mengurus sebenar adalah RM 185 juta. Macam mana Bajet 2003 boleh berimbang bila hasil adalah kurang daripada perbelanjaan mengurus. Sebenarnya Bajet 2003 bukanlah Bajet Berimbang tetapi adalah Bajet Defisit.  

Jelas sekali, YAB Ketua Menteri sudah silap menyatakan Bajet 2003 Berimbang bila ia sebenarnya tidak. Kenyataan palsu beliau ini boleh dianggap serius sebagai cubaan mengelirukan Dewan Undangan Negeri Melaka. Akan tetapi saya rasa beliau boleh membetulkan diri dengan meminta maaf kepada Dewan yang mulia ini atas maklumat palsu yang diberikannya tidak tahu oleh mana pihak..

Rizab Bayaran Gaji Turun 94% Daripada 45.2 Bulan Pada 1998 Kepada Hanya 2.7 Bulan Pada 2003

Bajet 2005 yang dilaung-laungkan sebagai Bajet berimbang harus dilihat dari segi pencapaian sebenar. Mengikut Lapuran Akaun Awam 2003,  kedudukan kewangan kerajaan Negeri Melaka berakhir 31 Disember 2003 menurun sebanyak RM 13 juta atau 4.9% kepada RM 249 juta berbanding kepada RM262 juta pada tahun 2002. 

Akaun Hasil Disatukan(AHS) adalah dimana segala hasil negeri yang diterima dan perbelanjaan mengurus yang terlibat dikenakan ke akaun ini. AHS telah turun daripada RM 16 juta pada tahun 2002 ke RM 10 juta pada 2003. AHS adalah bersamaan rizab bayaran gaji kerajaan negeri Melaka.  

AHS adalah sebanyak 2.7 bulan atau kerajaan hanya mampu untuk menampung gaji kakitangan kerajaan selama 2.7 bulan pada 2003 berbanding dengan 4.7 bulan pada 2002. Adakah kedudukan akan bertambah buruk pada tahun ini? Ini merupakan kemerosotan besar berbanding dengan tahun-tahun lampau seperti berikut:- 
 

Rizab Bayaran Gaji Kakitangan Kerajaan Berasaskan  Baki AHS:

Tahun Baki AHS (RM Juta) Rizab Gaji (Bulan)
1998 113 45.2
1999 122 38.1
2000 121 42.4
2001   53 17.6
2002   16   4.7
2003   10   2.7

Daripada rizab gaji 45.2 bulan pada 1998 kepada 2.7 bulan pada 2003, atau kemerosotan 94% dalam masa 6 tahun, amat membimbangkan.  Dengan kata lain, kerajaan negeri hanya cukup wang untuk bayar gaji selama 2.7 bulan pada 2003 berbanding dengan 4.7 bulan pada tahun 2002. 

Keadaan kewangan yang tidak menentu ini boleh dilihat dalalm Kumpulanwang Pembangunan Negeri yang mengalami defisit sebanyak RM 30 juta pada 2003 berbanding dengan defisit RM 12 juta dalam tahun 2002.
 

Setiap Ringgit Hutang(RM 849 Juta) Hanya Disokong Oleh 1 Sen Rizab Hasil Negeri

Yang lebih membimbangkan ialah baki hutang kerajaan negeri telah meningkat pada RM 849 juta pada 2003 berbanding RM 607 juta pada 2002. Akaun Hasil Disatukan (AHS) menurun pada tahap RM 10 juta.  

Penyata Akaun Awam 2003 mengakui bagi setiap ringgit baki hutang Kerajaan Negeri adalah disokong dengan hanya 1 sen rizab hasil Negeri. Keadaan kewangan 2003 yang menjadikan setiap ringgit hutang kerajaan disokong dengan hanya 1 sen merupakan kemerosotan 96% berbanding dengan keadaan 1998 seperti berikut:-
 

ANALISIS NISBAH BAKI AKAUN HASIL – BAKI HUTANG PINJAMAN

Tahun Baki AHS (RM Juta) Baki Hutang Pokok(RM Juta) Nisbah(RM)
1999 122 482 0.25
2000 121 462 0.26
2001   53 447 0.12
2002   16 607 0.03
2003   10 849 0.01

 

Pada tahun 1999 sekurang-kurangnya setiap satu ringgit hutang kerajaan disokong dengan 25 sen rizab hasil negeri. Bukankah membimbangkan 25 sen pada tahun 1999 sudah jadi 1 sen empat tahun kemudian pada 2003 untuk setiap ringgit hutang? Semasa kerajaan negeri cuba menasihatkan rakyat supaya mengurangkan pembaziran dan jangan berhutang banyak, hutangnya pada tahun 1998 sebanyak RM 489 juta boleh naik kepada RM 849 juta pada 2003. 

Adakah kerajaan negeri boleh berbangga bahawa ia mengamalkan prinsip berhemah dengan setiap ringgit hutang disokong oleh hanya 1 sen rizab hasil negeri? Oleh demikian kerajaan negeri harus menumpukan perhatian untuk memperbaiki kedudukan kewangan yang agak lemah ini. 

Beberapa Masalah Kecekapan Penyampaian

Strategi kelima Bajet 2005 adalah meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan dan system penyampaian. Malangnya ia hanya menanam tebu di bibir sahaja. Projek pembinaan Lebuhraya Simpang Empat ke Muar yang menelan perbelanjaan RM 505.6 juta memang baik tetapi mengapakah ia melebihi jadual masa persiapan yang ditetapkan. Siapa yang salah di sini, Jabatan Kerja Raya di bawah Menteri Kerja Raya Datuk Samy Vellu atau agensi kerajaan negeri. Ini membawa kesulitan kepada peniaga-peniaga khususnya di Taman Malim. Agak bila ia akan disiapkan. 

Apakah tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas skendal pembelian saham Yayasan Melaka pada 1996 sebanyak RM 21 juta - di mana RM 5.1 juta masih belum dikesan. Saya amat kesal bahawa sungguhpun skendal pembelian saham ini berlaku 7 tahun lepas pada 1996, kerajaan masih belum mendakwa mereka yang bertanggungjawab di mahkamah atau mulakan saman untuk dapatkan balik saham. Kehilangan saham RM 5.1 juta adalah penting kerana ia adalah milikan rakyat.  

Ketua Menteri boleh kata hanya RM15.9 juta saham dapat dikesan sedangkan bakinya sebanyak RM5.1 juta saham disalahgunakan, - apa yang dia tunggu lagi untuk mengambil tindakan. Ia hanya menunjukkan kegagalan prinsip akauntabiliti serta kelemahan sistem pengurusan dan perakaunan dalam Yayasan Melaka. 

Satu lagi contoh ialah Jeti Parameswara yang masih terbiar dan membazirkan wang awam sebanyak RM 12 juta yang dibelanjakan. Apa pula dengan projek perindustrian, komersil dan perumahan yang terbengkalai seperti Projek Perindustrian Ayer Keroh oleh Pakatan Mawar Sdn Bhd, Taman Perindustrian Malaysia-China Light dan projek Baba Nyonya Resort. 

DAP Lebih Berminat 100 Bumi Ratusan Wang Anak Melaka Dari 10 Jutawan Bumi

DAP menegaskan sokongan ke atas sebarang usaha membasmi kemiskinan dan menaikkan taraf sosio-ekonomi golongan tidak berada, khususnya masyarakat terpinggir di kalangan orang Melayu, India dan berkurangan lagi orang Cina. Bukan seperti yang dicemuh oleh fitnah pihak tidak bertanggungjawab DAP memang bangga dengan kejayaan usahawan bumi.  

Akan tetapi usaha untuk membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengenal batasan kaum telah dieksploitasikan sebagai anti-Melayu malah anti-nasional. Ini sangat mendukacitakan dan menujukkan kejayaan propaganda media BN bila sejarah perjuangan DAP menunjukkan DAP satu-satunya parti di Malaysia yang memperjuangkan hak semua orang, termasuk dipenjarakan dan dipapakedanakan demi membela hak orang Melayu. Saya tidak nampak MCA berbuat demikian tetapi mereka pula dianggap sebagai pejuang bersama UMNO kerana rela menjadi pengampu UMNO.  

Saya nak tanya samada ada pemimpin DAP pernah bersikap tidak setia dan anti-nasional dengan menjadi permanent resident(PR) atau penduduk tetap sebuah negara asing, khususnya Australia. Pemimpin DAP tidak pernah berbuat demikian. Tetapi ada pemimpin MCA baik bekas pemimpin ataupun masih menjawat Timbalan Menteri yang pernah menjadi PR. Saya berikan amaran di sini: Jangan cabar saya untuk menamakan pemimpin MCA ini. 

Oleh itu sungguhpun saya rela mengakui pencapaian YAB Ketua Menteri menarik pelaburan luar negara sebanyak RM 4.06 bilion pada 2003 berbanding dengan RM 573 juta pada tahun 2002, saya tidak setuju dengan teras perjuangan semata-mata mengukur kejayaan berdasarkan bilangan bumiputera jutawan yang diwujudkan. Bagi DAP adalah lebih penting 100 orang bumi bernilai RM 100,000 diwujudkan daripada menwujudkan hanya 10 orang jutawan bumi sahaja. 

Di sini saya hendeak bertanya adakah 10 jutawan bumi ini anak watan Melaka atau diimpot oleh YAB Ketua Menteri. Saya pernah mendapat aduan usahawan bumi bahawa YAB Ketua Menteri telah lupa sama anak tempatan dan kadang-kala lebih berminat usahawan luar negeri Melaka. 

Kriteria Kelayakan Datuk Harus Ditetapkan Dan Sumbangan Ke atas Pembangunan Ekonomi, Sosial Dan Politik Mereka Diumumkan Untuk Menjaga Prestasinya

Sungguhpun YAB Ketua Menteri menyatakan akan mengikut jejak langkah Bajet Perseketuan, saya tidak nampak komitmen yang sama seperti YAB Perdana Menteri menentang dan membasmi rasuah. Malah saya tidak nampak satu program anti-rasuah pun. Terdapat banyak skendal-skendal yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang khususnya projek Hang Tuah Mall dengan pembelian 20 tong sampah sebanyak RM 17,600 atau RM 880 sebuah, membina sebuah pancut air kecil sebanyak RM 250,000, memasang 5 kanopi sebanyak RM 350,000 dengan kos RM 70,000 satu kanopi yang tidak berani dijawab oleh beliau. 

Penganugerahan gelaran Datuk secara lambakan menunjukkan kesan buruknya bila salah satu daripada 84 orang penerimanya didakwa di mahkamah di bawah seksyen  323 Kanun Keseksaan memukul orang. Nampaknya komen “Before if you threw a stone you hit one Datuk. Now you throw a stone you hit two Datuks” oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed harus diubah kepada “Datuk sendiri yang baling batu pukul orang”. 

Datuk Haji Roselan bin Haji Mat Darus telah didakwa atas insiden pukul ada 1.15 pagi 30 April 2004, iaitu 6 bulan sebelum dianugerahkan gelaran datuk Darjah Mulia Seri Melaka(DMSM). Saya ingin cadangkan bukan sahaja siasatan terperinci dilakukan untuk memastikan latar belakang yang bersih tetapi menghadkan bilangannya.

Untuk mengekalkan prestasi gelaran Datuk, satu garispanduan dan criteria kelayakan mestilah ditetapkan. Lagipun, setiap sumbangan Datuk kepada pembangunan ekonomi, politik dan social negeri Melaka mestilah diumumkan supaya tidak cetuskan kontroversi dan orang ramai tahu akan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat. Tanpa langkah sedemikian rakyat susah dipersalahkan kalau tidak menghormati gelaran Datuk seperti dulukala. 

Tanpa kriteria kelayakan, timbul pula soalan adakah lagi Datuk-Datuk yang bermasalah? Sekiranya ada, adalah lebih baik kerajaan negeri Melaka sendiri mengambil tindakan sekarang daripada dimalukan dengan pembongkaran salah tingkah laku mereka di suratkhabar. 

Kerajaan negeri tidak harus teragak-agak mengambil tindakan atau membekukan Datuk-datuk yang bermasalah. YAB Ketua Menteri harus menunjukkan sikap serius dalam kes Datuk Haji Roselan dengan menggantung statusnya dengan serta-merta sehingga kesnya selesai. Biarkan Melaka terkenal dengan sejarahnya yang gagah dan mulia bukan sebaliknya.

(26/10/2004)


* Betty Chew Gek Cheng, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Dan ADUN DAP Kawasan Kota Laksamana